![]() |
| Eja bersama suaminya Mohd. Silahuddin gembira dengan kehadiran cahaya mata Nur Eishal. |
ANAK ini melengkapkan saya dan saya rasa sungguh sempurna sebagai seorang wanita." Itu kata-kata keterujaan Eja mengenai nikmat bergelar ibu pada akhir pertemuan dengan media di majlis memperkenalkan anak sulungnya, Nur Eishal Mohd. Silahuddin yang genap tiga bulan pada Khamis lalu.
Sememangnya tiada yang lebih membahagiakan seorang wanita apabila dirinya bergelar seorang ibu dan bagi Eja, kehadiran Nur Eishal telah menjadi pelengkap kebahagiaan kehidupannya.
Seperti maksud namanya, cahaya bunga syurga, Nur Eishal nyata memberi cahaya dan keharuman buat keutuhan ikatan Eja dan suaminya, Mohd. Silahuddin.
Malah menimang anak sulungnya itu sebenarnya turut memberi satu rahmat tidak terhingga kepada aktres popular itu untuk bergelar seorang ibu.
Sementelah selepas lebih 10 tahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan berusia 49 tahun itu, hanya dalam tempoh setahun lepas, Eja, 37, berkeinginan untuk menimang cahaya mata.
Dengan kehamilan dan kehadiran cahaya mata comel itu juga Eja tidak lagi menyorokkan statusnya - prinsip yang dipegangnya selama ini untuk menutup mulut mengenai kehidupan peribadi.
Malah sekali gus membuktikan bahawa kata-kata nakal mengenai dirinya yang tidak mampu mempunyai zuriat sebelum ini jauh tersasar, begitu juga kononnya dia takut gemuk dan saham sebagai artis jatuh gara-gara mempunyai anak.
"Memang saya sudah berumah tangga agak lama dan kepada yang tahu, sesetengahnya tertanya-tanya bilakah saya mahu menimang anak.
"Saya bersyukur kerana baik suami mahupun keluarga mertua dan keluarga saya tidak pernah mendesak. Cuma ibu saya ada mengusik tentang anak memandangkan usia saya yang semakin meningkat.
"Namun sebagai anak sulung dan degil, saya tak ambil pusing usikan ibu. Memang ketika itu saya hanya pentingkan diri sendiri. Ketika itu kerjaya adalah segala-galanya bagi saya," jelas Eja.
Apalagi katanya, kehidupan berdua sebagai suami isteri amat selesa dan dia sendiri sudah mempunyai dua anak tiri, Khatijah, 17 dan Shayne Jacob, 13, hasil perkahwinan terdahulu Mohd. Silahuddin yang kini sedang belajar di Australia.
Namun segala-galanya berubah apabila dia ke Mekah Oktober lepas untuk menjalani penggambaran drama Tasbih Cinta arahan Erma Fatima dan berkesempatan menunaikan umrah buat kali kedua.
Ketika itu, katanya, perasaannya sangat berlainan dan tidak pernah dirasai sebelum ini. Hatinya selalu sebak dan sedih sepanjang penggambaran.
Terasa diri begitu kosong dan sunyi, kata Eja, setiap hari dia menangis dan memohon petunjuk Allah mengenai perasaan yang sedang dilaluinya itu.
"Tidak pernah saya rasa begitu. Semasa di sana suami datang menjenguk dan kami mengerjakan umrah bersama-sama."
Sekembalinya ke Malaysia, dia memberitahu Mohd. Silahuddin, hatinya sudah terbuka untuk menimang cahaya mata.
Suaminya yang selama ini tidak pernah mendesak untuk memiliki cahaya mata ternyata girang dengan keputusan itu dan kemudiannya mereka bercuti selama tiga minggu ke Amerika Syarikat.
Pulang bercuti, Eja disahkan mengandung dan 3 September lalu, bunga cintanya bersama Mohd. Silahuddin itu lahir, tepat pukul 1.36 petang, tiga minggu lebih awal daripada yang dijangkakan.
"Kehadiran Nur Eishal membuatkan saya mengerti erti syurga di bawah tapak kaki ibu. Kerana bukan mudah menggalas tugas dan tanggungjawab seorang ibu.
"Saya bersyukur kerana suami dan ibu banyak memberi sokongan. Dan alhamdulillah kerana Nur Eishal juga anak yang memudahkan," kata pelakon itu sambil menambah hanya tiga perkara yang membuatkan cinta hatinya itu merengek - lampin basah, ingin menyusu dan ketika mahu melelapkan mata.
Namun dia tiada perancangan untuk menambah bilangan anggota keluarganya dalam tempoh terdekat ini kecuali rezeki sudah ditentukan oleh-Nya.
"Buat masa ini saya mahu memberi sepenuh perhatian buat Nur Eishal. Kerja pun saya tangguh dahulu. Biarlah anak saya sudah besar sedikit baru saya bekerja semula," kata Eja.
Dia yang kini bergelar duta produk kecantikan dan pelangsingan badan Bio-Essence selama dua tahun memberitahu, biar sudah banyak menerima tawaran berlakon sejak habis pantang namun dia hanya akan kembali ke lokasi penggambaran Februari tahun depan apabila anaknya itu sudah mencecah usia enam bulan.
"Itupun saya akan pastikan tiada penggambaran di luar kota. Ya, saya akan lebih selektif selepas ini," tambahnya sambil menggambarkan berkemungkinan besar tidak berlakon dalam musim kedua dan ketiga drama popularnya Wadi Unung yang akan kembali ke lokasi April depan.
Memang melihat gaya dan cara Eja melayan anaknya, ternyata Nur Eishal mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada kedua-dua orang tua yang bakal dipanggilnya ummi dan daddy itu.
Manja tapi tegas, itulah cara dia melayan anak sulung kesayangannya itu. Malah kata Eja, baik dia mahupun suami lebih suka bersederhana dalam segala hal. Namun mereka amat mementingkan pendidikan buat cahaya mata sulung mereka itu.
"Kami mungkin tak beri dia harta benda tapi kami berharap biarlah dia menjadi anak yang soleh yang mampu mendoakan kesejahteraan kami apabila ummi dan daddy sudah tiada kelak," kata Eja lagi.
Tidak menafikan bahawa majlis memperkenalkan bayi itu adalah untuk memperkenalkan sama suami yang juga bapa Nur Eishal, tegas Eja, ia adalah untuk kepentingan anaknya kerana tidak mahu nanti orang tertanya-tanya siapakah ayahnya.
"Ini juga adil untuk anak kami." tegasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: