Sunday, December 6, 2009

Siti, Fahrin dan Dayang hapuskan stigma




SEBAGAI model peranan, pembabitan para artis dalam kerja-kerja amal memberi banyak manfaat dan impak tersendiri kepada masyarakat khususnya golongan muda.

Justeru banyak badan-badan amal menggunakan pengaruh artis bagi membantu dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu.

Selebriti Sokongan Riben Merah merupakan inisiatif Majlis Aids Malaysia (MAM) dalam usaha menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap pembawa HIV/Aids.

Pembabitan para artis diharap mampu memberi kefahaman kepada masyarakat tentang epidemik yang mampu membunuh ini.

Sempena Hari Aids Sedunia pada 1 Disember lalu, tiga artis tempatan berkongsi rasa sebagai jurucakap Selebriti Sokongan Riben Merah.

Dengan slogan Jalani Ujian, Manfaatkan Rawatan, ketiga-tiga artis ini - Datuk Siti Nurhaliza, Fahrin Ahmad dan Dayang Nurfaizah mengharapkan satu semangat baru bukan sahaja kepada golongan ini tetapi juga orang ramai.

Jangan prejudis - Siti Nurhaliza

Kurangnya pemahaman dan pendidikan mengenai jangkitan HIV sehingga menyebabkan terjadinya Aids atau Sindrom Kurang Daya Tahan Badan telah menyebabkan masyarakat kita bersikap prejudis.

Akibatnya masyarakat mendiskriminasikan mereka yang dijangkit HIV dan sekali gus meminggirkan golongan ini sedangkan mereka juga berhak mendapatkan kehidupan seperti orang lain.

"Sebagai manusia, bukan tugas kita untuk menilai," tegas Siti Nurhaliza.

Bagi penyanyi tersebut, penghidap HIV juga seperti pesakit kronik yang lain yang bukan ingin meraih simpati tetapi memerlukan sokongan, kasih sayang, dorongan selain penjagaan dan perubatan.

Justeru kata penyanyi itu, dia menyeru agar orang ramai tidak prejudis dan bersikap negatif terhadap golongan ini.

Sebagai selebriti dan jurucakap, menjadi tugasnya untuk mengajak masyarakat bersikap lebih terbuka dalam membantu golongan ini dan mengurangkan stigma orang ramai terhadap mereka.

"Siti berharap dengan gelaran selebriti dan bersama selebriti sokongan yang lain, kami dapat membantu komuniti ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat.

"Jika Siti sebagai selebriti boleh bersama dan mendekati komuniti ini, kenapa tidak anda?" jelasnya yang merancang untuk membuat lawatan ke rumah perlindungan tahun depan.

Tingkatkan pengetahuan - Fahrin Ahmad

Berbesar hati dipilih sebagai jurucakap Selebriti Sokongan Riben Merah oleh MAM, peranan itu merupakan antara amal yang dilakukan oleh pelakon dan pengacara ini untuk menyedarkan masyarakat.

Malah sejak memikul tanggungjawab tersebut, Fahrin mengakui wujud rasa bersalah di dalam dirinya kerana selama ini hanya mempunyai pengetahuan asas terhadap penyakit tersebut.

Namun sejak didedahkan menerusi seminar yang dihadiri selain mendekati golongan itu, semakin mengubah persepsi Fahrin terhadap penyakit dan komuniti ini.

"Kerana kurang pengetahuan menyebabkan kita memandang serong dan membuatkan kita mendiskriminasikan mereka.

"Ini sangat tidak adil kepada pesakit. Stigma ini perlu diubah. Orang selalu takut untuk mendekati golongan ini sedangkan kalau nak diikutkan wabak HINI jauh lebih senang merebak daripada HIV/Aids," kata Fahrin.

Menurutnya, secara peribadi, dia ingin menyampaikan apa juga persepsinya yang sudah berubah tentang golongan ini dalam usaha menyedarkan kepada masyarakat.

Baginya, orang ramai perlu tahu bahawa sentuh, kongsi makan dan bercakap misalnya tidak boleh menyebabkan penyakit ini berjangkit.

Malangnya itulah yang terjadi dalam masyarakat menyebabkan ramai penghidap yang berasa rendah diri, tertekan sehingga ada yang membunuh diri.

"Seorang selebriti mempunyai pengaruh dan kata-kata mereka didengari. Jadi mengapa tidak kita guna imej positif ini untuk memberi kesan yang positif kepada masyarakat.

"Walaupun hanya separuh telinga yang mendengar, sekurang-kurangnya ia mampu menyebarkan maklumat kepada orang lain," jelasnya yang merupakan salah seorang selebriti sokongan yang paling aktif.

Malah Fahrin memberitahu tidak sabar untuk menghadiri program berkaitan HIV/Aids yang melibatkan kolej dan universiti di sekitar Kuala Lumpur pada 10 Disember hingga 12 Disember ini.

Jalani ujian - Dayang Nurfaizah

Banyak melawat ke rumah-rumah pelindungan dan bertemu pesakit secara empat mata selain mengikuti seminar serta ceramah membuatkan Dayang Nurfaizah mengerti tentang betapa berharga sebuah sokongan moral.

Justeru, dia mengharapkan status selebriti seperti dirinya dan rakan-rakan artis lain dapat mewujudkan kesedaran agar orang ramai menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap golongan ini.

"Masyarakat perlu banyak didedahkan dengan informasi dan bagaimana mereka boleh menerima golongan ini. Kerana itu saya cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyalurkannya kepada orang ramai.

"Saya percaya, kesedaran kepada diri sendiri penting sebelum kita dapat berkongsi dengan orang lain. Sebab dengan adanya pengetahuan barulah kita dapat berkongsi dengan orang lain.

"Memulakan kesedaran kepada keluarga saya adalah langkah pertama saya sejak bergelar jurucakap. Sebab tidak semua tahu mengenainya. Malah ada antaranya yang masih tabu.

"Ini bukan kerja satu hari. Kita perlu beritahu orang ramai dan keluarga kita apa itu HIV/Aids, macam mana boleh berjangkit dan bagaimana untuk hidup dengan mereka.

"Apa yang penting dalam usaha untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi adalah untuk mendidik orang ramai tentang cara jangkitan dan bukan mudah untuknya berjangkit.

"Kerana itu jalanilah ujian dan manfaatkan rawatan seperti slogan sempena sambutan Hari Aids Sedunia yang disambut 1 Disember lalu," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: