Sunday, December 20, 2009

Menghargai kudrat, keringat pejuang negara



Pakaian askar Nombor 5 (celoreng) pada susuk tubuh 71 wartawan yang dipakai selama tiga hari dua malam bukanlah disarung untuk suka-suka atau diperagakan kepada sesiapa.

Tatkala but hitam sudah di kaki dan di bahu tergalas beg besar berwarna hijau, maka bermulalah sesuatu yang dikatakan perjuangan.

Perjuangan, walau bukan di medan tempur sebenar yang punya musuh, tetapi mampu membuatkan peserta merasai sendiri betapa payahnya hayunan langkah seorang askar dan betapa beratnya beban serta tanggungjawab yang terpaksa dipikul setiap mereka bergelar tentera.

Sama ada tentera di belantara, samudera dan udara, tugas mereka menyedarkan kita, bahawa di sebalik keselesaan hidup, ada insan yang rela berkorban, berpisah dengan keluarga tercinta selama berbulan-bulan demi memastikan rakyat dan negara selamat daripada ancaman seteru yang mungkin menyerang pada bila-bila masa.

Tampak segak apabila sesekali mengenakan uniform, jauh bezanya dengan imej dan penampilan seorang wartawan yang sentiasa sibuk dengan pena dan tugasannya. Program bersama media anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Tasik Banding dan hutan Royal Belum, Perak, pada 11 - 13 Disember lalu meninggalkan pengalaman dan impak positif buat peserta, baik dari media cetak, mahu pun elektronik.

2,749 minit

Program tahunan yang diadakan secara bergilir antara Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini menyaksikan Tasik Banding dan Royal Belom ‘diredah’ masuk bukan sahaja oleh kelompok wartawan, tetapi juga 38 pegawai dan 585 anggota lain dari 21 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja), Markas taktikal (MK Tak) 749 Kem Banding, 4 Rejimen Sempadan (RS) Kem Gerik, Unit Anjing Perang Pulada dan beberapa unit lain.

Giliran Markas Tentera Darat Malaysia menganjurkan program pada tahun ini, ‘2,749 Minit Menghayati Suasana Operasi’ menjadi konsep program, sesuai dengan matlamat program diadakan iaitu untuk memperingati pengorbanan dan perjuangan pasukan keselamatan terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara semasa menentang insurgensi.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang bertindak merasmikan dan menutup program tersebut berkata, program juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan di antara ATM dengan media dan dalam masa sama dapat mencorakkan imej positif warga ATM di mata umum.

”Sesungguhnya peranan media terhadap ATM amat besar, terutama dalam memberi publisiti melalui media cetak dan elektronik kepada masyarakat tempatan mahu pun antarabangsa.

“Sebagai tonggak utama pertahanan negara, tanggungjawab dan amanah ATM begitu berat. Justeru, selain aset dan teknologi canggih, ATM juga memerlukan sokongan padu rakyat jelata yang juga menjadi elemen pelengkap bagi menghadapi cabaran mendatang.

”Berlangsungnya program ini juga sempena meraikan kejayaan 20 tahun ATM bebas daripada ancaman pengganas komunis,” katanya.

Kawad bawah matahari

Aktiviti yang telah diatur sememangnya mencabar mental dan fizikal peserta. Bagi yang tidak biasa berpanas, mereka terpaksa akur apabila kulit secara langsung disuluh terik mentari selama berjam-jam ketika bot tempur yang dinaiki meredah gelombang di sepanjang tasik sebelum tiba di hutan Royal Belum.

Begitu juga ketika peserta bersama anggota tentera lain diarah berkawad di bawah pancaran matahari sewaktu upacara perasmian dan penutup, peluh yang menitis itu dirasakan seperti nikmat daripada sebuah pengorbanan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Menurutnya, pihaknya memang sengaja mendedahkan aktiviti rutin ATM semasa menjalankan operasi di hutan menerusi program ini.

"Walaupun apa yang anda alami bukanlah mencerminkan keadaan sebenar dan sepenuhnya, saya harap ia dapat memberi gambaran umum mengenai kesukaran dan cabaran yang dilalui tentera dalam operasi.

"Saya percaya cara ini akan membuatkan anda kini lebih faham makna komitmen demi menyahut seruan ibu pertiwi, di mana anggota tentera kita rela meninggalkan keluarga dan keselesaan hidup serta menjalani kehidupan serba ringkas dalam tempoh yang lama di belantara,” katanya.

Perjalanan menelusuri tasik ke kawasan operasi seolah-olah memberitahu peserta bahawa anggota tentera bukan sahaja mempertaruhkan nyawa demi negara, tetapi mereka juga perlu berdepan dengan risiko, kesabaran dan berkorban segalanya.

Suasana operasi terasa lebih getir setibanya peserta di kem pangkalan. Belantara tebal yang dipenuhi segala macam haiwan, pokok besar dan tinggi perlu diredah. Lebih menyukarkan apabila peserta perlu mendaki bukit untuk membina pangkalan, seterusnya bermalam di hutan tebal yang mempunyai 1,001 cerita ngeri dan misteri itu.

Tiga platun

Tiba di pangkalan, peserta media yang dipisahkan kepada tiga platun utama dikehendaki memasang basha/hammock iaitu tempat untuk tidur di kawasan yang telah disediakan. Lupakan sahaja katil dan tilam empuk di rumah, kerana di situ hanya empat batang kayu pokok yang dibenamkan ke tanah menjadi pengganti tiang katil, sementara kain nipis pula digantung menggantikan tilam empuk di rumah.

Manakala, kekuatan bumbung kanvas pula hanya disandarkan pada tali empat penjuru yang diikat pada pokok-pokok renek tumbuh melata di tanah. Bagi peserta 'manja', mereka akan memasang kelambu yang disediakan ATM bagi mengelak serangan serangga terbang seperti nyamuk mahupun agas.

Ketika itu, maka ramailah menyedari bahawa nikmat dan keselesaan tidur tidak lagi penting bagi tentera yang bertugas di hutan, tetapi keselamatan dan tanggungjawab terhadap diri, pasukan dan negara adalah lebih utama.

Selain itu, peserta juga diberi peluang memasak 'rangsum tempur' yang dibekalkan. Mungkin makanan tersebut terasa enak bagi peserta yang kebanyakannya belum pernah mencuba, tetapi mungkin tidak lagi bagi tentera yang perlu berada di hutan dalam tempoh lama. Tentunya masakan ibu atau isteri lebih dirindu! Apa yang pasti, setiap pejuang negara ini sedikit pun tidak pernah merungut, kerana niat mereka suci dan murni, mahu mempertahankan keamanan negara.

Jika siang hari di Royal Belum begitu panas dan merimaskan peserta, cuaca menjadi begitu dingin pada malam hari. Namun, peserta perlu mengorbankan sebahagian daripada waktu tidur mereka kerana bertugas sebagai sentri walau badan letih dan mata terlalu mengantuk.

Menyelamat 'tebusan'

Sebelum tiba di hutan Royal Belum, peserta dipersembahkan dengan demonstrasi menyelamat tebusan VIP yang disembunyikan di pulau kecil dari tengah-tengah Tasik Temenggor.

Demonstrasi menjadi lebih menarik apabila peserta berpeluang melihatnya dari atas sebuah pontun (salah satu peralatan canggih ATM) yang didatangkan khas untuk menjayakan program ini.

Operasi menyelamat tersebut membuktikan ATM, selain mempunyai peralatan yang canggih turut mempunyai skil, teknik dan kepakaran untuk menyerang musuh.

Antara teknik dan peralatan yang diperkenalkan termasuklah teknik Halo Casting oleh perenang tempur menaiki bot Zodiac, teknik ‘fast roping’ dengan helikopter Nuri, teknik Rapid Touch n Go dengan helikopter Agusta, teknik Spie Rig, teknik Winching dan teknik Fast Recovery.

Selain demonstrasi tersebut, ATM turut mengadakan demonstrasi anjing perang. Pihak media diberi penerangan tentang cara anjing dilatih untuk mengesan bom dan musuh secara amnya.

Aktiviti lain yang diatur termasuklah melawat Perkampungan Ikhtiar Hidup dan Kampung Orang Asli Sungai Kejar sambil beramah-mesra dan menyampaikan sumbangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: