Tuesday, December 1, 2009

'Sakit di mata sakit di hati'


KEADAAN di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru yang kotor dengan contengan sehingga menyakitkan pemandangan mata.


KUALA LUMPUR - Bukan sahaja pangsapuri sekitar ibu kota yang berwajah hodoh, kusam dan kotor seperti yang dilaporkan Kosmo! minggu lalu tetapi senario sama turut berlaku di beberapa bandar besar yang lain.

Tinjauan mendapati penduduk di Pangsapuri Mediterranean di Seksyen 25, Shah Alam terpaksa menjalani kehidupan harian yang memeritkan apabila air limpahan buangan yang bertakung di laluan pejalan kaki sejak lebih tiga bulan lalu tidak diperbaiki oleh pihak bertanggungjawab.

Di Johor Bahru, situasi flat-flat kos rendah ibarat 'sama hodoh sama padan' dengan flat di Kuala Lumpur apabila penempatan di sekitar Stulang Laut, Taman Cendana Pasir Gudang, Taman Scientex Masai dan Flat Nipah, Taman Daya yang seolah-olah terbiar dan tidak diselenggara langsung.

Begitu juga di Flat Desariang Batu Uban di Pulau Pinang kelihatan cukup menyedihkan dengan bau dan sisa-sisa kekotoran yang begitu menjijikan.

Sementara di Flat Taman Semarak 2 di Nilai, Negeri Sembilan, flat lima tingkat yang mempunyai 18 blok itu amat daif dengan cat yang lusuh, lampu tidak berfungsi serta dipenuhi poster haram dan peti surat yang rosak.

Di Flat Waller Court di Jalan Datuk Jaafar, Ipoh pula, persekitaran premis itu hampir sama wajahnya dengan bangunan tersebut yang berusia 67 tahun itu apabila kawasan sekitarnya tidak terjaga dan kelihatan usang sehingga mencacatkan pemandangan Ipoh yang bertaraf bandar raya.


LIMPAHAN air di tengah-tengah Pangsapuri Mediterranean di Seksyen 25, Shah Alam yang bertakung akibat sistem longkang yang tersumbat sehingga mengeluarkan bau busuk.



SAMPAH SARAP yang memenuhi longkang menyebabkan saluran longkang tersumbat dan kelihatan begitu menjijikkan di Flat Desariang Batu Uban, Pulau Pinang.



FLAT Waller Court di Jalan Datuk Jaafar di Ipoh yang sudah usang dan tidak diselenggara sehingga mencacatkan keindahan bandar raya Ipoh.



PERBUATAN vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab memburukkan lagi keadaan persekitaran Flat Taman Semarak 2 di Nilai, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: