Saturday, December 19, 2009

Sedia awal hadapi temasya 2011




VIENTIANE, Laos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius terhadap penyertaan negara pada Sukan SEA yang akan datang dan akan membuat persiapan awal bagi menghadapi temasya yang akan berlangsung di Indonesia.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata negara akan menghantar atlet terbaik berdasarkan 37 acara yang dipertandingkan.

"Untuk Sukan SEA akan datang, kita hanya akan berehat lebih kurang sebulan sebelum kita cartakan sukan apa yang perlu kita sertai bagi persiapan yang tidak sampai dua tahun saja lagi," katanya semalam.

Beliau berkata, faktor murah dan jarak yang dekat antara Indonesia dengan Malaysia diharap dapat menarik penyokong pasukan negara untuk memberikan sokongan buat kontinjen negara nanti.

Sukan SEA XXVI akan berlangsung di empat kawasan di Indonesia iaitu Bandung, Semarang, Jakarta dan Palembang dengan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SGF) mengambil keputusan untuk menggugurkan empat acara yang dipertandingkan pada temasya di Laos iaitu acara petanque, renang sirip, muay thai dan timang bulu ayam.

Acara lain yang tidak dipertandingkan di Vientiane tetapi ditawarkan di Indonesia ialah tenpin boling, ekuestrian, gimnastik, lawan pedang, catur, lumba bot tradisional, kayak, mendayung, pelayaran, bola lisut dan besbol selain dua sukan ekstrem - mendaki tembok dan kasut roda.

Ahmad Shabery turut membayangkan negara berkemungkinan akan menyertai acara sukan tradisi negara ASEAN lain yang sering dipertandingkan di Sukan SEA.

"Kita kena lihat bagaimana Vietnam kuasai silat dan lihatlah hasilnya. Mereka menang enam pingat emas sementara Laos turut memenangi beberapa pingat dalam acara sepak takraw."

Pada temasya kali ini, Malaysia menduduki tempat keempat keseluruhan dengan 40 emas, 40 perak dan 59 pingat gangsa. Thailand (86-83-97), Vietnam (83-75-57) dan Indonesia (43-53-74).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: