Thursday, December 3, 2009

Kes Cerai: Mamat Exist Gagal Hadir Pasport Ditahan Di Singapura

Marshila ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pagi ini.

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Exist, Mohd Ali Kamarudin atau Mamat, 30, gagal hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini pagi ini untuk mengesahkan lafaz cerai terhadap isterinya, Marshila Mustapa Kamal (Shila).

Ketika ditemui di luar mahkamah, Marshila berkata, makciknya ada memberitahu Mamat tidak dapat hadir sebab paspotnya ditahan di Singapura.

"Dia (Mamat) berada di sana. Dia masih berada di bawah jaminan dan mahkamah masih pegang pasportnya.

"Dia cuma hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mak cik saya semalam untuk memberitahu dia akan hadir ke mahkamah pada 23 Disember ini di negara sana," katanya.

Sebelum ini, media Singapura melaporkan Mamat ditahan polis atas dakwaan mencuri telefon bimbit milik seorang pelakon tempatan pada 13 November lalu. Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin di Balai Polis Bedok.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Untukmu Ibu' itu ditahan selepas Suhailmi Ruslan atau lebih dikenali sebagai Amy Kecik, membuat laporan mendakwa Mamat mencuri telefon jenama Samsung berharga S$280 (RM685.11) dari rumah beliau pada pagi 13 November lalu.

Mamat turut dilaporkan merayu dibebaskan dengan memberi alasan memerlukan wang kerana bekas isteri dan anaknya sedang sakit.

Menurut Marshila, Mamat meminta kawannya untuk menelefonnya bagi memaklumkan bahawa dia ditahan.

Marshila ditemuramah para wartawan sejurus selesainya prosiding mahkamah.

"Selepas dijamin, dia tidak beritahu apa-apa lagi. Bila lepas, saya pun tak tahu," katanya .

Marshila memberitahu, Mamat melafazkan cerai pada 28 Oktober 2009 dan dia memfailkan pengesahan lafaz tersebut di mahkamah sehari kemudian.

"Mamat datang ke rumah dan melafazkan cerai secara berdepan dengan saya. Masa itu, kami ada bertengkar sedikit dan kemudian dia lafazkan, "Saya ceraikan awak". Masa itu, kami bersama dengan anak-anak," kata Marshila yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di sini.

Pasangan itu berkahwin pada 2001 dan mempunyai tiga orang anak iaitu, Aleeya Mysara, 7, Mohd. Eiki Daniell, 5 dan Dylea Mysara, 3.

Menurut Marshila, selepas bercerai mereka tinggal berasingan dan Mamat tinggal di Singapura.

"Daripada maklumat yang saya terima, dia tinggal di rumah teman wanitanya," tambahnya.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Syarie, Mohd Suhaily Rosdi berkata, pihak mahkamah tidak dapat mengesahkan penceraian pasangan itu kerana pihak defendan (Mamat) gagal hadir.

Justeru katanya, kes itu ditangguhkan pada 24 Februari 2010, pukul 10 pagi.

"Mahkamah mohon pihak plaintif beritahu defendan tentang tarikh baru tersebut bagi mempercepatkan kes ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: