![]() |
| KALAU sudah namanya Khadijah Ibrahim, persembahannya tidak pernah mengecewakan. |
TEMPOH 30 tahun merupakan jarak waktu yang terlalu lama untuk menantikan tiga nama besar ini berkolaborasi di satu pentas yang sama.
Lantaran itu, janganlah salahkan penonton jika mereka tidak mahu pulang awal ke rumah malam Jumaat lalu apabila menyaksikan konsert An Evening With Datuk Khadijah Ibrahim Featuring Ramli Sarip.
Pertama kali muncul bersama, pasangan duet popular tahun 1980-an itu bersama Jay Jay jelas meninggalkan memori indah buat penonton yang asyik dibuai himpunan lagu-lagu indah popular mereka sejak melakar nama di persada muzik tanah air tiga abad lalu.
Biarpun jarum jam sudah melewati ke angka 12.15 minit malam, penonton masih lagi tidak mahu bergerak malah mereka semakin larut dibawa belayar ke alam penuh nostalgia.
Bertempat di Pusat Konvensyen Persada Johor di Johor Bahru, Johor tiada keluh kesah yang kedengaran sebaliknya riak wajah penonton terpancar bahagia tiap kali Khadijah, Ramli dan Jay Jay muncul di depan mata.
Jelas sekali, malam 4 Disember lalu menjadi milik mereka biarpun masing-masing sudah melepasi usia 50-an dan seperti yang dijangka, dewan penuh sesak dengan kehadiran lebih 1,100 penonton.
Paling mengusik jiwa apabila kemunculan mereka bertiga yang menyampaikan lagu Hidup Senandung Berbudi buat pertama kali di pentas walaupun telah merakamkannya sejak 19 tahun lalu.
"Abang Ramli, mereka tidak percaya lagu ini kita akan menyanyi pertama kali secara langsung di pentas," ngomel Khadijah kepada Ramli sambil Jay Jay senyum meleret sebelum persembahan bermula.
Selamba jawab penyanyi kelahiran Singapura itu: "Kena percayalah kerana malam ini kami akan menyanyikannya."
Jay Jay penuh santai
Bekas vokalis kumpulan Carefree itu memanaskan gelanggang sekitar pukul 9 malam. Walaupun muncul ketika penonton sedang enak menjamu selera, nafsu makan penonton bagaikan terhenti.
Sebagai pembuka tirai konsert, Jay Jay bukan sahaja bijak mengawal vokalnya sebaliknya dia memiliki kelebihan yang tiada pada Khadijah dan Ramli.
Meskipun pada awalnya ada suara sumbang meneka siapakah yang akan menjadi 'mangsa' apabila tiga penghibur ternama berentap, Jay Jay membuktikan dia perlu menjadi Jay Jay yang terkenal dengan vokal mantap tetapi penuh santai.
Secara tidak langsung, persembahan Jay Jay hampir 30 minit itu berlangsung ceria menerusi rangkaian lagu-lagu malar segar seperti Joget Angan Tak Sudah, Belaian Jiwa, Permaisuriku dan Kita Insan Biasa.
Akhirnya tanpa perlu dipaksa, penonton menolak tepi menu-menu lazat bersama pencuci mulut bagi memberi laluan kepada kelunakan vokal Jay Jay yang tiada tolak bandingnya.
Ketika lagu wajibnya, Rindu Bayangan mengambil tempat, jiwa penonton bagai direntap apatah lagi perasaan penyanyi yang terkenal dengan imej bertopi itu memberikan penuh emosi kepada lagu berkenaan.
Khaty pukul habis
Yang ditunggu-tunggu muncul di atas pentas tepat pukul 10 malam. Khadijah atau nama pentasnya, Khaty membuka langkah dengan penuh syahdu apabila memilih melantunkan lagu Ayah.
Tampil dengan gaun malam berwarna hitam, ibu kepada dua anak itu kelihatan anggun walaupun dengan gaya solekan cukup sederhana.
Di sebalik rambutnya yang dilepas mengurai, Khaty terus pantas mencuri perhatian dengan lagu Ku Sangka Siang, Kiranya Malam sebelum tiba-tiba menjadi enegertik menerusi lagu Mc Arthur's Park.
Status penghibur memang terbukti apabila Khaty juga bijak berinteraksi dan jenaka bersahajanya membuatkan dewan seringkali gamat dengan gelak tawa penonton.
Sambil berlagu diiringi oleh sekumpulan ahli muzik yang diketuai pengarah muzik terkenal, Acis, Khaty rajin bercerita tentang kembara seninya sepanjang tempoh 31 tahun sama ada kisah suka dan duka.
Malah dia juga mengimbau kenangan rumah tangganya sebelum melontarkan lagu Memories dengan penuh perasaan yang didedikasi khas buat bekas suaminya.
Seterusnya, vokal gemersik lagi bertenaga Khaty memecah kedinginan malam menerusi senarai lagu pilihan termasuk Mama Oh Mama, Kau Timbul Kembali, Janjimu, Aku, Dia dan Malam, Tangisan Hati Yang Derita, Terbang Pulang dan Halimunan.
Penutup persembahan penyanyi yang kekal awet muda itu sudah pasti lagu 'berhantunya', Ku Pendam Sebuah Duka secara duet bersama anak kesayangan, Siti Hajar Aishah.
Gandingan dua beranak itu cukup mengesankan hinggakan dewan sunyi sepi dan sesekali terdengar jeritan apabila lantunan vokal nada tinggi yang dilepaskan begitu bersahaja.
Namun ketika bait-bait lirik yang berbuyi lebih elok cari pengganti, tiada kau menyendiri... yang ditujukan anaknya kepada Khaty, ibu tunggal itu secara berseloroh menjawab: "Saya lebih senang bersendirian."
Ramli bikin panas
Mencuri tumpuan khalayak, Ramli muncul di tengah-tengah persembahan dengan lagu Istilah Bercinta yang membuatkan dewan semakin membahang.
Bekas pengetua Akademi Fantasia musim keempat itu terus mendapat sorakan hebat penonton yang teruja melihat kemunculannya menyampaikan lagu Jikalau Bercinta.
Lagu Camelia jadi kemuncak apabila ragam penonton yang pelbagai kerana ada yang menyerbu ke depan pentas mengambil gambar, yang berdiri dan bertepuk sementara yang lain asyik duduk menikmati vokal serak basah Ramli.
Muncul pula duet lagu Ku Miliki Bayanganmu dan Doa Buat Kekasih bersama Khaty bukan sahaja membuatkan dewan jadi gemuruh dengan tepukan tetapi juga bergema dengan iringan suara penonton yang ikut sama melagukannya.
Berakhirnya konsert anjuran bersama Persada Johor International Convention Centre dan Puteri Pacific Johor Bahru, hanya satu kenyataan tepat bagi menggambarkan keseluruhan persembahan iaitu puas!
Bagi peminat yang kempunan untuk menonton lagi gandingan kehebatan tiga penyanyi Melayu yang berada dalam standard tersendiri itu, ada berita gembira untuk anda.
Khaty, Ramli dan Jay Jay merancang menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan konsert yang sama.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: