KOTA BHARU - Polis berjaya menahan dua suspek yang dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan di Kelantan.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan secara berasingan dan dipercayai dari sindiket yang sama.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 3.40 petang kelmarin melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun di Kampung Banggol Petai, Tok Uban, Pasir Mas.
"Dalam tangkapan itu, polis menemui semula tiga buah kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero, Toyota Hilux dan Proton Iswara yang dilaporkan hilang di Gua Musang, Grik dan Melaka.
"Polis juga menemui 23 anak kunci baru pelbagai saiz yang belum diukir dan dipercayai untuk tujuan mencuri kenderaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, melalui maklumat suspek pertama, polis berjaya menahan suspek kedua sejam kemudian di Kampung Gading, Tanah Merah.
Katanya, tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun dan polis merampas satu senapang angin buatan sendiri dan satu bekas mengandungi ball bearing dipercayai digunakan sebagai peluru daripada lelaki itu.
"Polis juga merampas satu balang gas kecil bersama satu set komputer iaitu monitor, Unit Pemprosesan Pusat, cakera keras dan mesin pencetak yang dipercayai diguna untuk membuat cukai jalan palsu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: