Tuesday, December 8, 2009

Masih belum mengandung


AISHWARYA RAI


PASANGAN selebriti popular India, Abhishek Bachchan dan Aishwarya Rai sering kali dibelenggu khabar angin menyatakan mereka bakal menimang cahaya mata memandangkan badan aktres jelita itu dilihat semakin berisi sehingga digosipkan sedang mengandung.

Khabar angin yang dia sedang berbadan dua semakin tersebar luas apatah lagi baru-baru ini Aishwarya dikatakan mahu menghabiskan penggambaran filemnya, Action Replay, Guzaarish, Raavan dan The Robot secepat mungkin.

Namun, Aishwarya menafikan khabar angin tersebut, cuma kali ini Ratu Cantik Dunia 1994 itu memberitahu pada satu majlis di Mumbai, India, selepas lebih dua tahun berkahwin dia kini sudah tidak sabar menjadi ibu.

Selain daripada itu, dia juga berpendapat Abhishek mempunyai kualiti untuk menjadi seorang ayah yang baik.

"Semua orang bertanya sama ada Abhishek akan menjadi ayah yang baik. Rasanya agak kelakar untuk saya menjawab soalan itu. Saya sudah berkahwin dengan lelaki itu. Jadi pastinya saya yakin suami saya akan menjadi ayah yang baik.

"Kami telah lama saling mengenali. Saya pernah melihat dia melayan anak-anak buahnya. Dia begitu baik dengan kanak-kanak. Saya tidak mempunyai sebarang prasangka."

Apabila ditanya mengenai jantina bayi yang diinginkan, Aishwarya berkata, "Apa yang ditakdirkan oleh Tuhan, kami akan menerimanya. Ia tidak terletak pada tangan kami. Saya cuma berharap saya akan berpeluang melalui pengalaman itu tidak lama lagi. Saya tidak sabar untuk menjadi ibu dan akan menghargai detik itu."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: