Sunday, December 6, 2009

Ketawa bersama My Spy


AJ dan Harun tidak pernah putus asa untuk menyelesaikan kes suami curang.


FILEM kelima terbitan KRU Studios, My Spy mempunyai nilai-nilai Malaysia. Ia bukan sahaja terhad kepada penonton Melayu sahaja malah boleh ditonton oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

My Spy juga mempunyai kekuatan untuk menarik ramai penonton ke pawagam kerana genre komedi yang ditampilkan bersesuaian dengan permintaan masa kini.

Ini kerana awal ceritanya sudah membuatkan penonton geli hati dengan telatah pelakon-pelakonnya. Dibintangi dua pelawak iaitu AC Mizal dan Harun Salim Bachik menjadikan komedi penyiasatan ini semakin menarik.

Cerita bermula apabila dua penyiasat persendirian, AC (AJ) dan Harun (Salleh) ditawarkan upah lumayan daripada seorang datin seksi (lakonan Maria Farida). Wanita itu meminta khidmat mereka menjalankan penyiasatan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan, Datuk Osman atau Datuk O (Ridzuan Hashim).

Datuk O terkenal dengan sikap playboy yang gemar berfoya-foya dengan ramai wanita cantik termasuk setiausaha sulitnya (Hannah Tan). Misi siasatan AJ dan Harun bertambah rumit dengan kehadiran dua kembar cantik (Daphne Iking dan Carmen Soo) yang disangka turut mempunyai hubungan sulit dengan usahawan itu.

Kombinasi dua pelawak itu benar-benar menjadikan My Spy hidup tanpa mengulang kembali lawak jenaka yang pernah didengari sebelum ini. Apa yang penting, lawak yang digunakan tidak memperbodohkan atau memualkan penonton sepanjang filem tersebut.

Tugas mengarah My Spy digalas oleh Afdlin Shauki buat kali pertama bersama penerbitan KRU Studios. Secara keseluruhan, karyanya itu dilihat berjaya kerana menghasilkan satu produk yang berkesan kepada penonton selepas Cicakman. Kemampuan Afdlin juga diukur kerana dapat menterjemahkan skrip Amir Hafizi menjadi satu filem yang menarik.

Bagaimanapun, setelah selesai menonton filem itu didapati elemen penting yang menjadi trademark Afdlin tiada dalam filem berkenaan. Unsur kemanusiaan, kasih sayang, pengajaran ataupun didikan yang dilihat pada filem-filem yang dihasilkan sebelum ini menjadikan My Spy kelihatan agak kering.

"Dalam My Spy, saya sengaja lari dari sebarang unsur kasih sayang, kekeluargaan yang menjadi taruhan dalam filem-filem sebelum ini. Tujuan utama, untuk menjadikan hasil tangan saya lebih berwarna-warni. Kali ini ia lebih kepada komedi asli 100 peratus. Untuk menghiburkan penonton atau boleh dijadikan terapi melepaskan tekanan semasa berada di pawagam," katanya selepas tayangan perdana My Spy baru-baru ini.

Komedi asli yang dikatakan Afdlin dapat dilihat kepada jenaka yang disampaikan AC dan Harun yang lebih santai. Mereka yang bekerja sebagai penyiasat peribadi itu berpotensi untuk menggeletek penonton dengan aksi yang gila-gila. Contohnya Harun yang meniru gaya James Bond yang disesuaikan dengan fenomena orang Melayu secara kreatif. Dia juga mempunyai daya inovasi mencipta gajet baru bagi memudahkan kerja penyiasatannya.

Begitu juga ketika Adlin Aman Ramli yang berlakon sebagai pegawai polis yang begitu tertekan dengan Harun yang pernah menyusahkannya semasa mereka bekerjasama dalam satu pasukan dahulu. Menggunakan teknik imbasan lengkap dengan pakaian dan prop semasa menjadi anggota polis juga mengundang rasa lawak. Karakter Adlin yang spontan dan selamba itu juga antara penguat My Spy walaupun ia sekadar cameo sahaja.

Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2009 itu juga mahu eksperimen dalam My Spy ini berjaya sama tanpa dibayangi karyanya terdahulu seperti Los dan Faun, Buli, Baik Punya Cilok dan Papadom.

Afdlin memberitahu, tidak semua filem yang diterbitkannya mendapat tempat kalangan penonton. Contohnya, filem Los dan Faun yang digarapnya secara bersungguh-sungguh tidak mencapai kutipan memberangsangkan. Bukannya merajuk tetapi dia sengaja menjadikan air tangannya kali ini berbeza.

"Saya mahu lihat maklum balas daripada penonton sama ada mereka menyukai My Spy. Sebuah karya yang bebas dan tidak terikat dengan sebarang unsur yang berat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: