Thursday, December 10, 2009

Nostalgia empat dekad EWF


AKSI tiga vokalis utama Earth, Wind & Fire sewaktu menyanyikan lagu popular mereka yang berjudul Love's Holiday.


EARTH, Wind & Fire (EWF) merupakan antara kumpulan pemuzik yang lama bertahan dalam persada muzik antarabangsa sejak ia diasaskan pada penghujung tahun 1960-an dengan dianggotai seramai 10 anggota.

Sepanjang tempoh kira-kira 40 tahun bergelumang dalam bidang muzik, EWF telah menarik jutaan peminat dari seluruh dunia termasuklah di negara ini yang masih belum melupakan lagu-lagu nyanyian mereka.

Justeru, biarpun lebih empat dekad merakamkan album dan mengadakan konsert di merata-rata tempat, para peminat tempatan tetap memberi sambutan yang hangat setiap kali mereka berkunjung ke negara ini.

Sambutan hangat itu dapat dilihat apabila EWF buat kali kedua mengadakan persembahan di negara ini.

Kunjungan mereka ini sempena konsert bergerak kumpulan itu di Asia bagi mempromosikan album terbaru mereka yang berjudul The Promise.

Apa yang menariknya, konsert terbaru kumpulan kulit hitam Afrika-Amerika yang berlangsung di Sunway Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini membuktikan sambutan para peminat tidak pernah luput biarpun usia sebahagian besar daripada mereka melebihi 60 tahun.

Seawal pukul 6 petang lagi para peminat EWF yang kebanyakannya berusia 40 tahun ke atas sudah mula berbaris di luar pusat taman tema terkenal itu biarpun konsert bermula pada pukul 9.15 malam ekoran hujan renyai-renyai yang turun sebelum itu.

Bukan setakat para penonton, malah penyanyi utama dan juga antara anggota asal EWF, Maurice White juga cukup teruja sewaktu beraksi di pentas konsert terbesar yang pernah mereka adakan di negara ini pada malam itu.

"Kami terharu kerana anda semua masih lagi bersama kami pada hari ini selepas hampir 40 tahun Earth, Wind & Fire ditubuhkan," kata Maurice sewaktu tampil di pentas konsert yang disaksikan kira-kira 2,000 peminat itu.

Sebelum itu, para peminat kumpulan itu begitu setia menantikan kemunculan EWF yang sepatutnya menghiburkan mereka pada pukul 8 malam.

Bagaimanapun hujan renyai-renyai yang turun pada malam itu sedikit melewatkan kemunculan mereka.

Namun begitu, para penonton bersorak sakan apabila hujan kelihatan reda sewaktu kesemua anggota kumpulan itu tampil di atas pentas.

Yang seronoknya, para peminat EWF yang bukan golongan remaja menyanyi bersama-sama setiap lagu yang disampaikan.

Malah, para penonton yang menyaksikan konsert EWF itu yang mengenakan harga tiket RM888, RM688, RM388 dan RM158 itu turut menari bersama-sama ala-ala tarian disko funky tahun 1970-an yang cukup sinonim dengan kumpulan tersebut.

Lagu-lagu seperti Keep Your Head To The Sky, Love's Holiday, Common Children, Shinning Star dan That's the Way of the World merupakan antara lagu-lagu EWF yang terus segar dalam nostalgia para peminat mereka sehingga ke hari ini.

Bukan setakat para peminat tahun 1970-an yang kini rata-rata berusia 50-an menonton konsert itu, malah pemain dram kumpulan Meet Uncle Hussain, Bakri turut tidak ketinggalan menyaksikannya.

Menurut Bakri, dia cukup kagum dengan muzik EWF yang begitu segar dan tidak luput ditelan zaman di mana ia sedikit sebanyak memberi sumber inspirasi kepadanya dalam memantapkan lagi pengaruh muzik dalam ketukan dramnya.

"Bagi saya, EWF memang sebuah kumpulan yang hebat. Mereka bukan sahaja tidak luput ditelan zaman, tetapi persembahan mereka juga tetap bertenaga biarpun sudah berumur mencecah 70 tahun. EWF merupakan antara kumpulan funky disko yang hebat di dunia," ujarnya ketika ditemui Hits selepas berakhirnya konsert itu.

Pemain dram Search, Yazit Ahmad yang turut hadir menyaksikan konsert itu bersama isterinya merupakan antara sebilangan penonton yang sudah menggagumi EWF sejak lebih 30 tahun lalu sejak kumpulan itu mula tampil dengan album sulung berjudul Earth, Wind & Fire pada 1970.

Selain album itu, EWF juga popular menerusi album-album mereka seperti The Need of Love (1971), Open Our Eyes (1974), Spirit (1976), I Am (1979), Powerlight (1983), dan Heritage (1990) merupakan antara album mereka yang berjaya dijual jutaan unit di seluruh dunia.

Sepanjang hampir 40 tahun ditubuhkan EWF telah menghasilkan 30 buah album termasuklah album penuh dan album kompilasi yang meletakkan mereka sebagai antara kumpulan kulit hitam Afrika-Amerika yang berjaya di pentas antarabangsa.

Selain Maurice White, EWF turut dikuatkan lagi vokal mereka menerusi dua penyanyi sampingannya iaitu Phillip Bailey dan Ralph Johnson yang sering berpadu suara dalam menyampaikan lagu-lagu popular kumpulan itu.

Paling mencuri tumpuan ialah pemain bass dan juga salah seorang anggota asal EWF iaitu Verdine White yang kelihatan begitu hyper active dengan bunyi petikan gitarnya yang berdentam-dentum sambil berlari-lari anak sewaktu beliau beraksi di pentas konsert tersebut.

Persembahan EWF yang berlangsung selama hampir 90 minit itu seakan-akan memberi kepuasan dan rahmat apabila hujan yang berhenti di awal konsert turun semula sebagai memberi isyarat berakhirnya aksi kumpulan pemuzik funky disko bertaraf legenda pada malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: