![]() |
| NATASHA masih berkawan baik dengan bekas suaminya. |
TIADA ribut tiada angin, tiba-tiba kita digemparkan dengan penceraian buat kali kedua aktres jelita Natasha Hudson baru-baru ini.
Ikatan perkahwinan yang terjalin selama dua tahun bersama Datuk Shahrin Zahari selama ini kelihatan bahagia di luarannya namun tiada siapa yang tahu pergolakan sebenar antara mereka.
Bagi menjelaskan statusnya yang sebenar, Natasha mengatur satu perjumpaan dengan para wartawan di Studio Café, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, dia seboleh-bolehnya enggan mencanangkan status barunya itu kerana tidak mahu memperbesarkan hal ini tetapi Natasha tahu dia tidak boleh merahsiakannya selamanya kerana statusnya sebagai seorang selebriti itu.
Mengelak daripada memberitahu punca sebenar penceraian yang berlaku, pelakon filem Cermin ini menjelaskan, dia diceraikan dengan talak satu dengan cara yang baik dan persefahaman antara mereka berdua.
"Kami berdua duduk berbincang dan bersetuju dengan penceraian ini. Tiada gaduh-gaduh atau apa cuma kami berasa pilihan ini terbaik untuk kehidupan kami berdua.
"Ingin saya tekankan yang perpisahan kami tidak sama sekali melibatkan orang ketiga. Kami sangat saling menyayangi namun jodoh kami sampai di sini sahaja," ujarnya yang bernikah dengan Shahrin pada 29 Julai 2007 .
Menurut Natasha, dia dan Shahrin masih berhubung setiap hari kerana kini mereka seperti teman yang sangat rapat dan sentiasa mengambil berat hal masing-masing.
Natasha juda sedar pasti ramai yang tidak percaya dengan kenyataan yang mereka masih boleh berkawan seperti biasa selepas perpisahan itu, tetapi perasaan sayang antara mereka sangat kuat dan mereka sangat mengambil berat antara satu sama lain.
Ujarnya, Shahrin merupakan seorang bapa dan suami yang baik dan sekarang merupakan seorang kawan yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat mengenai dirinya.
"Kami masih berhubung melalui telefon setiap hari dan sering bertanya khabar masing-masing.
"Perasaan saya dan Shahrin amat kuat dan kami saling mengambil berat antara satu sama lain malah banyak perkara yang saya lakukan saya masih menanyakan pendapatnya.
"Cuma bezanya kami bukan lagi pasangan suami isteri dan kini kami adalah rakan yang amat baik," ujar Natasha.
Tambahnya, Shahrin tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kepada anak mereka berdua, Nessa Helena yang kini berusia setahun setengah.
Walaupun Nessa kini berada di bawah penjagaan Natasha, dia membenarkan Shahrin untuk bebas berjumpa dengan anaknya pada bila-bila masa supaya Nessa dapat merasai kasih sayang kedua-dua orang tuanya.
Ujar Natasha, dia sendiri datang dari keluarga yang bercerai-berai dan dia tidak mahu situasi begini mengganggu perasaan anak kecilnya dan dia akan pastikan Nessa sentiasa mendapat kasih sayang yang mencukupi.
Mengakui agak terkilan dengan apa yang terjadi apabila dua kali masjid yang dibina roboh, namun Natasha mengambilnya dari sudut positif.
"Mungkin Tuhan meletakkan dugaan sebegitu supaya saya menjadi insan yang lebih kuat di masa depan.
"Saya tidak pernah menyesal dengan perkahwinan dan penceraian ini kerana saya telah dikurniakan seorang cahaya mata yang amat saya sayangi.
"Lagipun saya menghargai setiap orang yang pernah hadir dalam hidup saya kerana mereka meninggalkan kesan yang penuh makna dalam kehidupan saya," ujar wanita yang berusia 27 tahun itu.
Walaupun melalui jalan perit yang sama buat kali kedua, Natasha berkata, dia tidak pernah serik dengan alam perkahwinan kerana dia percaya kepada jodoh yang ditentukan oleh Tuhan.
Baginya, dia tidak pernah serik untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi andai ada jodoh namun tidak merancang untuk mencari pengganti dalam masa yang terdekat.
Buat masa ini, fokus Natasha hanyalah kepada keluarga, kerjaya dan terutamanya anak perempuannya itu.
Tambah Natasha, bekas suaminya juga sama sepertinya iaitu tidak mencari pengganti dalam masa terdekat ini dan ingin menumpukan lebih perhatian kepada anak kecil mereka dahulu.
Apabila penceraian berlaku kepada seorang wanita lebih daripada sekali, pasti banyak yang akan berkata buruk malah mencercanya.
Natasha sedia maklum akan situasi yang dia akan hadapi namun baginya ia tidak sedikitpun menjejaskan kehidupannya.
"Saya pasti saya akan mendapat tohmahan daripada orang sekeliling dan pasti ada yang menilai saya ini teruk atau sebagainya.
"Geram itu memanglah ada tetapi kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana manusia ada mulut untuk berkata dan mereka bebas untuk berkata apa-apa.
"Orang hanya melihat kisah kami dari luaran sahaja dan tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Apa yang penting saya kenal diri saya dan bekas suami saya juga mengenali saya," ujarnya tegas.
Tambahnya, dia sudah mula mendengar ada yang berkata penceraiannya merugikan kerana status bekas suaminya itu dan gelaran Datin yang akan hilang begitu sahaja.
"Ingin saya tekankan di sini, saya berkahwin dengan dia dahulu bukan atas dasar harta kerana diawal perkenalan kami, saya tidak tahu menahu pun berkenaan statusnya itu.
"Lagipun saya datang daripada keluarga sederhana dan saya sudah biasa berdikari mencari punca pendapatan sendiri," ujar Natasha lagi.
Pada masa yang sama, Natasha berharap dengan pengakuannya ini dapat mengelak segala unsur fitnah dan semoga dia boleh meneruskan hidup yang baru.
"Kita tutup buku 2009 dan semoga tahun 2010 merupakan tahun yang baik buat saya dan keluarga," katanya mengakhiri perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: