Thursday, December 10, 2009

Saya yang bersalah - Anang


Anang kini mengumpul kekuatan meneruskan kehidupan dan membesarkan dua anaknya.


MENTERJEMAH kelukaan hati menerusi bait-bait lagu tentu sahaja terlakar rasa sedih, kecewa dan sakit yang tidak bisa diungkapkan dengan kata-kata.

Barangkali, tidak sepenuhnya riak kelukaan itu tercoret sebagai kata-kata yang melatari lirik lagu Separuh Jiwaku Pergi nyanyian Anang Hermansyah, 40, bekas suami penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti ini.

Album edaran Suria Records Sdn. Bhd. (SRC), yang memuatkan enam buah lagu termasuk versi karaoke lagu-lagu Separuh Jiwaku Pergi, Belajarlah Untuk Cinta, Hujan Pun Menangis, Sakit dan Bila Cinta Tak Dosa itu kini sudah pun berada di pasaran.

Berita keretakan rumah tangga suami isteri yang seringkali dilihat sebagai pasangan contoh buat para peminat mereka itu ternyata begitu mengejutkan.

Apatah lagi, mahligai yang terbina itu musnah setelah hampir 13 tahun disulami rasa cinta dan bahagia, ternoktah tiga hari sebelum menginjak tahun ke-13 usia perkahwinan mereka.

Tanggal 19 Ogos lalu, pelantun lagu Menghitung Hari itu diceraikan dengan talak tiga. Bagaimanapun, hanya pada 20 Oktober lalu, mereka berpisah secara rasmi dan disahkan oleh Pengadilan Agama Jakarta Selatan.

Bertemu Anang pada majlis pelancaran albumnya, Separuh Jiwaku Pergi di Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, bapa tunggal kepada dua anak, Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, itu memberitahu, hidupnya kini semakin tenang biarpun luka di hati masih belum terubat.

Mendapat perhatian ramai, kisah penceraian Anang dan Krisdayanti atau KD itu rupa-rupanya turut mengundang suara-suara nakal yang mengatakan Anang cuba meraih simpati khalayak dengan mendedahkan perselingkuhan bekas isterinya.

Malah, mencipta lagu-lagu yang diilhamkan daripada kisah di sebalik penceraian mereka memperlihatkan Anang seperti ingin meletakkan kesalahan di atas bahu bekas isterinya itu.

Menganggap sesiapa sahaja berhak mengemukakan pendapat, kata Anang, dia hanyalah seorang seniman yang berkarya menerusi nukilan jiwanya.

"Kerjaya saya adalah mencipta lagu dan menyanyi. Pesanan daripada seorang guru saya, mencipta lagu yang baik adalah daripada cerita peribadi sendiri.

"Bagi saya, Yanti (Krisdayanti) tidak perlu rasa bersalah kerana dalam hal ini dua-dua pun bersalah. Secara peribadi, Anang yang bersalah kerana jika pemimpin benar, pasti semuanya berjalan dengan baik.

"Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin keluarga selama 13 tahun, saya berhadapan terus dengan Allah.

"Kalau saya seorang pemimpin yang mampu berikan apa yang Yanti mahukan, sudah tentu tiada sebarang masalah," kata Anang lagi.

Mengakui ada ketika berasa sepi, kedatangan Anang ke Malaysia kali ini selama seminggu bermula 1 Disember lalu merupakan yang pertama tanpa ditemani seorang isteri.

"Saya baru tersedar bahawa saya sendirian apabila saya diterima sebaik ini di Malaysia. Saya tidak pernah membayangkan ini akan terjadi. Ternyata Allah maha besar buat saya," katanya sambil merenung jauh.

Anak-anak belum bersedia

Hakikatnya, bukan hanya Anang sedang hebat ditebak keresahan pelbagai emosi malah, kedua-dua anaknya itu juga tidak kurang terkesan, trauma kehilangan ibu tercinta.

Sedangkan dirinya sendiri, kata Anang, mengetahui pelbagai kisah tentang perubahan sikap isteri daripada mulut anak-anaknya sendiri.

"Anak-anak yang tahu kisah ini. Saya tahu pun daripada mereka. Inilah yang menjadi masalah buat saya dan anak-anak. Ternyata kelukaan ini tidak bisa cepat sembuh.

"Kalau saya kata tidak kecewa sudah tentu salah kerana sejujurnya saya begitu kecewa. Namun, apa pun yang terjadi saya harus terus melangkah dan bertanggungjawab.

"Perasaan berat kini bukanlah penceraian. Bagi Yanti (panggilan untuk Krisdayanti), dia sudah semestinya bersedia. Cuma kini anak-anak yang masih belum bersedia untuk meneruskan hidup tanpa ibu.

"Sepanjang tempoh dua bulan pembikinan album, kerjaya dan anak-anak adalah sahabat paling dekat dengan saya.

"Apapun yang terjadi saya tidak boleh sedih kerana saya perlu jalani tanggungjawab kepada anak-anak dengan baik," tenang Anang menyuarakan isi hatinya.

Tentang anak-anak, tegas Anang, dia akan berbincang secara profesional dan tidak menghalang pertemuan antara bekas isteri dengan anak-anaknya itu.

Namun, untuk masa terdekat ini jelasnya, lebih baik dia dan Krisdayanti tidak bertemu kerana ingin menumpukan perhatian terhadap promosi album dan juga anak-anaknya.

Bagaimanapun, menurut Anang, dia bakal berbahagia dan bersyukur jika bekas isterinya mengambil keputusan untuk segera berkahwin.

"Saya belum pernah diperkenalkan dengan orang yang dimaksudkan. Bagaimanapun, saya begitu ingin berjumpa dengannya segera," kata Anang sebelum mengakhiri perbualan.

Masih dihubungi Krisdayanti

Sementara itu, Anang yang mengakui enggan mengalirkan air mata tatkala berpisah dengan Krisdayanti berkata, bekas isterinya itu masih menghubungi dan menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Namun, ujarnya, dia enggan 'melayan' sebarang teguran atau sapaan Krisdayanti dalam masa terdekat ini.

"Sekarang ini, saya sangat membatasi komunikasi saya dengannya. Kadang-kadang dia masih hantar SMS atau menghubungi saya.

"Pertanyaannya lebih kepada banyak perkara dan soal kerja. Maaf, saya tidak mahu berbicara dengannya.

"Saya tidak berdendam dengan dia. Untuk apa aku berdendam. Dahulu kami pernah bercerai dan Allah mahu kami kembali. Kali ini, dalam masa terdekat ini, Insya-Allah kami tidak akan kembali sebagai suami isteri lagi,'' tegasnya penuh makna.

Sepanjang mengenali wanita itu, Anang mengakui, Krisdayanti merupakan wanita yang sangat luar biasa.

Anang turut mendedahkan yang kehidupannya sebelum ini cukup indah ketika bersama penyanyi wanita popular tersebut.

"Saya tidak menangis ketika bercerai. Saya hanya menangis sewaktu bapa saya meninggal dunia sahaja. Sekarang saya sudah okey.

"Apa yang membuatkan saya kuat adalah kerana tanggungjawab terhadap anak-anak,'' jelasnya.

Teringat kenangan di KL

Dalam pada itu, kehadiran Anang sekali lagi ke Kuala Lumpur (KL) turut menggamit memorinya sewaktu bersama Krisdayanti bertandang ke negara ini.

"KL sudah seperti rumah kedua saya dan Krisdayanti. Banyak kenangan luar biasa kami di sini.

"Sewaktu tiba di sini, saya sempat ke tempat-tempat yang pernah saya dan Yanti berjalan-jalan, membeli-belah dan makan.

"Dahulu, kami suka makan-makan di sekitar Bukit Bintang. Anak-anak pun suka datang ke sini. Malah, mereka kalau disuruh memilih sama ada hendak bercuti di KL atau Singapura, mereka akan pilih KL,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: