Friday, December 11, 2009

Rentak Bollywood pilihan Oshin





Bersyukur jadi pilihan penonton dalam undian masuk program Sehati Berdansa

TEMA Bollywood adalah muzik yang sangat diimpikan pasangan Oshin dan Firdaus menerusi program Sehati Berdansa musim ketiga (SB3). Namun impiannya untuk menantikan saat itu terkubur begitu saja apabila pasangan itu disingkirkan pada minggu kelima kerana menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah.

Lebih mengecewakan pada minggu berikutnya tema Bollywood diumumkan bagi cabaran seterusnya peserta yang masih bertahan merebut pasangan Sehati Berdansa tahun ini. Kecewanya bukan kepalang, namun takdir sudah tersurat mereka hanya mampu hadir menyaksikan sahabat yang masih tinggal meneruskan tugasan mereka.

Menurut Oshin, andainya masa boleh diputar kembali, mereka begitu teringin untuk berdansa lagi sekadar untuk melepaskan ketagihan.


Takdir sudah tertulis iaitu pada minggu keenam, penganjur mengumumkan undian masuk (SBMASUK) bagi menyerap kembali satu daripada lima pasangan selebriti yang tersingkir ke dalam program SB3.

Sistem kemasukan semula peserta ini melakar sejarah tersendiri dalam penerbitan Sehati Berdansa sepanjang tiga musim memandangkan ia julung kalinya diperkenalkan.

“Sudah tentu saya gembira apabila diumumkan untuk kembali berdansa dalam episod khas lebih lagi kami diberi tema bebas untuk memilih mana-mana muzik yang kami suka. Saya dan suami tidak meletak harapan tinggi sebaliknya hanya mahu bergembira dalam episod khas ini,” katanya.

Tambah Oshin, Bollywood menjadi pilihannya kerana dia dan suami Mohd Firdaus Mohd Shukor, 27 sendiri adalah peminat filem Hindi yang mempunyai banyak koleksi di rumah.

“Sejak dulu kami berdua memang meminati filem Hindi yang penuh warna warni dan tarian yang cukup ‘energetik'. Sehingga di majlis perkahwinan kami dulu, suami saya ‘request’ untuk saya menyampai satu lagu Hindi,” katanya.

Kini impian mereka terubat apabila pasangan ini diumumkan Ahad lalu sebagai pasangan yang layak untuk meneruskan program SB3. Mereka dipilih selepas menunjukkan persembahan yang memberangsangkan pada episod khas SB Masuk (wild card) minggu lalu untuk meraih pengundi mengundi masuk mereka kembali.

Mereka mendapat undian tertinggi daripada lima peserta tersingkir bersaing dalam SB Masuk di mana pada malam itu mereka memilih tema irama Bollywood dengan lagu, Bole Chudiyan.

Pasangan yang gagal meneruskan saingan itu, Didie/ Sham (35 peratus), Anita/Ismadi (8.6peratus), Enot/Zainul (5.4peratus) dan Mirna/Noorah (3peratus). Markah dikira melalui persembahan dan diundi 100 peratus penonton melalui undian SMS selama seminggu bermula 26 November hingga 6 Disember.

Gandingan Oshin atau Nurul Huda Md Nasir dan suami, Firdaus menerima markah tertinggi 48 peratus melalui SMS dihantar penonton.

Kemasukan itu melayakkan mereka bersaing pada peringkat seterusnya. Mereka tersingkir sewaktu bersaing melalui tema Latin pada minggu kelima kerana kurang menghayati irama itu dengan sepenuh hati.

Esok Oshin dan Firdaus bersaing bersama empat pasangan teratas Sehati Berdansa, Sazzy/Nazril, Dira/Ash, Sein/ Nana dan Isma/Zul pada minggu bertemakan lagu Broadway ala zaman 30 dan 40-an, irama dipopularkan oleh Billy Byrd, Teddy McRae dan William Henri Woode.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: