Tuesday, December 8, 2009

Keguguran pertama bukan bala...Dynas


DYNAS berdebar menanti kehadiran orang baru dalam hidupnya sekitar April tahun depan.


Jika pada bulan April lalu Dynas Mokhtar menerima berita sedih tentang kematian anak sulungnya akibat jantung terhenti ketika di dalam kandungan, bulan April akan datang, pelakon itu bakal menyambut cahaya mata sulungnya bersama suami, Mohd Hafizy Mohd Hafiz.

Ramai yang mungkin terkejut kerana merasakan Dynas baru sahaja keguguran, namun itu rezeki Tuhan. Malah Dynas yang ditemui pada sidang media pertama Anugerah Bintang Popular 2009, baru-baru ini memberitahu bahawa dia sendiri takut apabila mengetahui dirinya mengandung sekali lagi.

"Perasaan pertama yang timbul adalah takut. Ini kerana kami berdua belum merancang apa-apa lagi. Dulu semasa mengandung anak pertama, kami banyak merancang. Tapi kami tidak boleh melawan suratan takdir.

"Benda buruk yang berlaku bukannya satu bala atau perkara negatif. Itu cuma satu ujian untuk menjadikan diri saya lebih tabah dan kuat. Jadi sekarang, saya tidak mahu terlalu tertekan. Saya mahu menikmati prosesnya dan berseronok."

Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar yang kelihatan ceria memakai busana rekaan Norita Harith mengaku perasaan mengandung kali ini amat berbeza dengan yang pertama. Tidak banyak muntah-muntah, Dynas juga kurang selera makan.

"Kandungan saya sudah berusia lima bulan pada minggu lalu. Kali ini, saya mengalami pengalaman yang berbeza. Selain tidak muntah-muntah, saya juga kurang makan. Hanya baru-baru ini sahaja saya mula mempunyai selera makan. Kini makanan kegemaran saya adalah bar coklat Snickers yang mengandungi kacang," jelas aktres kelahiran Petaling Jaya itu.

Memandangkan dirinya mengandung buat kali kedua, Dynas, 26, mendapat perhatian dan nasihat bukan sahaja daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat. Ramai peminatnya turut berkongsi pengalaman dan memberikan kata-kata sokongan di laman sosial Facebook.

Dia amat berterima kasih atas dorongan serta perhatian orang ramai. Dynas juga seorang yang mementingkan amalan pantang walaupun mengakui imej dirinya lebih menjurus kepada orang moden.




"Dari dulu lagi saya mempercayai pantang. Saya sebenarnya seorang yang tradisional. Bukan sahaja pantang orang Melayu, pantang orang Cina dan India juga saya percaya. Cuma kadang-kadang kalau pantang yang tidak relevan atau mengarut, saya tidak akan mengikutnya.

"Macam orang Cina tidak membenarkan orang mengandung berpindah rumah. Saya mengikutnya. Saya juga tidak mahu memikirkan nama atau membeli pakaian dan mainan terlalu awal kerana itu juga satu pantang. Lagipun hadiah untuk anak pertama masih ada banyak lagi," jelasnya yang masih belum mengetahui jantina anaknya.

Masih aktif berlakon

Sedang menjalani proses penggambaran untuk drama komedi Di Bawah Ketiak Isteri musim kedua, Dynas juga memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja. Menariknya, dalam drama itu, dia akan memegang watak sebagai seorang isteri yang tidak mengandung.

"Tiada masalah cuma pada sebelah petang saya perlukan tidur sekejap. Saya sudah memulakan rakaman dua bulan lalu dan kini tinggal tiga episod sahaja lagi. Pihak produksi tahu saya sudah mengandung dan mereka mahu meneruskan lagi drama itu.

"Mungkin nanti saya akan melakonkan watak ibu mengandung. Tapi itu semua belum pasti lagi. Saya juga lebih berhati-hati sekarang. Orang di lokasi penggambaran juga sangat ambil berat terhadap saya. Mereka kelihatan lebih risau daripada saya," katanya mengenai drama itu yang akan ditayang bermula Januari nanti.

Walaupun aktif berlakon, suami Dynas sebenarnya mahu dia berhenti berlakon buat seketika. Namun, Dynas seorang yang sangat aktif. "Semasa saya membuat rawatan susulan di hospital, doktor memberitahu saya supaya tidak berehat sangat.

"Ini kerana, badan saya memang sudah biasa dengan cara hidup yang aktif. Dia takut kalau saya berhenti gerak secara tiba-tiba, badan saya tidak dapat menerimanya.

"Penghujung bulan ini, saya dan suami akan bercuti di Melbourne, Australia selama dua minggu. Jadi kami berpeluang menyaksikan orang Australia meraikan Krismas dan Tahun Baru 2010," ujarnya.


CALON-CALON Anugerah Bintang Popular (belakang dari kiri) Diddy, Aznil dan Ashraf Muslim. (Depan dari kiri) Fouziah, Rozita dan Dynas.


Popular menerusi filem-filem seperti Kayangan, Impak Maksima dan Apa Kata Hati, Dynas juga tidak pasti bila dirinya akan berhenti bekerja sepenuhnya. Tapi dia akan memastikan dirinya pulang ke rumah setiap hari sebelum pukul 12 tengah malam.

Mencecah berat 64 kilogram, Dynas amat mementingkan berat badannya. Katanya, dia memulakan karier sebagai seorang model dan berat badan menjadi satu isu penting baginya. Dia juga tidak dapat berhenti daripada berjalan di atas pentas peragaan walaupun semasa mengandung.

"Seperti yang diketahui ramai, saya memulakan karier sebagai model. Jadi sampai sekarang walaupun mengandung, saya masih menjalankan tugas sebagai model dengan kasut tumit setinggi lima inci. Mungkin ramai yang takut melihat saya memakai kasut setinggi itu tapi saya menyukainya.

"Ini adalah kerja yang saya minat. Kerja saya juga memerlukan saya kelihatan menarik. Jadi lepas pantang selama 100 hari, saya terus pergi gim. Saya mahu mendapatkan semula bentuk badan saya. Namun, hanya sempat sebulan saya bertungkus lumus di gim, saya mendapat tahu saya mengandung semula," senyum Dynas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: