Sunday, December 20, 2009

Matang selepas skandal seks


GILLIAN CHUNG


GILLIAN CHUNG, pernah menggemparkan Asia setahun lalu impak tersebarnya gambar-gambar panas dan skandal seks antara dia dan bekas teman lelakinya, aktor kasanova, Edison Chen.

Wanita kelahiran Hong Kong ini, pada waktu itu baru melepasi fasa usia 25 tahun. Akuinya, ketika itu dia masih mentah, sehingga dipergunakan seorang lelaki pun tidak disedarinya.

Berbeza dengan dirinya kini. Tampak lebih yakin, positif dan ceria, pada usia 28 tahun, beritahu anggota kumpulan Twins yang juga seorang pelakon ini, dia sudah menjadi manusia yang jauh lebih matang. Jauh lebih mempunyai banyak pengajaran berbanding wanita seusianya, barangkali.

Itu yang dilontarkan Gillian usai merasmi dan melancarkan produk minuman, Jaz Rush di Restoran & Bistro De Bali di Johor Bahru awal Disember lalu.

"Kehidupan saya sekarang lebih baik berbanding dulu," katanya ringkas.

Setahun lalu, sewaktu gambar panas tersebut tersebar, Gillian menjadi mangsa kasanova Edison yang juga mempunyai koleksi gambar panas dengan beberapa selebriti lain termasuk teman artis Cecilia Cheung dan Bobo Chan.

Walau memohon maaf secara terbuka, namun imej bersih Gillian sepanjang pembabitannya dari tahun 2001 tercalar teruk. Saluran televisyen seperti TVB menerima lebih 500 aduan kurang senang dengan Gillian. Sementara, Hong Kong Broadcasting Authority pula menerima lebih 1,000 rungutan terhadap perbuatannya.

Cuba bunuh diri

Dalam masa yang sama, pelbagai agenda yang membabitkan dirinya dibatalkan - persembahan pentas sehinggalah tawaran berlakon filem, semua dibatalkan gara-gara kontroversi tersebut.

Tertekan dengan situasi yang tidak menyebelahinya, Gillian pernah membuat cubaan membunuh diri. Namun, akhirnya Gillian sedar bahawa dia harus bangkit dan tidak boleh mengalah.

Katanya: "Memang isu skandal seks tersebut adalah perkara terburuk yang pernah berlaku dalam hidup saya. Saya juga tidak mahu mengingatinya lagi.


GILLIAN sudah melupakan tragedi hitam yang pernah melanda dirinya dulu.


"Mujur, banyak yang memberi semangat kepada saya untuk meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih positif. Akhirnya saya bangkit. Sepanjang menyepi, saya aktif mengikuti kelas tarian, seni mempertahankan diri dan saya gembira dengan apa yang saya lakukan."

Seiring peristiwa hitam tersebut, ucap Gillian, dia mula mengenal manusia. Mula mengenal siapa kawan dan siapa lawan.

"Saya banyak belajar tentang erti kehidupan sepanjang setahun lalu. Sepanjang saya tidak aktif dan melakukan hal-hal yang saya suka, saya juga sempat mengenal siapa kawan dan siapa lawan sebenarnya," katanya serius.

Semakin positif dengan kehidupannya, menurut pelakon yang dikenali menerusi filem-filem hebat seperti U Man, Beyond Our Ken, House of Fury dan The Twins Effect, dia mahu mencuba semua hal yang membuat dia gembira. Alasannya hidup ini singkat dan dia tidak mahu terlepas banyak hal yang akan membuatkan hidupnya lebih seronok.

Malah kini, selepas makin diterima baik oleh khalayak, Gillian tidak menoleh ke belakang. Dia yang kembali aktif dalam dunia hiburan mula meraih kembali kepercayaan yang pernah hilang.

Selain dilantik menjadi duta Jaz Rush selama setahun, Gillian bakal muncul dengan sebuah filem selain rancak membikin album mini solonya. Sementara Mac nanti, bersama Twins, dia akan muncul dengan persembahan perdananya selepas lama menyepi.

"Sebab itu saya katakan di awal tadi, kehidupan saya kini semakin baik," tuturnya bahagia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: