|
|
SITI selalu kata, kalau seorang artis tak ada disiplin, kurang ajar dan sebagainya, Siti anggap itu adalah sikap individu. Ia tidak ada kena mengena dengan profesion artis. Maka kita tidak boleh pukul rata bahawa semua artis kita tak ada disiplin dan tak reti bahasa dan tak tau tengok jam.
Memanglah kita selalu dengar keluhan pihak yang berhubung secara langsung dengan artis. Pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi. Soal masa jangan cakaplah, selalu lambat dan membiarkan orang yang tunggu mereka.
Tapi apabila artis Radhi OAG mendakwa, dia rockstar dan lumrah datang lambat, telinga Siti pun berdesing. Apa lagi minggu lalu pagi-pagi lagi seorang penyanyi rock jauh berkali ganda hebat daripada Radhi membebel panjang perihal Radhi yang datang lambat ke Mahkamah Syariah.
“Hei, budak ni siapa yang mendakwa dia rockstar? Jangan sesekali mengaku rockstar kalau perangai macam tu,” itulah sergah penyanyi rock itu kepada Siti. Siti pun jawab, “Entah, saya tak kenal dia cuma orang heboh kisah cerai dia saja.”
Bagi Siti, Radhi tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja mengheret seolah-olah sikap buruk yang tak menepati masa itu menjadi amalan semua artis kita. Ini tak adil kepada artis yang menghormati masa. Jangan sama sekali mengaitkan diri sendiri yang buruk dengan kawan-kawan. Radhi kena sedar, tak semua orang macam dia.
Siti nak tanya Radhi, hebat sangatkah gelaran “rockstar” hingga boleh datang ke mahkamah macam pergi pasar? Ikut suka dia pukul berapa nak datang. Siapa yang bagi gelaran “rockstar”. Radhi kena sedar banyak artis yang lebih hebat daripada dia pun tak berani nak mengaku rockstar. Apa lagi dengan sikap acuh tak acuh dengan arahan mahkamah.
Menghormati masa tidak terkecuali kepada sesiapa pun. Menteri, pemimpin, seniman malah tukang sapu sekali pun mesti menghormati masa. Sekali lagi Siti tegaskan inilah sikap segelintir artis yang terserkup bawah tempurung kehebatan yang dicipta sendiri dan mencalitkan lumpur kepada artis yang penuh pekerti.
Bayangkan artis sendiri pun rasa terhina bila disekutukan dengan sikap tak berdisiplin, tambah lagilah khalayak umum. Siti bimbang kalau orang menganggap inilah sikap artis rock Malaysia. Padahal hakikatnya sikap individu. Kalau Radhi jadi apa sekalipun, dia buat perkara yang sama juga. Dalam kata lain tak ada kena mengena dengan rockstar yang disebut itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: