Sunday, December 6, 2009

Woods mahu tinggalkan isteri

Woods berdepan dengan bukan dua tetapi tiga pengakuan wanita simpanannya.


ISTERI WOODS, Elin, yang digambarkan dingin seks oleh suaminya sendiri.


PEMAIN golf nombor satu dunia, Tiger Woods, 33, mungkin tidak terkalahkan di padang golf. Namun, sebagai seorang manusia biasa, beliau sendiri mengakui bukan seorang yang sempurna.

“Saya tidak bebas daripada sebarang kesilapan dan jauh sekali seorang yang sempurna,” ujarnya di dalam blognya di web.tigerwoods.com selepas mengakui beliau telah mengecewakan keluarganya dan bersalah sepenuhnya ke atas segala pencerobohan dalam privasi hidup mereka.

Kenyataan ini dikeluarkan Woods pada 2 Disember lalu setelah beliau terlibat dalam satu kemalangan kecil di depan rumahnya sendiri di Windermere, Florida, Amerika Syarikat pada 27 November lalu. Dalam kejadian itu, Woods cedera ringan dengan kesan calar pada mukanya.

Dua wanita

Terdapat sumber yang mengatakan kemalangan yang merosakkan kenderaan SUV, Cadillac Escalade 2009 itu berpunca daripada pergaduhannya dengan isteri, Elin Nordegren, 29, berikutan pendedahan hubungan sulitnya dengan dua wanita berbeza.

Pendedahan oleh The National Enquirer dua hari sebelum kejadian itu mendakwa Woods mempunyai hubungan sulit dengan pengurus sebuah kelab malam, Rachel Uchitel, 34. Wanita itu bagaimanapun menafikannya. Malah Woods sendiri membalas kenyataan penerbitan itu sebagai palsu, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.


NAMA Rachel Uchitel mencetus pendedahan skandal seks Woods.


Biarpun kedua-dua pihak yang didakwa terlibat dalam skandal itu menafikannya, timbul pula pengakuan daripada pelayan koktel, Jaimee Grubbs, 24, yang mengatakan beliau dan Woods pernah mempunyai hubungan sulit selama dua setengah tahun dan mempunyai bukti rakaman suara dan teks pesanan yang ditinggalkan Woods kepadanya.

Belum pun reda dengan dua gosip itu, Mirror.co.uk pula melaporkan satu lagi pengakuan ‘wanita simpanan’ Woods bahawa lelaki kacukan Cina-Thailand-Afrika-Belanda itu sanggup meninggalkan Elin untuk dirinya.

Kalika Moquin, 27, mengakui Woods telah meluahkan cintanya kepada dirinya. Malah beliau juga mendedahkan Woods akan meninggalkan Elin secepat mungkin untuknya.


JAIMEE GRUBBS sekadar mencari peluang dalam bidang penyiaran.


Handalan golf itu dikatakan terpesona dengan kecantikan penganjur parti itu dalam pertemuan pertama mereka di sebuah kelab malam di Las Vegas.

Selepas bercinta selama enam bulan, Woods memberitahunya bahawa dialah wanita yang dicari selama ini. Woods berjanji akan meninggalkan isterinya yang dikahwini selama lima tahun dan telah melahirkan dua orang anaknya itu.

Seorang teman rapat Moquin berkata: “Bagi Moquin, apa yang mereka lalui bersama ialah sesuatu yang benar. Woods mengakui cintanya kepada Moquin dan cinta itu berbalas. Woods berjanji dia akan meninggalkan Elin secepat yang mungkin jika itu yang Moquin mahukan.”

Bilionair Woods pernah menempah sebuah vila dengan tiga katil di Hotel Bellagio di pinggir Vegas untuk meraikan cinta mereka.


KALIKA MOQUIN mengakui Woods hebat di ranjang.


Vila dengan keluasan 2,400 meter persegi itu dilengkapi sebuah kolam mandi, jakuzi, pusat kecergasan dan sebuah bar.

Teman Moquin itu berkata: “Moquin merupakan pengurus pemasaran di kelab malam The Bank di dalam Bellagio, jadi mereka akan bertemu untuk minum-minum di bar dan selepas Moquin selesai dengan kerjanya, mereka akan naik ke vila Woods.

Woods menghabiskan banyak masa di Las Vegas untuk berada dekat dengan Moquin.

Elin dingin

Teman Moquin itu juga menambah: “Moquin begitu asyik dengan cinta mereka. Katanya, Woods memiliki tubuh yang hebat dan lelaki itu juga hebat di ranjang. Woods pernah menyebut Elin seorang yang sangat dingin dan mereka jarang melakukan hubungan suami isteri.

“Jelas sekali tidak wujud perasaan cinta dalam perkahwinan Woods dan mereka tidak melakukan hubungan intim.”

Woods juga pernah berseloroh mengatakan satu-satunya masa beliau menikmati hubungan intim dengan isterinya ialah apabila mereka memainkan watak berbeza dengan Elin memakai rambut palsu berwarna merah.

“Woods berkata dia sangat terdesak untuk satu perubahan tetapi bimbang akan kehilangan anak-anaknya,” tambah teman Moquin itu.


JAGOAN golf dunia ini khabarnya sedang mencari perubahan hidup.


Moquin memberitahu Woods melalui satu panggilan telefon bahawa beliau tidak akan sesekali mengkhianati cinta mereka dengan mendedahkan perincian perhubungan mereka kepada media.

Teman Moquin itu berkata lagi: “Moquin pernah ditawarkan AS$265,000 (RM900,000) untuk memberitahu apa yang berlaku antara mereka tetapi dia bukan seorang yang memandang wang ringgit.”

Perempuan simpanan Woods yang lain, Uchitel, pernah merancang sebuah sidang media. Beliau bagaimanapun membatalkannya selepas itu dan dikatakan ditawarkan AS$1 juta (RM3.4 juta) supaya mendiamkan diri.

Sementara itu, gambar bogel Grubbs mula tersebar di seluruh Amerika. Dia dikatakan sedang mencari kerjaya dalam bidang penyiaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: