Thursday, December 3, 2009

Mulanya 'jahat'


LAKONAN artis jelita, Carina Zampini menerusi telenovela Collar Des Esmeraldas: The Emerald Necklace yang hangat bersiaran di TV2 ketika ini melonjakkan populartinya di mata peminat industri hiburan tempatan.

Berwatak gadis jelita yang lemah-lembut, Carina, 34, yang diberi kepercayaan menggalas watak Romina dalam telenovela itu berjaya meruntun hati sesiapa saja menontonnya.

Malah, gandingannya bersama rakan dalam telenovela itu, Osvaldo Laport sebagai Martin turut membentuk keserasian. Justeru, tidak menghairankan apabila siri itu mendapat perhatian penonton dan peminat setia Carina apabila aksinya sebagai Romina berupaya meraih simpati ramai.

Namun, siapa sangka gadis kelahiran Buenos Aires, Argentina ini mula mencipta nama dalam bidang hiburan tempatan selepas berjaya menjiwai watak jahat menerusi telenovela Mujercitas.

Dari situ, dia mula aktif mengorak langkah dan kebanyakan tawaran diterima adalah menggalas karakter sedemikian.

Sudah tentu, berita ini akan membuatkan peminat setia Carina sukar mempercayainya apatah lagi apabila membandingkan lakonannya sebagai Romina.

Tetapi itulah bakat semula jadi yang ada pada diri Carina yang berupaya menghayati apa saja watak diberi kepadanya sehingga memberi kesan mendalam kepada penonton.

Kerana pencapaian yang amat memberangsangkan itu, dia berjaya merangkul beberapa anugerah sepanjang karier seninya seperti Martin Fierro serta anugerah yang mengiktirafnya menjiwai watak jahat menerusi telenovela Ricos y Famosos.

Beritahu Carina, karakter jahat adalah platform terbaik untuk mencipta nama dalam bidang lakonan. Keberkesanan menjayakan watak sedemikian, secara tidak langsung akan yakinkan pengarah untuk mengambil seseorang pelakon bekerja dengan produksi mereka.

"Ramai salah faham mengenai watak jahat kerana mengandaikan peranan sebegini tidak mampu menaikkan nama mereka. Malah, mereka turut beranggapan karakter ini membuatkan penonton benci dan tidak akan menyukai lakonan kita.

"Sebenarnya, lagi penonton benci bermakna lakonan kita berkesan. Bagi saya, menjayakan watak perempuan jahat bukan mudah kerana bermain dengan emosi, kepandaian dan sebagainya. Malah, adakalanya kita perlu menjadi baik, tetapi niat di hati masih lagi hitam. "Itulah keistimewaan watak ini kerana pelbagai peranan boleh dilakukan. Dari situ, pengarah dapat menilai dan melihat karakter seseorang pelakon itu yang berupaya menjiwai apa saja peranan. Melalui itu, saya berjaya yakinkan pengarah untuk ditawarkan kepelbagaian watak," katanya.


Berkahwin dengan Pablo Arce, seorang guru dan dikurniakan anak lelaki, Manuel, akui Carina bukan mudah untuk dia mencapai tahap ini.

Malah, keluarganya pernah menghalang minatnya itu kerana tidak yakin industri hiburan berupaya menjana pendapatan lumayan.

Dilahirkan dalam keluarga yang amat mementingkan pelajaran, beritahu Carina, bakat lakonnya dicungkil ketika berusia sembilan tahun.

Minat itu tidak didiamkan saja, malah diteruskan menerusi pementasan teater sekolah. Dari situ, dia yakin akan impiannya untuk mengukir nama dalam bidang lakonan.

"Sejurus menamatkan pengajian, saya beritahu ibu yang saya ingin belajar jurusan lakonan di Teatro General San Martin. Tetapi, ibu tidak setuju dan mengharapkan saya memilih jurusan serius yang akan menjamin masa depan.

"Saya terus merayu kepada ibu agar memberi peluang dan keizinan kepada saya memilih jurusan itu. Malah, saya berjanji kepadanya akan menjadi pereka grafik sekiranya gagal dengan pemilihan itu.

"Saya tahu kenapa ibu tidak membenarkannya kerana kami bukan dari keluarga kaya. Apatah lagi, ayah meninggal sejak saya berumur tiga tahun dan perlu bekerja keras membesarkan kami adik beradik.

"Namun, saya tidak dapat memenuhi impian belajar di Teatro General San Martin atas faktor kewangan. Jadi saya mengambil keputusan untuk bekerja di pusat membeli-belah, jurujual dan penyambut tetamu. Malah, kerana ingin mencari duit lebih bagi membantu ibu saya pernah bekerja kilang.

"Pada masa sama, mana-mana saja uji bakat diadakan saya akan pergi hinggalah berjaya menarik perhatian pengarah dan berpeluang membintangi Mujercitas. Dari situ, bakat saya mula dikesan pengarah lain," katanya.

Collar Des Esmeraldas: The Emerald Necklace mengisahkan Martin mempunyai masalah untuk berbaik dengan bapanya, Alfredo, seorang pemilik syarikat pembinaan yang berjaya.

Begitu pun, kematian mengejut Alfredo menimbulkan situasi misteri yang sukar diungkapkan.

Sementara itu, Romina, seorang gadis jelita yang hidup dalam kemiskinan selepas ayahnya, pembantu kepada Alfredo, kehilangan kerja.

Bertitik-tolak dari itu, Romina dan bapanya berjuang meneruskan kehidupan sedaya yang termampu.

Menariknya, ayah Romina memiliki kalung bertatah zamrud yang diberikan Alfredo kepadanya sebelum meninggal. Disebabkan faktor kemiskinan, mereka berhasrat untuk menjual kalung itu, tetapi tidak kesampaian apabila ayah Romina dibunuh dengan kejam.

Sedih dengan itu, pengenalan Romina dengan Martin menjadikan mereka semakin rapat dan akhirnya menjalin hubungan cinta. Tanpa diketahui, bapa Romina mahupun Martin menjadi mangsa bunuh lelaki sama iaitu Victor, bapa saudara kepada Martin sendiri.

Mengetahui kes kematian bapa mereka mempunyai kaitan antara satu sama lain, Romina dan Martin bertindak sendiri dengan melakukan penyiasatan untuk membongkar kebenaran siapa pembunuh ayah mereka yang sebenar. Telenovela latin ini bersiaran di TV2 setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: