Bagi S. Ganesh Devan, 22, kehadirannya bersama rakan-rakan dari pertubuhan kebajikan sukarela Taiping City Watch menjengah dua buah keluarga miskin baru-baru ini sangat bermakna.

Pelajar semester akhir jurusan kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor itu mengakui penyertaannya dalam Kembara Kebajikan 1Malaysia di kawasan Parlimen Taiping dan Changkat Jering merupakan peluang keemasan yang dinanti-nantikannya selama ini.
"Membesar di Taiping sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading membuatkan saya kadang kala terlupa bahawa masih ramai penduduk kawasan ini dihimpit kesusahan hidup.
"Apa yang pasti, hati saya sedih ketika berkunjung ke dua buah rumah pada kembara kali ini. Lebih-lebih lagi apabila berpeluang melakukan sesuatu untuk meringankan beban yang ditanggung oleh dua keluarga berkenaan," kata S. Ganesh kepada Kosmo!.
Taiping City Watch
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King Edwards itu memberitahu, Taiping City Watch yang baru ditubuhkan tiga bulan lalu merupakan platform terbaik untuk masyarakat sekitar membantu golongan tidak bernasib baik.
"Tanpa mengira agama, kaum mahupun fahaman politik, pertubuhan ini secara konsisten akan mengenal pasti mana-mana individu yang berhak menerima bantuan dan diketengahkan masalah mereka," katanya.
Ahli-ahli Taiping City Watch dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat. Lebih mengujakan, ia melibatkan semua kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.
Dalam kembara berkenaan, rumah usang yang didiami ibu tunggal Zaniah Yob, 48, di Kampung Menteri, Kuala Sepetang kira-kira 30 kilometer dari bandar Taiping menjadi lokasi persinggahan pertama.
Pendapatan RM15
Kedaifan Zaniah yang membesarkan empat orang anak dalam pondok kecil itu nyata menginsafkan seorang lagi ahli kembara, Liew Lau Peng.
Kata Lau Peng, hatinya cukup tersentuh tatkala menjengah ke dalam kediaman terbabit.
"Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keluarga ini boleh hidup dengan selesa. Kerana di ruang yang sangat kecil itu mereka tidur dan makan. Malah di situ jugalah si ibu memasak menggunakan dapur kayu," katanya.

Zaniah yang berpendapatan kira-kira RM15 seminggu hasil bekerja di sebuah kilang kayu bakau berhampiran kampungnya bagaimanapun bersyukur kerana usahawan tempatan, Habidi Zain sudi mendermakan pasir, simen dan menanggung kos pendawaian bagi membina ruang kediaman yang lebih selesa.
Habidi yang merupakan ketua kembara tersebut menyatakan jiran-jiran ibu tunggal itu turut berganding bahu mendermakan batu-bata. Urusan membina rumah baru tersebut dijalankan secara bergotong-royong.
Tepat pukul 9.45 pagi, kira-kira 15 orang ahli Kembara Kebajikan 1Malaysia mula mengerah keringat bersama penduduk kampung.
Ganesh Devan, Lau Peng, Habidi dan orang kuat pertubuhan tersebut termasuk N. Arunasalam dan Muhayuddin Harun selaku Pengerusi Biro Aduan sibuk membancuh simen. Manakala beberapa yang lain diketuai Kamarul Zaman Ramli tidak kurang sibuk menyusun blok bata.
Jaga anak OKU
Selepas hampir tiga jam, ahli kembara berkenaan kemudiannya menuju ke kediaman seorang lagi ibu tunggal, S. Ponny di Taman Ria, Changkat Jering.
Ditinggalkan bekas suami lebih setahun lalu, Ponny memberitahu dia terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja kerana terpaksa memberi tumpuan sepenuh masa menjaga anak tunggal S. Kusander Kumar, 2, yang cacat fizikal sejak dilahirkan.
Selain itu, pengorbanan wanita berusia 33 tahun itu memelihara tiga orang anak tiri berusia tujuh hingga 11 tahun, hasil perkahwinan pertama bekas suami mendapat simpati kembara terbabit.
"Sejak setahun lalu, saya terpaksa melupakan niat untuk bekerja kerana anak bongsu tidak boleh berenggang, selain memerlukan perhatian sepenuh masa.
"Sepanjang tempoh itu, kami sekeluarga bergantung harap kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 walaupun ia tidak mencukupi bagi menyara anak-anak," katanya.
Ponny mengakui kehadiran kumpulan sukarelawan sememangnya dinanti, memandangkan sebelum ini tiada pihak selain JKM sudi menghulurkan bantuan.

Ponny turut merayu bantuan orang ramai untuk meringankan beban kos rawatan anak bongsunya yang kini disahkan pakar perubatan menghidapi penyakit hernia.
Selain menyerahkan bantuan berupa wang tunai bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung, Kembara Kebajikan 1Malaysia juga akan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian setiap bulan kepada Ponny sekeluarga.
"Saya dan ahli-ahli pertubuhan akan terus mengenal pasti mana-mana individu di sekitar kawasan Taiping dan Bukit Gantang yang memerlukan bantuan, tanpa mengira kaum dan agama," tegas Habidi.
Perpaduan di kalangan ahli yang disemai melalui pertubuhan itu akan terus diterjemahkan kepada masyarakat melalui program-program Kembara Kebajikan 1Malaysia yang bakal dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan selepas ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: