Friday, December 4, 2009

Mentafsir penghujung riwayat Natrah


SINGAPURA yang pernah dilanda kekecohan gara-gara kisah Natrah digambarkan menerusi teater ini.


RAMAI peminat yang telah mengikuti perjalanan hidup Natrah sejak gadis berketurunan Belanda itu dilahirkan di Tjimahi, Pulau Jawa, Indonesia pada 24 Mac 1937 sehinggalah beliau meninggal dunia di Huijbergen, Belanda 9 Julai lalu.

Walaupun banyak laporan berita dan buku yang telah ditulis bagi menyoroti susur galur pelbagai tragedi yang pernah menimpa Natrah, namun klimaks tentunya lebih menjurus kepada kesudahan akidah pada penghujung riwayat hidup beliau.

Ini kerana, sepanjang menempuh perjalanan hidupnya yang penuh tragedi bermula pada usia lapan tahun sehinggalah saat kematiannya ketika berumur 70 tahun, anutan agama Natrah antara persoalan yang sering menjadi tanda tanya banyak pihak.

Justeru, apabila Istana Budaya (IB) mementaskan Natrah bermula 30 November lalu hingga 9 Disember ini, ramai yang ingin mengetahui bagaimanakah pengarahnya, Erma Fatima menggarap persoalan isu itu pada klimaks teater tersebut?

Menurut Erma, antara persoalan penting yang cuba diketengahkan menerusi Natrah ialah cinta pelbagai dimensi termasuklah rasa kecintaan wanita Belanda itu ke atas Tuhan Yang Maha Esa, agama, bangsa dan keluarga yang amat dicintainya.

Jelasnya, terpulanglah kepada para penonton untuk menilai dan membuat tafsiran sendiri daripada pelbagai aspek yang lebih luas skopnya selepas menonton pementasan teater yang padat dengan fakta-fakta sejarah itu.

"Dalam hal ini, hanya Natrah sahaja yang tahu. Adakah persoalan cinta yang saya paparkan dalam teater ini tentang cinta Natrah kepada Tuhan, suaminya, Mansor Adabi atau keluarganya? Semuanya sesuai dan boleh ditafsirkan.

"Cuma apa yang boleh saya katakan dalam hal ini, ia bukan soal agama kerana itu adalah hak individu. Sebaliknya, ia tentang hak dan kepercayaan setiap orang termasuklah Natrah. Soal hati dan kepercayaan tidak ada orang yang boleh menilainya.

"Hanya Tuhan sahaja yang tahu (agama dan kepercayaan Natrah)," katanya ketika ditemui selepas pratonton untuk wakil-wakil media massa pada malam kedua pementasan Natrah di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada penghujung pementasan teater itu, Erma cuba menggarapnya dengan memaparkan watak Natrah pada usia tuanya yang dilakonkan oleh Sofia Jane berjalan menuju ke sebuah gereja sambil disulami oleh cahaya yang berbalam-balam sebagai simbolik.

Sorotan teater dengan durasi hampir dua jam ini menggambarkan perjalanan hidup Natrah atau nama sebenarnya Maria Huberdina Hertogh sejak dari kecil yang dibesarkan oleh ibu angkatnya Che Aminah dalam suasana hidup orang Melayu dan agama Islam.

Natrah pada usia remajanya yang wataknya dilakonkan oleh Maya Karin digambarkan pandai mengaji, tidak lupa solat lima waktu dan amat serasi menjalani kehidupan dalam suasana kemelayuan di Kemaman, Terengganu.

Konflik mengenai persoalan agama dan keluarga Natrah mula tercetus dengan kemunculan semula ibu bapa kandungnya iaitu Adrianus Petrus Hertogh dan Adeline Hunter yang mahu mengambilnya semula daripada Che Aminah.

Teater ini menggambarkan konflik dalaman jiwa Natrah melalui monolog sekitar 10 minit yang dilontarkan oleh pelakon Sofia Jane yang melakonkan watak wanita Belanda itu pada usia tuanya ketika di awal penceritaan naskhah ini.

Paling menarik apabila watak Natrah bersama Che Aminah dan Adeline (lakonan Samantha Schubert) muncul bersama dalam sebuah monolog dengan bahasa yang cukup puitis dan mendalam bagi menggambarkan perasaan masing-masing.

Paparan monolog itu secara tidak langsung mampu menggambarkan penderitaan batin Natrah yang menjadi mangsa keadaan di mana pada ketika itu agama, keluarga atau bangsa bukan lagi menjadi isu utama teater ini.

Kebebasan individu

Sebaliknya, hak kebebasan individu yang memfokuskan kepada watak Natrah haruslah dihormati terutamanya oleh keluarga kandung beliau dan juga pihak-pihak Barat yang selama ini mengagung-agungkan hak-hak asasi manusia.

Secara tidak langsung, isu agama yang menjadi teras dalam pementasan ini menjadi persoalan penting, apatah lagi apabila keputusan mahkamah akhirnya menyebelahi keluarga kandung Natrah.

Erma selaku penulis skrip dan dialog Natrah tidak menafikan akan 'kekalahan' daripada segi moral bagi orang Melayu dan agama Islam apabila gadis itu berjaya dipisahkan daripada suaminya, Mansor Adabi (lakonan Remy Ishak) dan dibawa pulang ke Belanda oleh keluarganya.

"Kita memang 'kehilangan' Natrah dalam cerita ini, tetapi kemenangan kita ialah perpaduan Melayu yang terbina ekoran daripada tragedi itu," ujarnya.

Selain mengungkap banyak mesej agama dan bangsa, Natrah bukan setakat diperkatakan daripada segi jalan cerita dan kesudahannya, malah lagu-lagu Hindustan yang melatari pementasannya juga menjadi bualan ramai.

Sambil tidak menafikan perkara itu, Erma yang sudah menyedari akan timbulnya persoalan tentang beberapa lagu berkonsepkan lagu-lagu Hindi yang digunakan dalam beberapa adegan teater itu mempunyai alasannya yang tersendiri.

"Seperti sedia maklum, teater Natrah banyak dengan adegan yang boleh menimbulkan stress (tekanan) seperti adegan di mahkamah, perebutan antara keluarga angkat dan keluarga kandung Natrah dan sebagainya.

"Jadi, saya gunakan lagu-lagu berkonsepkan Hindustan bagi mengurangkan tekanan para penonton. Biasanya kita kena faham mengapa ramai yang suka menonton filem-filem Hindustan terutamanya orang Melayu.

"Antara sebabnya ia ada kisah cinta dan konflik di dalamnya. Sebab itu saya sengaja menjadikan teater ini sedikit macam filem Mohabbaten (filem Hindi). Saya sengaja 'membohabbatenkan' teater ini supaya orang tidak terlalu stress ketika menontonnya," jelasnya lagi.

Sementara itu, Maya Karin yang melakonkan watak Natrah sewaktu remaja tidak menafikan dia banyak bermain dengan elemen emosi bagi melakonkan watak tersebut agar rasa simpati dan kesedihan itu dapat dikongsi bersama para penonton.

Malah, sebagai pembawa watak itu, pelakon kacukan Melayu dan Jerman ini tidak menafikan turut berasa simpati dengan Natrah yang boleh dijadikan iktibar dan dihayati oleh para penonton dalam konteks yang lebih luas.

"Secara peribadi antara kesimpulan yang boleh saya kata daripada teater ini ialah saya berasa sangat-sangat kasihan dengan Natrah. Teater ini mahu menceritakan satu sejarah yang pernah meninggalkan kesan mendalam di Malaysia dan Singapura.

"Ia sebuah cerita yang sedih dan mampu menyentuh hati para penonton tanpa mengira agama dan bangsa. Tetapi kalau kita mampu untuk berfikir lebih jauh dan mendalam tentang kisah ini ia lebih elok," komennya.

Jelas Maya, Natrah yang mengenakan harga tiket dari RM30 hingga RM150 itu merupakan watak dalam teater Melayu pertama lakonannya.

Sepuluh tahun lalu dia pernah berlakon dalam teater Inggeris berjudul Mana-Mana dan In The Mind Eyes.

Para pelakon lain yang membintangi Natrah ialah Hamzah Mohd. Tahir, Sahronizam Noor, Hadi Tahir, Iqbal Taufik, Mazin Ameen Siraj, Mutalif Abu Bakar, Mohd. Shahidan Salleh, Mohd. Sufian Bujang dan Jamal Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: