CUKUP bijak dan profesional Anang dalam menangani dugaan yang digalasnya. Malah, ketenangan yang terpamer di riak wajahnya sedikit pun tidak menggambarkan kekusutan dialaminya kini.
Biarpun di dalam hati hanya Tuhan yang mengerti, Anang sebaliknya cukup terbuka dan bersedia dalam berkongsi kisah penceraian rumah tangganya dengan Kris Dayanti.
Pertemuan dengan komposer dan penyanyi yang baru saja melahirkan album solo terbarunya 'Separuh Jiwaku Pergi' ini telah membuka seribu satu kisah yang menggamit perasaan.
Mengimbas kembali detik-detik penceraiannya dengan diva Pop itu, Anang sambil tersenyum mengakui bahawa penceraian yang dilafazkan di Mekah di dalam penerbangan selepas mereka menunaikan umrah sekitar Ogos lalu itu tidak mungkin akan luput dari ingatannya.
Biarpun pahit untuk ditelan, namun perpisahannya dengan Krisdayanti adalah perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak sedalam-dalamnya.
"Sebelum saya melafazkan cerai, kami banyak berbincang mengenai pelbagai perkara termasuk masa depan keluarga dan anak-anak juga kerjaya seni kami.
"Setelah dipertimbangkan dengan mengambil kira semua faktor, saya sebagai seorang lelaki juga ketua keluarga harus melepaskan dia (Krisdayanti). Walaupun kenyataan itu berat, tapi saya perlu melunaskan tanggungjawab saya.
Walaupun umum sudah mengetahui penafian Krisdayanti mengenai isu 'berselingkuh', rahsia itu akhirnya hinggap ke telinga Anang apabila anaknya sendiri, Aurel mula membuka cerita pada 28 Ogos 2009.
Kecurangan Krisdayanti yang membawa 'kekasih gelap' telah dilihat oleh anak-anaknya ketika ketiadaan Anang di rumah. Anang yang sememangnya banyak menghabiskan waktunya di studio lantas mengambil langkah rasional dan berbincang dengan bekas isterinya itu. Bertitik-tolak dari situ, keputusan untuk melepaskan Krisdayanti lantas diambil.
Bercerita lanjut mengenai perasaannya dalam fasa pasca penceraian ini, Anang mengakui bahawa keruntuhan rumah tangganya ini menyakitkannya. Biarpun kini Anang dipalit kesunyian dan perasaan yang berbeza tanpa Krisdayanti, namun Anang redha. Malah, Anang sendiri mengaku bahawa dia benar-benar sudah bersedia menerima penceraian itu.
Tambah Anang lagi, episod penceraian ini bukan sahaja perit malah lebih meninggalkan impak kepada anak-anaknya.
"Memang saya kecewa dan sedih dengan penceraian ini. Namun, ia lebih menyakitkan anak-anak. Mereka belum bersedia untuk meneruskan hidup tanpa kelibat seorang ibu.
"Maka, isu Yanti dihalang oleh saya untuk bertemu anak-anak tidak seharusnya timbul. Yanti seharusnya faham dengan situasi yang berlaku. Dia perlu faham akan kesan penceraian ini kepada anak-anak.
"Anak-anak perlu ditunjukkan mengenai status dan perubahan yang berlaku di dalam keluarga kami agar mereka faham bahawa ibu bapanya sudah berpisah dan tidak mungkin boleh bersama seperti sedia kala. Tetapi, tindakan dan dakwaan Yanti itu seolah-olah mahu mengelirukan anak-anak mengenai status penceraian ini dan menambahkan tekanan lagi kepada mereka. Namun, mereka harus belajar untuk menerima suratan ini," jelas Anang.
Apabila diajukan persoalan mengenai pengganti Krisdayanti, Anang berkata ekoran perasaan anak-anaknya yang kesunyian tanpa ibu, mereka juga sering kali menyuruhnya untuk segera mencari teman baru.
"Anak-anak semakin belajar untuk menerima perkara yang terjadi. Malah, mereka juga mula bertanya kepada saya bila untuk mencari pengganti Yanti.
"Namun, mencari pengganti Yanti untuk dijadikan sebagai calon isteri juga ibu baru kepada anak-anak saya bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.
Tambah Anang lagi, proses untuk mencari pengganti Krisdayanti bukanlah sesuatu yang mudah. Disebabkan batasan masa ekoran tumpuannya berfokus kepada album dan anak-anak, Anang mengakui bahawa sehingga kini dia masih belum mempunyai teman istimewa.
"Saya sibuk dengan kerjaya seni dan anak-anak. Masih belum sempat untuk cari teman baru. Malah, sehingga kini saya belum ada teman baru selepas berpisah dengan Yanti.
"Saya memerlukan masa dan ruang untuk mencari wanita terbaik untuk saya dan anak-anak," ungkap Anang yang tidak kisah jika calon pengganti itu seorang wanita dari Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: