![]() |
| BEADS, (Sabathing Ev Baron Kampiau). |
SETELAH berjaya dengan beberapa siri pameran antarabangsa sebelum ini, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) meneruskan kesinambungan dengan mengadakan 24th Asian International Art Exhibition (AIAE) bermula 20 November lalu sehingga 31 Januari hadapan.
Pameran yang menghimpunkan 230 pelukis daripada negara China, Indonesia, Jepun, Korea, Macau, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah kali ini.
BSLN berbesar hati apabila dipilih sebagai tuan rumah untuk kali ketiga selepas tahun 1990 dan 1998 yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh peminat seni tanah air.
AIAE dilihat sebagai sebuah pameran seni antarabangsa yang berperanan besar dalam menyumbangkan kemajuan dan kematangan lukisan kontemporari Asia. Ia juga menjadi medium untuk bertukar idea dan garapan seni di kalangan generasi muda.
Menariknya kali ini pameran AIAE menggabungkan pelukis-pelukis tersohor dari negara yang mengambil bahagian seperti Zuo Zhengyao dari China, Kim Bong Tae (Korea), Norito Udangawa dan Yoko Mitsuyuki (Jepun) dan Setiawan Sabana (Indonesia).
Turut mengambil bahagian Huang Guanghui dari Macau, Thongchai Rakpathum (Thailand), Goh Beng Kuan dan Pham Huy Thong (Vietnam), Ramon Orlina (Filipina) Eddie Lui (Hong Kong) dan beberapa nama besar yang mewakili Malaysia.
Sejajar dengan matlamat AIAE, sebuah forum yang bertajuk Asia@Asia: Manifesting Diversity telah diadakan di BSLN pada 21 November yang lalu yang menarik perhatian umum terhadap perubahan normal yang berlaku terhadap amalan budaya, struktur sosial dan cara hidup masyarakat Asia keseluruhannya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: