Friday, December 11, 2009

Beego tidak serik mencari cinta



Kemunculan Beego akhirnya menjawab segala kontroversi yang melanda dirinya selama ini. Tempoh setahun yang diambil untuk menenangkan diri cukup baginya untuk mengembalikan ‘semangat’ bagi menghadapi segala-galanya.

Mengakui sedih dan kecewa dengan kontroversi perkahwinannya, Beego akur untuk mengundur diri seketika bagi menenangkan dirinya. Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta akhirnya putus di tengah jalan. Walaupun tidak mahu lagi mengingati kenangan itu, namun di sebalik kisah itu memberi pengajaran berharga buat bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz ini.

“Saat itu saya rasa dunia saya gelap. Tak tahu apa lagi nak buat. Jadi saya ambil keputusan untuk lari daripada keadaan. Saya berada di Johor tetapi tidak bersama keluarga. Saya bersama kawan-kawan rapat saya. Bukan bermakna saya membelakangkan keluarga, tetapi pada masa itu, saya rasa kawan-kawanlah yang paling dekat dengan saya.

“Saya juga banyak habiskan masa dengan melancong ke luar negara. Rindu untuk berlakon tetapi bila fikir masalah diri, saya ketepikan rasa rindu tu. Bila dah terlalu lama saya lari, sudah tiba masanya saya perlu mengorak langkah. tidak sedar rupanya setahun saya menghilang,” kata pelakon drama bersiri Puteri ini.

Buka buku baru

Tempoh setahun cukup untuknya mengumpul kekuatan diri untuk berdepan dengan semua kenyataan. Tidak mahu mengelak lagi dan Beego sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

“Alhamdulillah, Januari 2009 kes mahkamah selesai dan kami sah sudah bercerai. Saya sudah boleh menerima hakikat itu dan kini semakin sibuk dengan jadual penggambaran drama dan filem. Rupa-rupanya sepanjang saya menghilang tu ada banyak tawaran untuk berlakon.

“Saya berharap ada sinar baru dalam kehidupan saya dan berharap ada kejayaan dalam kerjaya saya. Saya nak minta maaf kepada banyak pihak kerana dalam tempoh bercuti, saya tidak menjawab sebarang panggilan. Maklum saja orang tak keruan. Jadi lebih baik tidak menjawab sebarang panggilan daripada terus mendengar cerita yang mungkin boleh menyakitkan hati.

“Saya nak buka buku baru. Saya nak lupakan kisah duka itu. biarlah orang terus menyalahkan saya, tapi keluarga dan kawan-kawan saya tahu akan kebenaran cerita sebenar. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan penuh terhadap kerjaya saya,” katanya.

Walaupun hatinya luka berdarah, namun Beego mengakui tidak pernah serik untuk bercinta dan berkahwin. Beego yakin ada seorang wanita yang boleh dirinya seadanya begitu juga dirinya.

“Saya memang tak akan serik untuk bercinta dan berkahwin. Tapi bukan pada masa terdekat ini. Macam saya cakap tadi, biarlah saya tumpukan pada kerjaya dulu. Fasal kahwin tu, nanti-nanti saya fikirkan.

“Saya rasa ikatan perkahwinan dan percintaan seseorang itu sudah pun ditentukan. Tarikh dan masanya sahaja tidak diketahui. Tapi saya tetap berdoa agar dipertemukan dengan seseorang yang boleh menerima diri saya seadanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: