KUALA LUMPUR, 9 Dis Maybank menyasar untuk meningkatkan jumlah deposit sebanyak RM3.25 bilion di bawah kempen terbarunya untuk mempromosikan deposit, berbanding pertumbuhan sebanyak RM1.45 bilion yang dilihat pada kempen sebelumnya.
Kempen deposit 'Maybank Extra Rewards' yang akan berjalan selama empat bulan itu menjanjikan hadiah bagi semua pelanggan yang membuat deposit tambahan sebanyak RM500 dalam akaun simpanan atau akaun semasa setiap bulan.
Tidak seperti lain-lain kempen yang menawarkan hadiah selepas tamat tempoh kempen, kempen ini menjanjikan hadiah kepada semua penyimpan yang layak, kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai tambahan kepada tawaran diskaun istimewa bagi deposit tambahan RM500, kempen ini juga menawarkan peluang memenangi hadiah bulanan sepanjang tempoh kempen.
Kempen deposit selama empat bulan sebelum ini telah berlangsung mulai pertengahan Februari hingga akhir Jun 2009 dan telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.45 bilion, kata Ketua Perbankan Pengguna Maybank, Lim Hong Tat.
"Kempen sebelum ini berkesan walaupun keadaan ekonomi amat mencabar serta penerbitan Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Wawasan 2020, Bon Simpanan Merdeka dan Sukuk Simpanan Rakyat berjumlah RM12.33 bilion dalam tempoh itu," tambahnya.
Di bawah promosi ini, pemegang akaun semasa, simpanan, wang asing atau buku simpanan emas konvensyenal atau Islam Maybank (kecuali deposit Wadiah) layak mendapat hadiah.
Hadiah-hadiah ini termasuk diskaun apabila membeli barangan di kedai-kedai ternama termasuk makanan, hiburan, barangan rumah, fesyen dan perjalanan.
Mereka juga layak memenangi hadiah bulanan seperti barangan elektrik serta hadiah utama termasuk pakej pelayaran ke Scandinavia & Rusia, Mediterranean dan Alaska.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: