Tuesday, December 8, 2009

Mangsa menjerit sebelum maut


DUA sahabat karib yang terkorban di KB Mall, Diyanah (kiri) dan Amira.


KOTA BHARU - Siti Nur Diyanah Azman yang terkorban terkena serpihan runtuhan di KB Mall kelmarin ketika kejadian sempat menjerit meminta tolong ketika suasana di sekeliling kelam-kabut.

Jeritan Diyanah dari Kampung Menjual, Chabang Empat, Tumpat dekat sini didengari rakannya yang ketika itu sedang bercakap melalui telefon dengan mangsa sebelum talian tiba-tiba terputus.

Demikian cerita Masnah Hanafi, 45, ibu kepada arwah Diyanah, 23, seorang daripada dua mangsa yang maut dalam tragedi kereta 'terjunam' di pusat beli-belah itu kelmarin.


KERATAN muka depan Kosmo!


Ekoran itu, katanya, kawan Diyanah dari Kuala Lumpur itu terus menghubunginya di rumah dan memaklumkan apa yang dia dengar.

"Rakan Diyanah bernama Rozima hubungi saya pada pukul 5.10 petang dan memberitahu Diyanah tiba-tiba menjerit meminta tolong.

"Rozima mengesyaki Diyanah kena culik," katanya ketika ditemui Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini semalam.




Masnah kemudian meminta suami dan anak lelakinya supaya mencari Diyanah.

Bagaimanapun, semasa suaminya, Azman Abdullah, 44, dalam perjalanan mencari Diyanah, Masnah dihubungi oleh pihak kolej yang memaklumkan anaknya ditimpa kemalangan dan memintanya pergi ke hospital.

Masnah memberitahu, dia difahamkan Diyanah singgah di KB Mall untuk membuat salinan fotostat nota pelajarannya.

Dalam pada itu, seorang lagi rakan Diyanah, Che Norli Nordiana Che Ibrahim, 23, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Hari Raya Aidiladha lalu ketika arwah pulang bercuti ke kampung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: