Monday, December 21, 2009

Latihan kecemasan haiwan terlepas


BEBERAPA kakitangan sibuk dengan tugas masing-masing ketika latihan kecemasan dijalankan.


MALAYSIA Airlines Cargo Sdn. Bhd. (MASkargo) merupakan divisyen kargo udara bagi Sistem Penerbangan Malaysia Berhad.

Setiap tahun MASkargo mampu mengendalikan sejuta tan kargo di kompleks pemindahan kargo canggih yang dikenali sebagai Advanced Cargo Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Baru-baru ini, mereka berjaya mengelola satu sesi latihan kecemasan penangkapan haiwan terlepas di kawasan terminal kargo udara KLIA.

Ketua Bahagian Operasi MASkargo, Ibrahim Mohamed Salleh berkata, latihan seumpama itu adalah yang pertama kali diadakan di kawasan airside KLIA.

Menurut Ibrahim, walaupun sebelum ini pihaknya tidak pernah berdepan dengan situasi haiwan terlepas, namun latihan tersebut amat penting untuk semua kakitangan.

"Latihan ini bertujuan untuk memastikan semua kakitangan MASkargo dan agensi penguat kuasa lapangan terbang peka terhadap insiden sedemikian sekiranya ia berlaku pada masa akan datang," jelasnya kepada pihak media sejurus sesi latihan tersebut tamat.


SEORANG petugas ERT yang tercedera akibat terjatuh ketika mengejar anjing diberi bantuan.


Kecekapan

Tambah Ibrahim, latihan yang sama pernah dianjurkan pada bulan Disember tahun 2005 tetapi ia hanya melibatkan lokasi tertutup dan terhad iaitu kompaun MASkargo Animal Hotel sahaja.

"Pihak pengurusan sentiasa memikirkan situasi yang berbeza-beza untuk merealisasikan latihan ini bagi menambah kecekapan dan ketangkasan kakitangan menyelesaikan masalah jika kejadian seumpama itu berlaku," ujarnya lagi.

Usaha itu membuktikan bahawa MASkargo tidak memandang remeh atas sebarang kemungkinan berlakunya haiwan terlepas di kawasan yang hampir dengan operasi pesawat yang meningkatkan risiko terjadinya kemalangan serius amat tinggi.

Latihan yang memakan masa satu jam setengah itu melibatkan lebih kurang 15 agensi penguat kuasa lapangan terbang termasuklah Jabatan Haiwan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Unit Anjing Pengesan K-9, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Zoo Melaka, LSG Sky Chef Brahim Sdn. Bhd., Malaysia Airport Holdings Berhad dan jabatan-jabatan dalam pengurusan MASkargo.

Unit Anjing Pengesan K-9 telah meminjamkan tiga ekor anjing terlatih mereka daripada baka Labrador untuk latihan tersebut. Ketiga-tiga ekor anjing itu terlepas dari sangkar ketika dalam proses pemindahan kurungan dari Animal Hotel ke pesawat B747-400F yang akan berlepas ke Narita, Jepun di dataran parkir pesawat F6.


ANJING yang berjaya ditangkap diikat semula dengan tali.


Animal Hotel adalah satu-satunya hotel haiwan bertaraf enam bintang di dunia yang merupakan unit operasi MASkargo pertama menerima sijil pengiktirafan ISO 14001 pada tahun 2004.

Sehubungan itu, pihak pengurusan perlu menjalankan sesi latihan penangkapan haiwan terlepas daripada kurungan bagi memenuhi salah satu kriteria standard kelayakan bagi meneruskan pemilikan sijil pengiktirafan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: