![]() |
| BURHANUDDIN Md. Radzi (kiri) dan Feisal Abd. Malik bersalaman selepas majlis sidang media Tayangan Eksklusif Geng Pengembaraan Bermula di Shah Alam, Selangor. |
WATAK Upin dan Ipin yang ditampilkan menerusi filem Geng Pengembaraan Bermula (Geng) berjaya memberi impak yang besar apabila filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (LCPSB) itu berjaya mengaut kutipan tiket RM6.3 juta ketika ia ditayangkan di pawagam-pawagam Februari lalu.
Selain mendapat sambutan hangat di pawagam-pawagam seluruh negara, dua yang disiarkan setiap Sabtu di TV9 menerusi siri televisyen (TV) Upin & Ipin itu juga tidak kurang hebatnya apabila ia ditonton 1.5 juta penonton setiap kali ia disiarkan.
Menyedari populariti Upin dan Ipin yang semakin memuncak itu, LCPSB kini merancang untuk mengembangkan lagi karekter dua kanak-kanak itu kepada skop yang lebih luas termasuklah dengan menjadikannya siri komik dan permainan video pada masa depan.
Menurut Pengarah Urusan LCPSB, Burhanuddin Md. Radzi, pengembangan watak kartun dua kanak-kanak itu bukan setakat popular menerusi menerusi layar perak dan di kaca TV tempatan. Malah ia juga kini semakin dikenali di luar negara seperti Indonesia, Turki, Kuwait dan Perancis.
"Selain mahu menjadikan watak Upin dan Upin sebagai siri komik dan permainan video, kami juga merancang untuk menjadikan karekter dua kanak-kanak itu sebagai maskot penting dalam taman tema keluarga yang ingin kami wujudkan pada masa depan.
"Malah, kami dapati semakin banyak pihak yang berminat menggunakan watak Ipin dan Upin sebagai sebahagian daripada penjenamaan produk-produk, contohnya di TV9 sendiri," katanya kepada Hits ketika ditemui sebelum sidang media Tayangan Eksklusif Geng di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Beliau tidak menafikan, siri kartun itu bukan sahaja ditonton oleh golongan kanak-kanak tetapi juga kalangan dewasa tanpa mengira agama dan usia kerana ia menampilkan banyak unsur perpaduan dan semangat 1Malaysia di dalamnya.
"Kalau dulu siri TV Upin & Ipin banyak ke arah unsur keislaman tetapi sekarang ini kami mengambil pendekatan yang lebih universal (global) supaya ia lebih mudah untuk dihayati oleh segenap lapisan penonton tanpa mengira usia, agama dan bangsa," jelasnya.
Upin & Ipin Angkasa
Pada sidang akhbar itu, TV9 mengumumkan tayangan Geng secara eksklusif di saluran TV itu pada 10 Disember ini pukul 8.30 malam.
Bagi memantapkan lagi kesinambungan watak Upin dan Ipin, LCPSB juga akan meneruskan penerbitan siri-siri TV yang amat popular di kalangan kanak-kanak itu dengan menampilkan 42 siri untuk siaran TV9 pada tahun depan.
Pengarah Kreatif LCPSB, Muhammad Usamah Zaid Yasin berkata, pembekalan siri Upin & Upin bukan setakat untuk siaran TV9 tetapi mereka juga akan membekalkannya untuk siaran saluran Disney Channel.
"Di samping pembekalan siri TV Upin & Ipin di TV, kami juga kini sedang dalam pembikinan untuk menerbitkan filem pertama tentang dua karekter kartun kanak-kanak itu dengan judul Upin & Ipin Angkasa di mana ia dijangka siap dan ditayangkan pada tahun depan.
"Buat masa ini, kami akan menggunakan tenaga kerja seramai 80 kakitangan untuk menyiapkannya. Mungkin bilangan pekerja termasuklah animator akan ditambah dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Pengurusan Penjenamaan Kanak-Kanak Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Feisal Abdul Malik juga tidak menafikan sambutan para penonton sewaktu siri Upin & Ipin yang ditayangkan di TV9.
Katanya, siri kartun itu merupakan salah satu rancangan yang mencatat jumlah penonton yang paling ramai di TV9 iaitu mampu mencecah sehingga 1.5 juta sewaktu ia ditayangkan pada bulan Ramadan lalu.
Menyedari siri kartun juga mampu menarik jumlah penonton yang ramai, Media Prima Berhad pada masa sama telah menubuhkan bahagian Pengurusan Penjenamaan Kanak-Kanak khusus bagi menguruskan agihan rancangan kanak-kanak supaya ia tidak bertindan dengan stesen-stesen TV lain yang bernaung di bawahnya.
"Bahagian Pengurusan Penjenamaan Kanak-Kanak ini sudahpun sebulan ditubuhkan. Kami juga mempunyai jabatan kajiselidik sendiri bagi membuat kajian-kajian tentang rancangan kanak-kanak termasuklah siri Upin & Upin yang ditayangkan di TV9.
"Dengan adanya bahagian pengurusan ini maka kita dapat mengagih-agihkan rancangan kanak-kanak mengikut kesesuaian di setiap saluran TV Media Prima Berhad seperti TV3, ntv7 dan TV9. 8TV juga termasuk tetapi mereka tidak mempunyai banyak rancangan kanak-kanak," katanya.
Pada masa sama, Feisal juga positif filem animasi Geng yang akan ditayangkan menerusi TV9 Khamis ini juga mampu menarik lebih ramai penonton ekoran populariti yang telah diraih menerusi watak Upin dan Ipin dalam siri TV tersebut.
"Kami sasarkan tayangan eksklusif filem animasi Geng yang turut menampilkan karekter kartun popular Upin dan Ipin ini akan ditonton sekitar 1.5 juta hingga 1.7 juta penonton," ujarnya lagi dalam nada penuh optimis pada pertemuan itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: