![]() |
| |
Benteng cinta yang dibina melalui ikatan perkahwinan pada 29 Julai 2007 tidak bertahan lama. Sayang sejuta kali sayang, kekuatan cinta itu rapuh selepas dua tahun dimeterai.
Hakikatnya ajal, maut dan jodoh pertemuan itu ketentuan Tuhan yang harus diterima oleh semua orang.
Atas dasar itu Natasha Hudson,27, terpaksa menerima hakikat untuk berhadapan ujian getir apabila perkahwinannya dengan Datuk Shahrin Zahari, ahli perniagaan berasal dari Kelantan itu tidak dapat bertahan lama.
Mereka berpisah sejak sebulan lalu. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nessa Helena.
Tidak dapat menafikan perasaan sedih. Yalah siapa yang tak runtuh jiwa dan apabila mahligai bahagia yang diharapkan itu tidak berpanjangan.
Episod luka hadir menguji sejauhmanakah kuatnya iman kedua pasangan tersebut.
Tetapi di sebalik kesedihan itu dia amat bersyukur kerana perpisahannya dengan Shahrin berjalan dengan baik.
Mereka tidak bermusuh sebaliknya sentiasa berhubung sebagai kawan baik.
"Ya... saya tidak seperti sesetengah individu lain apabila perpisahan itu terjadi membuatkan hubungan menjadi semakin parah.
"Perpisahan juga menelanjangkan segala-galanya di mahkamah. Tetapi bagi kami berdua, perpisahan ini banyak mengajar erti kesabaran dan sifat saling hormat menghormati," katanya sewaktu dihubungi petang Khamis lalu.
Tanpa mahu menjelaskan punca penceraian mereka, jelas Natasha atas nama anak mereka Nessa, biarlah hubungan bekas suami dan isteri itu menjadi seperti sahabat sejati.
Ujar pelakon filem Chermin ini, hubungan yang luhur selepas penceraian adalah lebih baik agar anak mereka dapat membesar dengan sempurna tanpa kehilangan kasih sayang ayah dan ibunya.
Dan perpisahan yang terjadi itu bukanlah penyebab untuk mereka menafikan hak keatas anak yang dilahirkan itu.
"Nessa tetap anak kami dan kami harus menjaganya dengan baik. Percaya atau tidak walaupun sudah berpisah, saya masih berhubung dengan Shahrin seperti seorang sahabat," katanya.
Tidak mahu berbohong, tempoh sebulan perpisahan itu masih lagi ada parutnya. Perasaan sayang itu masih lagi melekat walaupun mereka bukan lagi suami-isteri.
Yalah bukan senang untuk membina sebuah ikatan kasih. Kerana itulah kasih di hati sukar dibuang sepenuhnya.
Ujar Natasha, dia masih merindui ikatan perkahwinannya itu. Malah jika diberi pilihan dia mahu perpisahan itu dapat dipulihkan semula.
Tetapi biarlah takdir yang menentukan sama ada masih ada ruang atau tidak untuk mereka rujuk kembali.
"Saya tidak mahu menipu. Siapa yang tak sedih dengan perpisahan kerana jujurnya saya masih sayang dengan perkahwinan saya itu.
"Kalau ditanya mengenai masa depan, memang saya mengharapkan sesuatu yang baik akan berlaku atau dalam erti kata lain mungkin ada sinar untuk kami berbaik sebagai suami isteri semula.
"Tetapi dalam hal ini saya menyerahkan kepada Tuhan kerana Dia yang menurunkan ujian ini," jelasnya.
Walaupun sudah dua kali gagal dalam perkahwinan namun Natasha dia tidak pernah serik untuk berhadapan dengan perkahwinan pada masa akan datang.
Ketika usia semakin meningkat, Natasha melihat seseorang wanita itu sebenarnya memerlukan kasih sayang daripada seorang lelaki.
Terlalu awal untuk memikirkan soal jodoh, wanita ini sebenarnya mempunyai semangat yang kuat kerana selama ini sudah banyak ujian ditempoh sejak bergelar artis.
Perpisahan dan kejadian diboikot oleh media tak lama dulu adalah pengajaran berguna untuk wanita bernama Natasha Liana Hudson hari ini mengatur langkah mencari kekuatan hidup.
"Saya tak kata saya serik apabila tak ada suami kerana saya percaya apa yang berlaku ini adalah satu ujian walaupun masyarakat sering berpendapat jodoh seseorang artis itu susah untuk kekal lama.
"Tapi adat dalam rumah tangga, mesti ada pasang surutnya cuma sukar untuk dimengertikan bagi mereka yang tidak memahami apa itu perkahwinan," jelasnya.
Ditanya adakah dia terpaksa bekerja keras untuk menyara hidup selepas kembali solo, kata Natasha selama ini dia tidak pernah bergantung kepada wang ringgit suaminya.
Sebaliknya dia lebih senang berdikari bagi membuktikan seseorang wanita boleh hidup dengan mencari wang sendiri.
"Dulu orang ingat saya hidup atas duit suami tetapi tidak. Saya seorang yang suka berdikari. Kalau orang kenal saya, tahulah macam mana saya menguruskan kehidupan," katanya.
Tambah wanita berasal dari Ipoh, Perak ini, Tuhan mengujinya dengan kesedihan tetapi dalam masa yang sama Dia membuka rezeki luas terhadapnya.
Tawaran berlakon drama dan filem yang diterimanya tidak pernah putus selain turut diberi tawaran menjadi jurucakap produk-produk kecantikan.
Bagaimanapun ujar Natasha, dia percaya, ketika di usia muda ini masih banyak peluang untuknya meneroka kehidupan sebenar sebagai manusia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: