Monday, December 21, 2009

Program informasi wanita


Airin Zainul (dua dari kanan) dan Sheahnee (dua dari kiri) bersama Hos rancangan Ladies Day Out, Dephne Iking (tiga dari kiri) dan Aishah Sinclair (empat dari kiri) serta Pengurus Besar, Clarins Malaysia, Tan Seong Teck (kanan).


BOLEH dikatakan sudah terlalu banyak rancangan yang fokusnya memberi pelbagai informasi serta tips-tips berguna kepada kaum wanita.

Sungguhpun begitu, ia langsung tidak menghalang kewujudan sebuah lagi rancangan majalah TV wanita terbaru di ntv7, Ladies Day Out kerana ada kelainan yang ingin ditonjolkan dalam rancangan tersebut.

Bakal memulakan siarannya pada 8 Januari ini, rancangan yang keudara setiap hari Jumaat pukul 7.30 malam itu dihoskan oleh dua pengacara jelita, Dephne Iking dan Aishah Sinclair.

Bersiaran selama 13 episod, rancangan yang berdurasi selama 30 minit itu bakal memaparkan pelbagai segmen menarik khas sebagai panduan dalam kehidupan harian wanita masa kini.

Segmen-segmen yang dipaparkan dalam rancangan itu setiap minggu meliputi lima segmen utama iaitu Body & Soul, Home & Garden, Mother & Baby, Husband & Wife dan Out & About.

Turut diselitkan ialah segmen mini yang ditaja khas oleh jenama kecantikan Clarins iaitu Clarins and You.

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul pada sidang media rancangan itu yang diadakan di Fit For 2, Bangsar Village, baru-baru ini memberitahu, selain mensasarkan tontonan oleh penonton wanita, pelbagai informasi menarik tentang wanita dapat dikongsikan bersama penonton.

"Berbanding kebanyakan rancangan majalah wanita yang ada kini, saya lihat rancangan ini mempunyai konsep yang menarik untuk stesen ini.

"Dengan menampilkan dua jelitawan, Aishah dan Dephne sebagai hos, pelbagai topik termasuk fesyen, pemakanan, gaya hidup dan solekan terkini dikongsikan," katanya.

Di bawah Primeworks Studios, Ladies Day Out diterbitkan oleh personaliti, Sheahnee Iman Lee yang juga merupakan isteri kepada pelakon dan hos terkenal, Nazrudin Habibur Rahman atau Naz.

Seperti judulnya, sikap kaum hawa yang sentiasa berkomunikasi dan berkongsi pelbagai pengalaman, masalah serta pendapat, Ladies Day Out menumpukan perkara utama yang ingin dibincangkan oleh wanita untuk dipelajari dalam pelbagai situasi.

Bukan itu sahaja, rancangan itu juga dicipta khas untuk wanita yang sofistikated serta bijak di mana sentiasa tampil dengan gaya moden dan terkini.

Sementara itu, Sheahnee yang kini hamil lapan bulan ketika ditemui menyifatkan rancangan terbitannya itu sebagai 'bayi'.

"Ketika memulakan kerjaya saya di ntv7 tidak lama dahulu, memang saya sudah bercita-cita untuk menerbitkan rancangan berbentuk majalah TV berkaitan wanita seperti ini.

"Ia merangkumi pelbagai perkara dalam kehidupan wanita seharian dan ini merupakan peluang untuk saya menerbitkan rancangan sebegini," katanya yang mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang penyiaran demi menumpukan perhatian kepada keluarganya selepas barsalin.

Menerusi segmen Body & Soul, paparan tentang solekan wajah, diet dan nutrisi, tubuh badan, minda serta fesyen memberikan penonton tips serta idea dalam memberi perhatian terhadap tahap kesihatan sama ada mental dan fizikal selain mengetahui cara untuk tampil menawan.

Menerusi Home & Garden, tips tentang berkebun, dekorasi rumah, serta persediaan dalam menganjurkan parti ataupun majlis diberikan di samping mengetahui peralatan rumah yang sesuai digunakan agar kelihatan lebih cantik dan menarik.

Menjadi ibu pastinya merupakan pengalaman yang tidak ternilai bagi setiap kaum wanita.

Menyentuh segmen Mother & Baby, pengalaman pertama para ibu dikongsikan di samping mengetahui pelbagai persediaan yang perlu dilakukan bagi menyambut kelahiran serta membesarkan cahaya mata.

Dalam segmen Husband & Wife pula, pelbagai isu yang menyentuh perihal perhubungan suami isteri termasuk masalah seks dan intimasi, serta isu penceraian dipaparkan.

Setiap wanita sentiasa perlukan ruang untuk berehat.

Malah, surirumah mahupun wanita bekerjaya terutamanya sentiasa mencari ruang untuk membolehkan mereka kembali segar.

Oleh itu, pelbagai cadangan aktiviti santai bakal didedahkan dalam segmen Out & About sebagai panduan buat mereka.

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan rancangan yang sarat informasi tentang wanita, Ladies Day Out ini pada setiap Jumaat, pukul 7.30 malam hanya di ntv7 bermula 8 Januari ini.

Bagi yang tidak berkesempatan menyaksikan rancangan itu pada waktu perdana, siaran ulangan boleh ditonton pada setiap hari Khamis pukul 10 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: