Saturday, December 5, 2009

'Bertuahnya tanah tumpah darahku'


PENYANYI mempertaruhkan suara, tetapi Mohram cuma bermodalkan seruling buluh dan rebana namun mampu membawa mereka ke merata dunia.

Hampir ke semua pelosok benua sudah direntasi Mohram, namun kunjungan ke Buenos Aires, Argentina, pada Oktober lalu untuk mengadakan dua persembahan menyedarkan mereka betapa bertuahnya hidup di tanah tumpah darah, Malaysia.

Apakan tidak, selaku pemain rebana Ramli Hamid, 41, bercerita ketika zaman persekolahan Argentina diketahui sebagai sebuah negara maju dengan ekonominya yang stabil, tetapi bila melihat depan matanya betapa ia cuma indah khabar saja.

"Jika kita berjalan-jalan di bandar raya di sana pemandangannya memang indah dengan dihiasi bangunan bersejarah. Cuma tidak sedap di mata bila melihat kedaifan masyarakat setinggan mereka cuma hidup berdindingkan papan lapis saja.

"Saya kira setinggan kita di sini lebih mewah. Saya difahamkan golongan pekerja di sana bekerja bukan lapan jam seperti kita, tetapi 12 jam sehari dengan pendapatan sekitar RM1,000. Sebab itulah bila ada pekerja kita spesies berkira, sepatutnya kita bersyukur.

"Aneh pula walaupun ramai orang susah, tetapi pendatang asing juga ramai di sana yang rata-rata dari Peru, Uruguay dan China.

"Namun saya kagum juga melihat masyarakat mereka yang kelihatan agresif dan tekun dalam pekerjaan," katanya.

Muzik, kata Ramli, membawanya ke merata dunia, tetapi di Buenos Aires, dia melihat ramai pemuzik jalanan di sepanjang Florida Street yang mempunyai bakat luar biasa.

Malah, dia sempat bertemu dengan dua generasi penari tango, seorang lelaki dan wanita, yang mencari nafkah dengan mempersembahkan muzik serta tarian di jalanan saja bukan di lokasi eksklusif.

"Saya diberitahu untuk melihat tango di kelab bayaran dikenakan mencecah RM200 untuk satu persembahan saja. Melihat aksi mereka di jalanan saja cukup teruja dan apabila saya bertanya, kata mereka dengan cara itu saja dapat menampung kehidupan.

"Ia berbeza di negara kita, agak sukar untuk kita melihat penari zapin atau inang cari makan di jalanan," katanya.

Sementara peniup seruling, Mohardiman Ismail, 43, yang agak pendiam terkejut ketika sedang leka melihat penari tango wanita tiba-tiba mencium pipinya.


Sebaik ditanya mengapa, dijelaskan penari itu sebagai tanda menghargai sesama insan seni.

"Dari riak muka saya dapat melihat mereka menarik dengan hati, begitulah insan seni bukan boleh dipaksa-paksa," katanya.

Di sebaliknya, Mohar tertarik melihat kereta model lama terutama era 70-an masih lagi bersimpang siur di jalan raya Buenos Aires.

Bahkan lalang menjalar di lebuh raya, kata Mohar, jelas seperti tidak terurus dengan baik oleh pihak bandaraya sana.

"Ambil contoh lebuh raya Plus kita dari utara ke selatan, sayup saja mata kita memandang rumput serta pokok bunga yang dijaga.

"Golongan kanak-kanak juga dengan mengendong adik ke hulu ke hilir meminta sedekah. Bukan maksud saya mahu menceritakan buruk negara orang, cuma kita boleh mengambil iktibar jika tidak berjaga-jaga, nasib kita pun seperti mereka," katanya.

Sama ada Ramli atau Mohar, apa yang membuatkan mereka berasa bangga selama lapan hari berada di Buenos Aires, sekalipun Malaysia jauh di benua Asia, tetapi rata-rata masyarakat di sana mengetahui Sepang sebagai lokasi Formula One.

Ramli dan Mohar, duo maestro dunia muzik Melayu tradisional, yang menggelarkan diri mereka Mohram ke Argentina bersama pengurus mereka DW Rhapazody Sdn Bhd dan Memories Event Company bagi menjayakan majlis makan malam anjuran Petronas sempena Persidangan ke-24 Gas Dunia. Kali pertama Mohram sertai rombongan Petronas ketika ke Davos, Switzerland pada 2007.

Persembahan pertama Mohram di Hotel Sheraton turut disaksikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican. Bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke Argentina, Datuk Zulkifli Yaacob tiba agak lewat iaitu sebaik persembahan Mohram berakhir.

Dek terkilan, kata Ramli, selang empat hari di sana Zulkifli yang juga peminat Mohram mempelawa duo itu memeriahkan Minggu Asean.

"Minggu Asean ini tiada dalam program kunjungan kami ke Argentina. Melihat negara Asean lain seperti Indonesia dan Thailand lengkap membawa band muzik, saya dan Mohar tidak mahu memalukan pihak kedutaan Malaysia. Kami mengalunkan tiga lagu Galang Maya, Lenggang Dara dan Tari Wau dan syukur masyarakat tempatan memberi sambutan hangat pada Mohram," katanya.

Mohar pula tersentuh apabila Zulkifli memberitahu betapa dia sudah mendengar nama Mohram sekian lama, tetapi tidak berpeluang menonton persembahan duo itu ketika di Kuala Lumpur, namun tidak disangka bertemu di Buenos Aires.

"Pertemuan tidak disangka, tetapi di sebaliknya dengan muzik dapat memulihara maruah negara," katanya.

Program kedua Mohram menghiburkan delegasi di booth Petronas sempena persidangan itu. Sama seperti malam

perasmian, Mohram mengalunkan lagu Ombak Hijau, Tari Wau, Asimilasi, Lenggang Dara dan Perahu.

Menariknya beberapa delegasi tertarik dengan alunan seruling buluh Mohar dan rebana Ramli hingga ada di antara mereka mencuba meniup dan memukul rebana.

Mohram barangkali asing pada peminat muzik indie, tetapi tidak pada mereka yang memahami perjuangan seni dua anak muda ini.

Sejak digabungkan, Mohram mencetus fenomena tersendiri, apakan tidak berbanding penyanyi tersohor tanah air, dua maestro muzik Melayu ini terlebih dulu diberi penghormatan oleh Istana Budaya untuk beraksi dalam konsert pada 2004.

Sesuatu yang istimewa konsert diberi nama Kembara Jiwa turut disaksikan pembesar negara. Pelbagai ulasan dan kritikan diterima bahkan melalui laman blog, Sultan Muzaffar disifatkan alunan dua alat muzik tradisional itu begitu meresap ke jiwa dan begitu memikat hati, malah seperti tidak puas meskipun persembahan sudah berakhir.

Kunjungan ke Argentina serta pelbagai negara di pelosok dunia, jelaslah muzik Mohram sebenarnya merentasi sempadan bangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: