KETIKA kebanyakan syarikat produksi tempatan berpusu-pusu mencari bintang baru, muda dan terkenal untuk menjayakan filem atau drama pembikinan mereka, berlainan pula dengan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, milik pelakon popular, Rosyam Nor. |
Lebih gemar menampilkan pelakon berpengalaman yang sewaktu dulu pernah mencipta nama di persada industri hiburan tempatan untuk memegang watak utama dalam drama mahupun telefilem terbitan Suhan, Rosyam pernah
'diperlecehkan' kerana tindakannya itu.
Malah, dia sendiri pernah dikatakan syok sendiri atau 'hero tua' kerana watak yang dijayakan Rosyam, 42, dilihat hanya sesuai dipegang aktor muda yang popular ketika ini.
Menyangkal dakwaan itu sebelum ini, ujar Rosyam tiada istilah 'hero tua' dalam persada lakonan tempatan, kerana yang penting adalah bakat.
Justeru, tidak menghairankan apabila Rosyam meneruskan tradisi itu dengan penerbitan drama bersiri terbaru syarikatnya berjudul Sanggar Cinta Raudhah yang bersiaran setiap Khamis di TV2, jam 8.30 malam, mulai 3 Disember lalu.
Menampilkan aktres hebat, Aida Radzwill sebagai bintang utama drama itu, ia mengisahkan kisah perkahwinan seorang lelaki muda berusia 27 tahun, Izwan (Zizan Nin) dengan wanita berusia 40-an, Raudhah (Aida Radzwill).
Izwan nekad berkahwin dengan Raudhah bukan saja kerana faktor tangkap basah dalam serbuan pegawai pencegah maksiat di pejabat pada lewat malam bahkan kerana kecewa dengan sikap bekas teman wanitanya sebelum itu. Biarpun begitu, Izwan amat menyayangi Raudhah dan tidak pernah menjadikan usia sebagai halangan mencurah kasih sayang.
Namun, pelbagai perkara yang terpaksa dihadapi Raudhah selepas perkahwinan itu terutama penerimaan di kalangan anak tirinya.
Melihat fenomena yang ditampilkan Rosyam ini, diajukan persoalan sama ada dia yakin Sanggar Cinta Raudhah mampu menarik perhatian penonton.
|
Menjawab persoalan itu, beritahu Rosyam, pemilihan Aida adalah bertepatan dengan jalan cerita.
Malah, dia ingin membuka mata produser lain agar memberi peluang kepada pelakon yang pernah mengukir populariti dulu, untuk ditawarkan watak utama dalam sesebuah drama dan telefilem.
"Sejujurnya, saya tidak pernah takut mengenai rating kerana yang penting adalah kualiti jalan cerita dan pemilihan pelakon.
"Disebabkan itu, saya sentiasa mengambil penulis skrip dan pengarah yang sudah ada nama untuk memberi impak menarik pada setiap drama dan telefilem terbitan Suhan.
"Dari sudut pemilihan pelakon, memang saya amat titik beratkan. Saya tidak pandang rupa atau populariti, kerana yang penting bakat.
"Buat apa, kita ambil pelakon muda terkenal, tetapi sukar memuaskan hati? Kita buat sesuatu drama kerana ingin menghiburkan penonton dan kalau sekadar 'jual muka' lebih baik jadi model majalah saja.
"Siapa tidak kenal Aida? Seorang aktres hebat yang pernah mencetus fenomena dalam persada hiburan tempatan. Tetapi, disebabkan faktor usia dan kebanjiran pelbagai pelakon muda, bakat Aida bagaikan cuba diluputkan sesetengah produksi. Atas alasan itu, sejak kebelakangan ini dia selalu ditawarkan watak ibu walhal Aida masih berupaya menjiwai apa saja watak biarpun heroin.
"Inilah masalah sesetengah produksi tempatan yang menyempitkan ruang mereka dengan menawarkan watak utama hanya kepada pelakon baru dan muda saja. Saya yakin, populariti Aida masih kukuh dan mampu menarik perhatian ramai untuk menonton Sanggar Cinta Raudhah.
"Saya juga harap produksi lain turut mengambil peluang menawarkan watak utama kepada pelakon seperti generasi Datuk Jalaluddin Hassan, Aida. Siapa kata mereka tidak sesuai menggalas peranan utama? Mereka boleh, cuma ikut pada karakter serta bersesuaian dengan jalan cerita.
"Lagipun, kalau semua tertumpu pada pelakon baru dan drama untuk generasi muda, bagaimana pula dengan cita rasa orang dewasa? Atas alasan itu, Suhan mempelbagaikan genre drama dan telefilem terbitannya, agar memberi kepuasan jitu kepada penonton," katanya ketika ditemui di majlis pratonton Sanggar Cinta Raudhah dan R&R di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.
R&R pula adalah sebuah drama bersiri komedi berkisar kehidupan peniaga, pekerja penyelenggaraan dan tetamu yang singgah di satu kawasan Rehat dan Rawat di Lebuhraya Utara-Selatan.
Diarahkan Amie Maziah, drama 26 episod ini membariskan pelakon Nik Sayyidah Fatiha (Mek), Ku Fridah Ku Shafie, Syanie, Syed Aiman, Didie Alias, Mahmud Ali Bashah, Amyza Aznan dan Acong akan disiarkan mulai 12 Disember ini, setiap Sabtu, jam 8.30 malam di TV2.
Sementara drama 20 episod Sanggar Cinta Raudhah lakonan Aida, Zizan, Azhan Rani, Watie Sadali, Farah Alya, Liza Othman dan Kapt (B) Mohd Nor.
Menyingkap kisah peribadinya, sama ada dia akan memberi keizinan kepada anaknya untuk menceburi dunia lakonan, beritahu Rosyam dia tidak kisah kerana dari sumber itulah dia membesarkan mereka.
Menyentuh mengenai gambar seorang gadis remaja cantik yang tersebar di sebuah laman sesawang dikatakan adalah anaknya, Rosyam yang sememangnya terkenal dengan sikap merahsiakan ahli keluarganya, menyangkal dakwaan itu. "Betul ke itu anak saya? Sejak dari dulu lagi saya amalkan sikap tidak mahu membabitkan keluarga dalam karier seni. Bagi saya, itu adalah perkara peribadi dan lebih gemar menjurus pada perjalanan seni saja. Tetapi, kalau anak saya ingin terbabit dalam dunia seni, saya tidak kisah dan memberi persetujuan penuh," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: