![]() |
| VOKALIS kumpulan Jinbara, Tia dan Hattan berduet menerusi lagu Mentera Semerah Padi. |
ANUGERAH Skrin 2009 (ASK2009) berakhir malam Jumaat dengan mengambil tema Hikayat 1001 Malam atau Arabian Night.
Tentang keputusannya, rasanya tidak perlulah lagi diulas kerana apa yang pasti, pihak juri telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang dalam memilih pemenang tahun ini.
Bukan itu sahaja, dengan keputusan yang telah dilakukan, diharapkan agar tiada lagi istilah rumah siap pahat masih berbunyi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ASK sering menampilkan kelainan dengan menetapkan tema untuk acara tahunan anjuran TV3 itu.
Untuk itu, wajar sekali diberikan sekalung tahniah kepada TV3 kerana tidak pernah putus idea untuk memberikan santapan serta pendekatan baru dari segi tema bagi menampilkan variasi.
Tetapi, apa yang tidak sedapnya apabila setiap kali tema diperkenalkan untuk ASK, jarang ia meninggalkan impak yang besar sejurus selepas acara berakhir.
Itulah senario yang dapat dilihat saban tahun menerusi acara itu baik dari segi perjalanan majlis, persembahan artis sehinggalah ke hosnya.
Untuk ASK2009, tema Hikayat 1001 Malam itu dilihat tidak menepati konsep penganjuran anugerah itu sendiri dan ia dilihat seperti tidak serius mahu menjaga prestij anugerah itu sendiri.
Rasional TV3 menetapkan tema hanyalah satu - untuk menjadikan ASK sebagai majlis anugerah yang berbeza dengan mana-mana anugerah.
Tetapi, malam Jumaat lalu menyaksikan bahawa tema Hikayat 1001 Malam itu tidak berupaya menghidupkan perjalanan majlis yang sedikit hambar dan tidak bermaya.
Bukan itu sahaja, dengan tema yang dikenakan, sebahagian artis dan selebriti yang hadir telah menyarungkan busana yang caca marba sehingga ramai yang sukar untuk menelah konsep pakaian masing-masing.
Membicarakan tentang soal hos pula, tidak dinafikan gandingan Afdlin Shauki dan Fara Fauzana untuk pertama kali memang berjaya menampilkan satu kelainan.
Malah, mereka juga dilihat ada keserasian dan bersahaja dengan keletah serta gelagat yang membuatkan audiens tidak putus ketawa.
Tidak mustahil untuk Afdlin dan Fara dikekalkan sebagai pengacara ASK untuk tahun-tahun akan datang.
Sayang sekali, celoteh mereka ada ketika meleret-leret. Ada ketika lawak mereka menjadi dan ada waktunya, tidak.
Mungkin gandingan pertama kali menyebabkan mereka perlu mengambil masa untuk mengimbangi peranan masing-masing agar tidak kelihatan cuba untuk membayangi antara satu sama lain.
Usah bimbang Afdlin dan Fara kerana jika kalian terus diberikan peluang untuk mengendalikan ASK tahun depan, pastinya kelemahan yang dilakukan ini mampu dan dapat diperbaiki.
Selain itu, perjalanan majlis juga turut dicacatkan dengan gelagat beberapa orang penyampai anugerah yang dilihat seolah-olah tidak bersedia dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
Apalah erti sebuah acara anugerah tanpa persembahan yang mampu menghiburkan audiens di dalam dewan mahupun di rumah.
Persembahan ASK2009 dibuka oleh juara Gang Starz musim kedua, One Nation Emcees yang mempamerkan sebuah persembahan yang hebat.
Biarpun lagu-lagu yang dipilih sebagai medley kedengaran kacau-bilau dan 'mengharukan', tapi persembahan kumpulan ini tidak pernah mengecewakan.
Gandingan penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar yang berpadu suara menyampaikan lagu popular, Cinta Adam dan Hawa bersama Yusrizan Usop atau Bob juga memberikan satu kelainan untuk ASK2009.
Pemilihan lagu ciptaan Azmeer dan lirik nukilan Loloq itu bertepatan dengan konsep persembahan ASK2009.
Apatah lagi apabila dua penyanyi yang memiliki vokal mantap disatukan, ia memperindahkan lagi alunan lagu tersebut.
Persembahan penyanyi dan komposer yang semakin meningkat naik, Aizat menerusi lagu Pergi boleh dikatakan antara yang terbaik pada malam itu.
Penghayatan dan emosi Aizat telah membuatkan audiens begitu khusyuk dan asyik menonton persembahannya yang ringkas namun berbekas itu.
Entah mengapa, mendengarkan lagu itu membuatkan minda terus melayang teringatkan Allahyarham Yasmin Ahmad yang menjadikan lagu ini sebagai lagu tema filem terakhir arahannya, Talentime.
Selain Aizat, gandingan tiga penyanyi bersuara lantang iaitu Jaclyn Victor, Black dan Lan sememangnya mencuri tumpuan pada malam itu.
Pertamanya, ketiga-tiga mereka memiliki mutu vokal yang serupa iaitu mampu menyanyi lagu dalam nada kunci yang cukup tinggi.
Pentas ASK2009 juga merupakan kali pertama mereka digandingkan dalam satu persembahan dan ketiga-tiganya mempamerkan kehebatan dari segi pengawalan dan keseimbangan paduan vokal masing-masing menerusi lagu Sempurna.
Biarpun begitu, mereka sebenarnya boleh melakukan lebih baik lagi untuk meninggalkan impak kepada persembahan mereka.
Sudah pasti, persembahan penutup oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza antara yang paling ditunggu-tunggu.
Mempersembahkan tiga buah lagu secara medley iaitu Balqis, Nirmala dan Ku Percaya Ada Cinta, Siti memberikan persembahan yang sungguh mengasyikkan dengan gemalai tarinya.
Tetapi, bagaikan tidak puas menonton persembahannya dan mungkin ia berpunca daripada pemilihan lagu yang dilakukan secara medley.
Secara keseluruhan, ASK2009 tiada apa yang baru dan mampu dibanggakan.
Sudah tiba masanya TV3 selaku penganjur mencari jalan penyelesaian untuk meletakkan ASK di tahap yang sepatutnya.
Mungkin perkara pertama yang harus dilakukan adalah untuk tidak lagi memperkenalkan tema. Cukuplah sekadar hadirin tampil sopan, kemas, ringkas tetapi bergaya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: