
CHANGLUN - Sejak awal pagi lagi para pemilik kenderaan dari Thailand sudah berada di stesen-stesen minyak di sini dan kelibat mereka bukan satu pemandangan luar biasa.
Pemilik kenderaan terbabit yang rata-rata menggunakan trak pikap berkumpul untuk mengisi minyak dan kadangkala berbuat demikian selama beberapa kali dalam masa sehari.
Mereka sebenarnya ialah 'penyangak' yang mengambil untung beribu-ribu ringgit sehari dengan menjual minyak dari negara ini dengan harga jauh lebih tinggi ke negara jiran dan kegiatan itu kini semakin menjadi-jadi sejak pengumuman harga baru bahan api pada 1 September lalu.
Kebanyakan trak pikap terbabit menggunakan minyak diesel tetapi mereka juga mengisi minyak petrol kerana mereka ada tangki tersembunyi.

Mereka sanggup berbuat demikian kerana harga petrol RON 95 yang dibeli di negara ini hanya RM1.80 seliter tetapi dijual dengan harga RM3.57 seliter seperti yang ditetapkan di negara jiran.
Secara kasar, setiap hari tidak kurang 100 kenderaan trak pikap milik 'penyangak' tersebut di lima buah stesen minyak di sini setiap hari dan setiap satu mengisi sebanyak RM300 menjadikan nilai jualan di Thailand sebanyak RM30,000 sehari.
Jika kegiatan itu sudah berlarutan sejak September lalu, kira-kira RM3 juta nilai minyak di negara ini 'dieksport' tanpa restu ke negara jiran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: