ANUGERAH Pelakon Terbaik pun tidak dapat menandingi anugerahnya menimang anak, Nur Eishal yang telah genap 3 bulan semalam.
Bagi Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, dia tidak mampu menggambarkan perasaannya dengan kata-kata setelah mempunyai Nur Eishal.
Puteri sulung yang dilahirkan selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohd Silahuddin itu kini merupakan keutamaannya sekarang.
Ini kerana sejak muncul di kaca televisyen menerusi drama 'Rahsia Demi Rahsia' pada 1998, pelakon dan pengacara ini lebih suka menumpukan kepada kariernya semata-semata.
Setelah 3 bulan bergelar ibu, tanggungjawabnya semakin mencabar lebih-lebih lagi anaknya itu kuat menyusu.
"Sejak bergelar ibu ni, saya lakukan semua kerja menguruskan anak secara sendiri.
"Kadang-kadang apabila saya betul-betul dah tak tahu apa nak buat, baru saya akan minta bantuan suami dan mak saya sebab selang satu jam dia akan menangis laparkan susu. Nur Eishal pula jenis yang kuat menyusu.
"Saya minta suami atau mak yang menguruskan Nur Eishal kerana saya boleh jadi kurang sabar dan sangat tertekan. Dia mesti menangis kerana tiga perkara iaitu lampin basah, lapar susu atau mahu tidur.
"Saya rasa berada di lokasi penggambaran lebih senang daripada menjaga bayi..," luah pelakon yang sinonim dengan gelaran pelakon bulu mata palsu ini di majlis memperkenalkan Nur Eishal kepada rakan media di Hotel Crown Plaza, Kuala Lumpur.
Selepas berjumpa dengan Nur Eishal yang tembam dan comel serta wajah yang persis bapanya itu, bayi itu begitu pandai bergurau senda dengan orang lain.
Kata Eja, dia berasa lucu apabila anaknya itu memiliki bulu mata lentik walaupun dia dan suami tidak memiliki ciri-ciri seperti itu.
"Saya rasa anak saya 'terkenan' sesuatu daripada saya. Saya dan suami tidak berbulu mata lentik. Jadi, saya rasa nak ketawa sebab anak saya dapat bulu mata lentik..alhamdulillah.
"Terima kasih kepada kontroversi bulu mata palsu yang diberikan kepada saya sebelum ini," ucapnya semasa memberikan ucapan aluan sebelum memperkenalkan Eishal.
Dalam majlis itu juga, Eja mengumumkan mengenai perlantikannya sebagai duta produk kecantikan dan pelangsingan badan, Bio Essence sejak November lalu.
Walaupun agak lambat menimang cahaya mata, Eja akui dia bersyukur dengan rezeki itu setelah mendapat petunjuk ketika mengerjakan umrah di Mekah pada Oktober 2008.
"Sebelum saya membuat penggambaran drama 'Tasbih Cinta' di Mekah dengan produksi Kak Erma Fatima, saya hampir menolak tawaran itu setelah banyak masalah yang berlaku. Namun, saya pergi jua setelah dipaksa oleh pengarah dan produser itu.
"Semasa di tanah suci, saya berasa sangat sunyi dan sebak...saya tidak tahu apa yang dirasakan waktu itu dan tak pernah rasainya sebelum ini.
"Selepas itu, saya mohon petunjuk tentang apa yang kosong dalam jiwa ini. Sebelum itu memang saya sudah memohon mendapat seorang suami dan menyokong karier saya.
"Tetapi kali ini Allah memberi petunjuk kepada saya yang sepatutnya sudah menjadi ibu dan bukannya mementingkan kerjaya.
"Apabila saya memberitahu kepada suami yang saya sudah bersedia untuk mempunyai zuriat, dia telah mengajak saya bercuti ke Amerika Syarikat sekitar bulan November hingga Disember tahun lalu selama tiga minggu.
"Sebulan setelah saya pulang ke Malaysia, banyak perkara menarik berlaku seperti saya lebih suka makan makanan barat seperti pasta sedangkan saya lebih suka makanan Melayu. Selain itu saya berasa sangat panas dan tidak selesa di perut.
"Selepas berjumpa doktor, baru saya percaya yang saya telah hamil dan dalam masa tiga bulan pertama saya memang alahan teruk," ujarnya yang turun berat badan sehingga 42 Kg semasa hamil kerana tidak makan akibat bimbang termuntah.
Nur Eishal dilahirkan pada 3 September lalu, tiga minggu lebih awal. Nama Nur Eishal bermaksud 'cahaya bunga syurga'.
Eja membahasakan dirinya sebagai ummi manakala suaminya sebagai daddy kerana mahu selaraskan panggilan itu dengan yang digunakan oleh anak tirinya, Khatijah, 17, dan Shane Jacob, 13.
Menurut Eja, selain bulu mata lentik, Nur Eishal juga memiliki kegemaran yang sama dengannya iaitu menyukai warna merah.
Ibu berusia 37 tahun ini juga berkata dia tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua.
"Insya-Allah, kalau diizinkan saya nak anak lagi tetapi buat masa ini saya mahu tumpukan kepada Nur Eishal.
"Saya akan berikan didikan agama dan pelajaran setinggi yang boleh. Sekurang-kurangnya dia akan mendoakan saya dan suami apabila sudah besar nanti.
"Kalau boleh saya tak galakkan dia untuk menceburi bidang seni. Mana tahu dia akan jadi seorang angkasawan ke...," beritahunya lagi yang akan memulakan karier seninya pada Februari depan secara perlahan-lahan tetapi menetapkan untuk tidak bekerja luar dari kawasan Kuala Lumpur.
Kali terakhir Eja muncul di televisyen menerusi drama 'Wadi Unung' di Astro.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: