Saturday, December 26, 2009

Mutu Kerja Lebih Penting Daripada Populariti - Sabrina Ali

NAMA Sabrina Ali mungkin agak asing bagi segelintir peminat dunia seni lakonan. Malah, selepas lima tahun pembabitannya sebagai anak seni, Sabrina masih tidak dikenali ramai. Mungkin ada yang mengenali namanya tapi tidak cam wajahnya dan begitulah sebaliknya.

Namun, Sabrina tidak pernah melihat perkara itu sebagai satu masalah buat dirinya. Menurut aktres jelita ini, niat dan tujuannya menyertai dunia seni adalah untuk mempamerkan bakat yang dianugerahkan Tuhan. Justeru, Sabrina tidak pernah gusar akan isu populariti.

"Pada saya, populariti atau glamor tidak penting. Niat saya menyertai dunia seni ini adalah untuk mengembangkan bakat yang ada.

"Apa yang penting bagi saya adalah mutu kerja. Orang akan mengenali dan meminati kita secara sendirinya jika kita mempamerkan bakat dan kerja yang berkualiti kepada penonton," katanya.

Aktres berusia 29 tahun ini juga percaya penonton akan menghargai kehadirannya di dalam industri seni ini kerana bakat seni yang diperdagangkan dan bukan kerana isu-isu kontroversi atau publisiti murahan.

"Selama lima hingga enam tahun pembabitan saya di dalam bidang lakonan, saya tidak pernah sekali pun terdesak untuk mencari publisiti murahan semata-mata untuk melonjakkan nama agar dikenali ramai.

"Biarlah orang kenal kita kerana bakat kita dan bukan kerana perkara-perkara kontroversi. Itu yang lebih penting bagi saya," ujar aktres yang kini sedang terlibat di dalam penggambaran drama bersiri, Mayang Mengurai.

Bercerita tentang kerjaya lakonannya yang agak terhad kepada drama dan siri TV, sabrina berkata, dia agak memilih apabila ditawarkan sesuatu watak itu kerana tidak mahu melakonkan watak yang lebih kurang sama.

Ditanya tidakkah dia berminat untuk berlakon filem, Sabrina mengakui, dia kini sedang dalam proses perbincangan untuk membintangi filem pertamanya.

Filem seram yang berjudul Khurafat itu bakal diarahkan oleh pengarah muda, Syamsul Yusof yang juga sepupunya sendiri.

"Saya agak selektif dalam pemilihan watak yang ditawarkan. Mungkin, sebab itu kemunculan saya agak terhad dan hanya boleh dilihat menerusi beberapa drama dan siri TV sahaja.

"Bukan tiada yang menawarkan saya untuk berlakon dalam filem, tapi setakat ini, watak yang ditawarkan adalah watak-watak yang saya sudah biasa bawa dalam drama mahu pun siri TV.

"Pada saya, setiap kemunculan kita di dalam filem perlu memberi impak kepada penonton. Mereka datang membayar tiket untuk menonton mutu kerja saya.

"Jika setakat berlakon watak yang klise, lebih baik saya tidak perlu tampil di dalam sesebuah filem itu. Orang bayar untuk melihat lakonan saya.

"Sebagai pelakon, saya ada tanggungjawab untuk beri lakonan yang memuaskan dan berbeza kepada penonton," tegasnya.

Menurut Sabrina, dia akan mula memasuki lokasi penggambaran filem itu sekitar awal Januari depan.

Enggan bercerita lebih lanjut mengenai lakonan filem pertamanya itu, Sabrina sekadar berkata, dia akan memainkan watak yang menarik dan tidak pernah dibawanya sebelum ini.

Dia yang mengakui menerima tawaran tersebut kerana jalan cerita dan watak yang menarik, bagaimanapun menafikan dia mendapat tawaran itu hanya kerana mempunyai hubungan persaudaraan dengan Syamsul Yusof.

"Dari awal pembabitan saya, saya langsung tidak percaya kepada konsep kronisme.

"Walaupun Datuk Yusof adalah pakcik saya dan Syamsul pula sepupu saya. Tapi saya sama sekali tidak mengambil kesempatan untuk dapat jalan mudah untuk bertapak di dalam industri.

"Saya muncul kerana bakat saya sendiri. Memang saya pernah terlibat dengan siri TV Sembilu Kasih dan Janji Diana di bawah Skop Productions milik Datuk Yusof sebelum ini, tapi tawaran tersebut diberikan kerana kebolehan saya dan bukan atas alasan kami bersaudara," jelas aktres yang memiliki Ijazah dalam jurusan Akauntan dari Kolej Sunway ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: