Friday, December 11, 2009

Mengembara bersama Yuna dalam ‘Xpresi Kembara’

Untuk memberi peluang kepada peminat berkenalan dengan lebih dekat dengan penyanyi kecil molek yang berbakat dalam bidang nyanyian dan ciptaan lagu ini, RTM menerusi sebuah program berbentuk ‘travelogue’ membawakan Yuna, gadis yang mula meningkat naik dengan lagu popularnya, Dan Sebenarnya ini menerusi episod istimewa, 'Xpresi Kembara' pada 12 Disember (Sabtu), jam 10.31 pagi di TV1.

Diterbitkan oleh Mohd Zam Ali, Xpresi Kembara bersama Yuna dirakamkan sekitar Perak baru baru ini telah menerokai tempat tempat menarik dan keindahan negeri Perak. Antara tempat menarik yang dirakamkan adalah sekitar Pulau Pangkor yang sememangnya terkenal dengan keindahan pulaunya serta produk perlancongan semuladi.

Antara aktiviti menarik Yuna sepanjang penggambaran 'Xpresi Kembara' berlangsung di sekitar Pulau Pangkor ialah 'snorkling' di Pulau Giam, berbasikal ke Pantai Teluk Nipah, melawat Kota Belanda, jeti penangkapan ikan moden dan kilang memproses makanan laut.

Yuna menggunakan kesempatan yang ada untuk melakukan sendiri aktiviti yang dianggap menyeronokkan di samping merehatkan minda.

Lulusan UiTM Shah Alam dalam ijazah Undang Undang ini ternyata begitu teruja sepanjang mengunjungi Pulau Pangkor dengan pengisian aktiviti termasuklah berpeluang memegang sendiri hasil tangkapan laut seperti udang galah dan ikan pari yang selama ini tidak pernah dicuba olehnya.

Kepada peminat peminat Yuna, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan aksi-aksi menarik percutian Yuna yang dirakamkan dalam rancangan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: