Wednesday, December 2, 2009

Bukan jual diri


MENGUKIR nama di pentas antarabangsa menjadi impian semua penggiat seni hiburan tempatan.

Namun, sudah tentu usaha dan cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah selaras dengan impian mereka yang hebat itu.

Justeru, ramai yang terpaksa melupakan impian dan sekadar berpuas hati dengan pencapaian sebagai 'juara kampung' kerana tidak yakin berupaya mencipta nama di bumi asing.

Namun, keadaan tidak sedemikian buat wanita berdarah kacukan Cina dan Kelabit, Hannah Tan.

Persepsi masyarakat yang mengandaikan sukar buat penggiat seni hiburan tempatan menembusi pasaran luar, dibuang jauh-jauh.

Atas alasan itu, awal Januari lalu, dia aktif berbicara mengenai cita-citanya untuk melebarkan karier seni ke Jepun.

Pelik tatkala mendengarnya kerana negara sendiri pun dia belum lagi dikenali hebat, tiba-tiba menyatakan minat untuk mencipta nama di negara luar.

Ketika mendengarnya, mengandaikan wanita yang pernah merangkul tempat ketiga Miss Global Petite World 2002 serta gelaran Miss Congeniality ini sekadar ingin berkongsi mimpinya yang setinggi gunung itu.

Bukan bermaksud hendak menjatuhkan semangat wanita kecil molek ini, cuma rasanya penting bagi seseorang artis itu mengukir populariti di negara sendiri sebelum menginjak ke negara luar.

Tidak menghiraukan pandangan orang, Hannah menyepi tanpa berita hinggalah mengumumkan dia berjaya menambat hati sebuah syarikat rakaman negara matahari terbit itu, Fillmore Far East Inc.

Menandatangani kontrak selama dua tahun bernilai RM6 juta pada Oktober lalu, ia dilihat satu pencapaian memberangsangkan buat wanita ini.

Apatah lagi, dia berpeluang menyiapkan lima album berkonsepkan J-Pop ketika di bawah naungan syarikat itu.


Fillmore Far East adalah sebuah syarikat rakaman Jepun yang mempunyai 'live house' (tempat di mana artis boleh membuat persembahan) dan studio muzik sendiri. Dikenali sebagai Fillmore Records, syarikat ini mengendalikan 20 artis Jepun termasuk Kojiro Shimizu dan Lucy Diamond.

Beruntung sungguh Hannah, 28, kerana artis popular pun belum tentu berupaya meyakinkan negara luar untuk mengambil mereka menjadi artis naungan mereka.

Apa kelebihannya Hannah di mata Fillmore Far East? Mungkin, ada sesuatu yang ada padanya yang peminat industri hiburan tempatan tidak nampak kerana bukan calang-calang orang saja dapat menembusi pasaran luar.

Di saat pelbagai persoalan timbul, hati tertanya-tanya sama ada Hannah perlu melakukan sesuatu bagi mendapat peluang keemasan itu atau dalam erti kata mudah, menjual diri. Tidak berhasrat memalukannya, tetapi sekadar bertanya kerana dalam masa yang singkat dia sudah berupaya mendapat kontrak bernilai RM6 juta!

Mengajukan persoalan itu ketika sesi fotografi Rap yang diadakan bersamanya, baru-baru ini, Hannah tenang menjawab, malah langsung tidak melenting.

Ujar gadis kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini yang dia sudah mengagak isu berkenaan akan dipersoalkan.

"Saya tahu perkara ini akan diungkit juga suatu hari nanti. Kalau betul saya menjual diri, dari awal lagi saya sudah dapat peluang keemasan itu. Tetapi, mengapa baru sekarang?

"Dari awal Januari, saya bekerja keras mencari sudut rezeki di negara itu. Saya bermula dengan kosong kerana tidak mengenali sesiapa pun di sana.

"Malah, saya juga tidak mengharapkan bantuan daripada sesiapa kerana yakin usaha yang tidak putus akan membuahkan hasil juga suatu hari nanti.

"Ketika di sana, saya banyak melakukan kajian dan menghantar profil ke mana-mana agensi pengiklanan. Dari situ, saya mendapat beberapa tawaran, tetapi terpaksa menolaknya kerana tidak memberi ruang untuk saya berkarya. Saya bukan saja penyanyi, tetapi penulis lirik dan komposer.

"Penting bagi saya mempunyai kebebasan berkarya. Saya tidak mahu kerana ingin mendapat peluang menerbitkan album di negara luar, kita perlu mengikut segala tunjuk ajar mereka. Kerana ketegasan itu, akhirnya saya bertemu dengan pihak Fillmore dan mereka bersetuju untuk mengambil saya bernaung di bawah syarikat itu.

"Bukan mudah untuk yakinkan mereka kerana perlu mempersembahkan kertas kerja dulu. Industri muzik sudah tentu membabitkan untung dan rugi. Jadi, dari sini saya bermain dengan konsep perniagaan untuk mempengaruhi mereka.

"Saya juga menyatakan perancangan dan keuntungan yang akan mereka peroleh menerusi lagu saya nanti dalam bentuk muat turun dan sebagainya.

"Apabila berpuas hati dengan kertas kerja itu, barulah mereka berani untuk menawarkan kontrak bernilai RM6 juta. "Sejujurnya, setakat ini saya gembira dengan pencapaian diperoleh, tetapi akur banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk menambat hati peminat muzik di sana," katanya yang akan menjalani rakaman suara di Jepun pada Januari depan

Menyentuh mengapa tidak mengukuhkan populariti di Malaysia sebelum ke Jepun, beritahu Hannah, skop industri hiburan tempatan kecil di samping mempunyai misi besar membawa nama negara.

"Walaupun pernah menerbitkan album pertama, Crossing Bridges, saya lebih dikenali sebagai pengacara walhal minat utama adalah muzik.

"Bukan kecewa dengan pencapaian di negara sendiri, cuma impian saya sejak dari kecil untuk mengukir nama di pentas antarabangsa seperti Datuk Michelle Yeoh.

"Selain terbabit dengan karier di sana (Jepun), saya juga sibuk menyiapkan album kedua untuk pasaran Malaysia yang dijangka siap pada akhir tahun depan dan akan memberi kejutan pada semua.

"Malah, saya juga akan mengeluarkan single berjudul Angel dan Indah pada Januari depan," katanya.

Memiliki wajah jelita, pembabitan Hannah dalam industri hiburan tempatan bukan sekadar penyanyi, pengacara, komposer, penulis lirik dan model, tetapi turut merangkumi bidang lakonan.

Memulakan dunia lakonan menerusi drama Sketches (ntv7), Gol & Gincu (8TV) dan telefilem Bezanya Cinta (Astro Ria), kini bakatnya dilebarkan ke layar perak menerusi filem pertamanya My Spy.

Diarahkan Afdlin Shauki, My Spy yang bakal menjengah pawagam pada 3 Disember ini, membuatkan Hannah tidak sabar menanti reaksi peminat terhadap kemunculan pertamanya di layar perak.

"Saya memainkan dua peranan iaitu Maria, setiausaha kepada Datuk O (Ridzuan Hashim) dan juga seorang polis antarabangsa yang menyiasat satu kes membabitkan Datuk berkenaan. Berlakon bersama pelakon hebat seperti AC Mizal dan Harun Salim Bachik, membuatkan saya gementar.

"Tetapi seronok kerana mereka banyak memberi nasihat dan pengetahuan berguna kepada saya untuk menjiwai watak. Walaupun tertekan, tetapi itu tidak terasa kerana melihat karakter mereka yang kelakar. Cabaran paling besar ketika menjayakan My Spy adalah tutur kata saya masih pelat dan kurang fasih berbahasa Melayu.

"Namun, itu bukan masalah besar kerana saya cuba memperbaikinya dengan menonton drama Melayu dan ramai membantu. Secara jujurnya, saya yakin filem ini akan mendapat sambutan kerana ia sangat kelakar," katanya mengakhiri bicara.



PROFIL

NAMA PENUH: Hannah Tan

UMUR: 28 tahun

TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1981

ASAL: Georgetown, Pulau Pinang

KERJAYA: Pelakon, model, penyanyi, komposer dan pengacara

KETURUNAN: Cina-Kelabit

PENDIDIKAN: Ijazah Sains (Kepujian) Sains Perkomputeran dan Sistem Maklumat (University of Lincolnshire & Humberside, UK), Diploma Lanjutan Pengajian Komputer (Kolej KDU Pulau Pinang/NCC UK), Diploma Teacher's Level Grade 5 dari Yamaha Music Japan (Piano)

DRAMA: Sketches, Gol & Gincu dan Bezanya Cinta

FILEM: My Spy

IKLAN: Maybelline, Nescafe, McDonald's, Lux, Panasonic, DiGi

dan Maxis

PROGRAM TV: Ringgit Sense (TV3), Girls Club (ntv7) Looking Good Feeling Good (ntv7), What Women Wants (8TV) dan Motorsports@ Petronas (Astro Super Sports)

ALBUM: Crossing Bridges (album pertama)

PENCAPAIAN TERBAIK: Tempat ketiga Miss Global Petite World 2002 serta raih gelaran Miss Congeniality

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: