Thursday, December 3, 2009

Kejutan teman karib buat Salwa


JIKA melihat pada riak wajahnya, siapa sangka penyanyi era 80-an, Salwa Abdul Rahman kini berusia 44 tahun. Bersikap ceria dan sentiasa tersenyum mungkin petua mujarab bagi isteri dan ibu kepada dua anak ini mengekalkan kejelitaannya.

Namun, pada 20 November lalu Salwa dikejutkan dengan sambutan majlis ulang tahun istimewa yang dirancang beberapa teman karibnya.

Apapun, lebih dulu mereka terbabit menjayakan persembahan amal untuk Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diterajui Presidennya, Datuk Freddie Fernandez di ibu kota.

Salwa berkata dia sangat terharu dengan kejutan yang dibuat teman karib termasuk jurusoleknya.

Walaupun hanya sederhana, tetapi yang pasti meriah. Apapun, katanya, sayang sekali majlis bermakna itu tidak disertai suami dan anak tersayang.

"Hari lahir saya ialah pada 22 November 1965. Bagaimanapun, rakan saya yang budiman itu merancang meraikannya dua hari lebih awal. Patutlah, selepas majlis tamat mereka semua tidak bergegas balik ke rumah seperti biasa. masing-masing sanggup menunggu.

"Alkisahnya, mereka sudah merancang mengadakan majlis kejutan hari lahir istimewa buat saya. Ia sangat menggembirakan saya apatah lagi dapat meraikan bersama beberapa teman rapat dan seperjuangan seperti Nassier Wahab serta Rohana Jalil.

"Mereka adalah antara induvidu yang sentiasa bersama saya pada zaman susah dulu kerana sama-sama mengejar impian menjadi insan seni pada era 80-an lalu.

"Bagaimanapun, seorang lagi teman karib, Azizul Khamis tidak hadir kerana menjayakan majlis lain.

"Apapun, alangkah seronoknya jika majlis itu turut dihadiri suami (Subadron Abdul Aziz) dan anak (Puteri Sulaikha, 12; Putera Sufrie Nizam, 8). Sayangnya, mereka tidak tahu. Bahkan, suami pun bukanlah individu yang mengikut saya ke majlis," katanya.


Salwa berkata sekalipun Subadron tidak menghalang karier seninya, tetapi suami yang tercinta itu adalah penyokong setianya dari jauh.

Akuinya, adakala Subadron akan menghantar dan mengambilnya di majlis dihadiri selain ditemani anak.


Mengenai hadiah 'istimewa', Salwa berkata tiada apa yang lebih bermakna buatnya melainkan keputusan cemerlang diperoleh Puteri Sulaikha dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini iaitu 5A.

Katanya dia sangat bersyukur.

"Sebagai ibu, siapa yang tidak gembira dengan kejayaan anak kerana itu yang diharapkan. Bagaimanapun, saya tidak bercadang menghantar Puteri Sulaikha ke sekolah berasrama kerana lebih selesa jika dia berada di depan mata. Saya tidak boleh jauh daripada anak.

"Ditambah lagi, jumlah anak yang tidak ramai. Bagi saya, biarlah mereka ada dekat kerana kasih sayang lebih rapat. Bagi saya kasih sayang paling utama dan tidak kisahlah jika anak hanya meneruskan pembelajarannya di sekolah menengah biasa.

"Pada saya, kualiti masa dengan anak sangat penting. Maka, saya dan suami sepakat Puteri Sulaikha bersekolah dekat dengan kami. Dalam soal ini, bagi saya tidak timbul masalah berdikari kerana tanggungjawab ibu bapa mendidik anak mengenainya.

"Saya yakin, di rumah pun masih mampu mengajar mereka (anak) berdikari," katanya yang menggalas jawatan Ketua Biro Penyanyi dalam Karyawan.

Apapun, mengenai azam baru 2010, Salwa berkata dia sekadar mahu kehidupan keluarga sentiasa bahagia.

Berkaitan karier pula, Salwa bertekad akan berpeluang muncul dengan single popular yang mampu menjulang namanya sebagai penyanyi.

Katanya setakat ini, dia masih belum sampai ke tahap itu.

"Sebenarnya, saya mahu mempunyai satu atau dua lagu yang boleh mengingatkan pendengar dan peminat pada nama Salwa Abdul Rahman. Jika Datuk Sharifah Aini, orang ingat dan kenal beliau dengan lagu Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung, saya pun mengimpikan.

"Jadi, saya harap impian ini akan termakbul nanti," katanya yang sudah membina rumah tangga bersama Subadron selama 20 tahun.

Bernikah pada 1989, Salwa berkata rahsia kebahagiaan itu mungkin disebabkan suami cukup memahami dirinya dan keserasian.

Akuinya, dia dan suami mengamalkan sikap jujur antara satu sama lain dan saling mempercayai.

Malah, katanya, mungkin juga kerana sikap suami yang bukan kaki perempuan menyebabkan dia bertuah melayari bahtera rumah tangga bahagia hingga kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: