
Gelaran sedemikian diberikan, adakah kerana mereka kagum dengan kemampuan juruterbang negara atau sebaliknya? Jika diimbas semula, Rusia kagum dan memuji keupayaan persembahan hebat yang ditunjukkan juruterbang TUDM ketika mengendalikan pesawat tercanggih dunia itu.
Walaupun baru tiga tahun menerima pesawat buatan Rusia berkenaan, anak tempatan berjaya membuktikan mereka cukup terlatih untuk meluncur di udara dengan pelbagai formasi hebat secara solo.
Gila, berani atau kental bukanlah persoalannya. Mungkin slogan ‘Malaysia Boleh’ yang sering diucapkan ketika pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sudah sebati dalam diri setiap rakyat negara ini.
Kombinasi gerakan tiga dalam satu
Ketika diajukan soalan mengenai ’berani tapi gila’ ini kepada pelopor persembahan aerobatik Sukhoi, Leftenan Kolonel Muhamad Norazlan Aris (TUDM), dengan ketawa kecil beliau mengatakan tidaklah gila seperti dinyatakan kerana perasaan takut masih ada.
”Mungkin kerana terdapat kombinasi pergerakan yang diajar tentera Rusia telah kami kombinasikan menjadi tiga dalam satu secara serentak.
“Contohnya mereka melatih kami membuat gerakan pitch back, yaw, slide, satu persatu tetapi ketika beraksi kami telah mencantumkan ketiga-tiga pergerakan ini menjadi satu yang tidak pernah mereka lakukan,” kata Pegawai Laksana Skuadron No 11 ini dengan senyuman.
Tetapi pergerakan berkenaan jelasnya, telah dilakukan berulang kali di paras yang tinggi dan setelah dipastikan keselamatan pesawat dan juruterbang barulah gerakan itu diaplikasikan.
Menurutnya, setiap pergerakan yang dilakukan perlu menilai kemampuan pesawat dan mengambil kira setiap kemungkinan yang berlaku pasti ada jalan menyelamatkan diri, selain jalan terakhir dengan menarik injet kerusi.
“Kebolehan pesawat tempur berkenaan sebenarnya boleh dilakukan lebih daripada yang diajar, cuma kita masih tidak menemui gerakan lain serta meneroka dengan luas kerana memerlukan masa yang banyak,” kata anak jati Kota Tinggi Johor ini.
Selain digunakan untuk menjaga kedaulatan ruang udara negara, pesawat juang yang mencecah RM190 juta itu turut digunakan sebagai pesawat aerobatik setanding dengan pasukan Thunderbirds dan Red Arrow yang sememangnya diubahsuai untuk pertunjukan udara.
Pertempuran sebenar
Sementara itu, dalam keasyikan menyaksikan formasi-formasi hebat seperti high alfa slow speed dan tale slide, mungkin sebagai rakyat biasa kita hanya melihat pertunjukan itu sekadar aksi buat tontonan pengunjung Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009.
Namun, tidak terfikirkah kita dalam aksi-aksi yang dipersembahkan oleh Skuadron ke-11 Pangkalan Gong Kedak ini sebenarnya turut sesuai diaplikasikan ketika pertempuran sebenar.
Jelasnya, dalam peperangan, kelajuan sesebuah pesawat pejuang bukan tiket buat mereka memenangi peperangan udara, sebaliknya kemahiran bertempur dengan menggunakan pelbagai kemahiran dapat memberi kelebihan kepada juruterbang.
”Penggunaan pesawat juang dalam aerobatik ini boleh mencapai ke tahap maksimum. Secara peribadi, ia menjadi platform bagi menguji kemampuan pesawat dan juruterbang.
”Ketika latihan kita sudah biasa dan tahu kebolehan pesawat di paras tertinggi, namun ketika melakukannya di paras yang lebih rendah, kita perlu lakukan dengan ketepatan dan benar-benar pasti dengan aras dilakukan,” ujarnya yang tidak pernah menganggap dirinya sebagai juruterbang dan lebih senang dianggap sebagai pemandu.
Secara langsung kemahiran dan latihan berulang kali yang dilakukan ini boleh diaplikasikan dalam pertempuran perang sebenar kerana kita sudah mengetahui kebolehan pesawat juang bagi setiap paras.
Seiring de-ngan logo pasukan berlambangkan ular tedung selar dan moto ’Pantas Memintas Lincah Bersabung’, istilah kegilaan tiada dalam kamus mereka. Bagi bapa kepada empat orang cahaya mata ini, setiap pergerakan yang dilakukan mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Keutamaan perlu ada adalah keberanian dan kemahiran ketika menerbangkan pesawat Sukhoi itu yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2007.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: