Friday, December 11, 2009

Simbolik Kembara Seniman



ANTARA mereka yang menyertai majlis penutup Jelajah Kembara Seniman di Bangunan Sultan Abdul Samad.

51 warga seni jelajah lima destinasi sokong gagasan 1Malaysia

SERAMAI 51 warga seni yang mengikuti program penjelajahan Kembara Seniman ke lima destinasi dalam negeri menjadi simbolik menyokong gagasan 1Malaysia yang disaran kerajaan.

Program yang bertujuan mendekatkan warga seni dengan masyarakat yang bermula 30 November lalu dan berakhir jam 6 petang 2 Disember lalu yang disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), KPKK, Datuk Mohamed Mohd Daud dengan jayanya.

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof berkata, program diadakan bagi menyokong saranan kerajaan yang selama ini banyak membantu anak seni tempatan untuk berada di zon selesa dalam industri seni.


“Kami mengadakannya secara simbolik di mana penjelajahan anak seni ini bukan saja untuk bertemu masyarakat malah mendekati mereka untuk memberi tahu kami sentiasa bersama kerajaan,” katanya yang ditemui di perkarangan pejabat KPKK berhadapan Dataran Merdeka sebaik rombongan tiba. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Finas, Zulkifli Ab Wahab.

Kembara Seniman yang mendapat sokongan penuh KPKK dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil masa selama tiga hari dua malam bermula di Dataran Merdeka dan berakhir di tempat yang sama.

“Bermula 30 November lalu, bas yang kami naiki untuk penjelajahan ini dilepaskan oleh Menteri KPKK, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Kami meneruskan penjelajahan ke Tanjung Karang, Ipoh, Kuantan, Muar dan Melaka.

“Perjalanan ini mengambil masa 56 jam dan sejauh 1,268 kilometer. Biarpun penjelajahan ini amat meletihkan lebih lagi hampir keseluruhan peserta adalah artis veteran yang mengikutinya, namun kegirangan mereka terserlah apabila dapat bertemu dengan masyarakat setempat di setiap lokasi penjelajahan kita.

“Kami amat berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno setiap bahagian serta Datuk Razali Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Muar yang banyak membantu menjayakan program ini.

“Di setiap destinasi jelajah yang kami berhenti, penduduk setempat sudah menunggu untuk menyambut kedatangan kami. Ini juga disebabkan berita kembara kami ini sudah dikeluarkan media sebelum itu

terutama Berita Harian yang banyak membantu kami,” katanya yang berharap program ini dapat diteruskan ke lokasi lain suatu masa nanti.

Penjelajahan ini juga turut memungut lebih 2,000 tandatangan daripada masyarakat setempat yang menyokong usaha murni ini.

Antara artis baru dan veteran yang mengikutinya seperti Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Aziz Sattar, Datin Azizah Mohamed, Datin Aspalela Abdullah, S Mariam, Fatimah M Amin, Hair Amir, Abu Bakar Omar dan Imuda selain artis muda seperti Nas Adilla, Rini (AF), Shidi (AF) dan Aliff (AF)

Sementara itu, Seniman merancang untuk menganjurkan program Anugerah Perdana Seniman (APS) tahun depan di Singapura memandangkan industri perfileman kita bermula di negara itu.

“Penganjuran APS yang berjaya dilaksanakan tahun ini di Kuching Sarawak awal tahun lalu memberi inspirasi kepada kami untuk menganjurkannya pula pada tahun depan bulan Mac di Singapura pula.

“Kita sudah berbincang dengan Cathay Keris Film Productions di sana dan mereka bersetuju untuk menganjurkan Sepetang Bersama Seniman yang menjadi salah satu pengisian APS.

“Kita juga menjangka delegasi akan berada di sana selama tiga hari dua malam dan malam kemuncaknya adalah majlis penganugerahan kepada anak seni,” katanya yang berharap APS mendapat kerjasama banyak pihak untuk merealisasikan majlis ini.

Sebagai persatuan yang menjaga kepentingan kebajikan anak-anak seni tanah air, Seniman akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan untuk memilih tampok pemerintahan baru dalam masa terdekat ini.

“Kami akan mengadakan mesyuarat agung untuk memilih organisasi baru pemerintahan pada 18 Disember ini. Saya sangat berharap kehadiran ahli Seniman dalam mesyuarat itu dapat menentukan hala tuju yang baru persatuan ini.

“Saya juga percaya beberapa perubahan organisasi akan berlaku dan sekiranya saya masih mendapat kepercayaan untuk memimpin persatuan ini saya akan laksanakannya dengan lebih baik dan APS di Singapura akan direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: