Wednesday, December 9, 2009

Masa untuk berubah


TONGGAK utama filem Wayang iaitu Eman Manan dan Ida Nerina yang membuktikan kehandalan mereka dalam mewarnai filem berkenaan.


SEBETULNYA, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) yang berlangsung Jumaat lalu menyaksikan pertarungan dan persaingan yang cukup sengit dan hebat sekali.

Masakan tidak, melihatkan kepada senarai pencalonan sahaja sudah cukup membuktikan bahawa sebenarnya karyawan seni tanah air tidak pernah ketandusan idea.

Jika ada yang memandang sinis dan berfikiran skeptikal terhadap mereka selama ini, buangkanlah sahaja sifat negatif itu.

Kerana hakikatnya, di sebalik mereka yang mengejar aspek komersial rupanya masih lagi ada filem dan drama yang berpaksikan kepada nilai-nilai artistik yang menjadikan ia sebuah karya yang indah.

Inilah yang terjadi dan sesuatu yang cukup menarik diperkatakan tentang keputusan ASK2009 apabila melihat filem Wayang dijulang dan diangkat sebagai Filem Terbaik.

Selain itu, Wayang yang menerima tujuh pencalonan dalam semua kategori filem itu turut membawa pulang trofi bagi kategori Pengarah Filem Terbaik menerusi Hatta Azad Khan, Eman Manan (Pelakon Lelaki Filem Terbaik) dan Zulhuzaimy (Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik).

Sudah pasti dengan kemenangan empat anugerah itu membuktikan juri telah melihat sesuatu yang cukup istimewa tentang filem Wayang.

Sebelum itu, Wayang dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik bersama empat lagi filem yang juga tidak kurang hebatnya iaitu Budak Kelantan, Kami The Movie, Susuk dan Talentime.

Memang cukup menarik dan mengujakan apabila melihat karya senior bersaing hebat dengan karyawan filem generasi baru yang memiliki ideologi yang cukup berbeza.

Daripada senarai pencalonan itu juga, ia dapat melihat dengan jelas pertembungan ideologi dua zaman dalam menterjemahkan hasil karya mereka ke layar perak.

Berbalik kepada filem Wayang, ada benarnya, ia bukan sebuah filem komersial yang menampilkan muka-muka popular yang mampu menjual dan membawa filem ini menjadi jaguh di panggung.

Malah, sewaktu tayangannya tahun lalu kutipan filem ini sangat menyedihkan dan apa yang lebih parah, ramai yang tidak menyedari kehadiran dan kewujudan filem ini di panggung.

Hikmah di sebalik kejayaan Wayang yang merangkul empat kategori juga barangkali boleh disifatkan sebagai penebus kekecewaan dalam Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) tahun lalu.

Kemenangan Wayang bukanlah bermakna empat filem lain yang berjaya ke peringkat senarai akhir tidak bagus tetapi, Wayang sebenarnya memiliki keistimewaannya tersendiri.

Mungkin ramai yang bertanya apakah istimewanya filem Wayang sehingga ia mencatatkan kejayaan yang besar pada malam ASK2009.

Jawapannya cukup mudah. Wayang merupakan sebuah filem yang memaparkan realiti dan kehidupan sebenar tentang kisah Tok Dalang di Kelantan yang berdepan dengan masalah untuk terus memelihara warisan dan budaya wayang kulit.

Di kala generasi muda hari ini lebih cenderung kepada apa yang ditawarkan di bandar tetapi filem Wayang cuba mengupas keadaan sebenar yang berlaku di sebaliknya.

Lantas, Tok Dalang yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Eman Manan harus mencari jalan untuk terus memelihara budaya itu dan harapan itu dapat dilihatnya menerusi dua orang insan istimewa yang mampu meneruskan legasi seni itu.

Masalah kerapuhan minat terhadap warisan budaya negara ini menjadi intipati utama kepada perjalanan cerita Wayang yang menjadikannya sebagai sebuah karya yang lain daripada yang lain.

Sudah pasti, sub plot filem ini juga turut mengisahkan pergolakan keluarga dan permasalahan yang sering kali menguliti masyarakat Melayu terutama sekali apabila membabitkan tentang seni dan budaya.

Tok Dalang memang cukup kuat dan teguh prinsipnya dalam menjaga warisan wayang kulit tetapi dia sesekali tidak akan tunduk kepada tuntutan daripada mereka yang mahu menjatuhkannya hanya kerana mereka melihat seni itu sebagai satu yang negatif.

Kalau ada yang kata filem Wayang menang besar hanya kerana ia adalah pendekatannya yang berbeza dengan filem-filem lain, rasanya tanggapan itu tidak salah.

Ini kerana jika diamati kepada penerbitan filem di negara ini terutama dalam konteks hari ini, hampir separuh daripadanya akan menerapkan aspek komersial tanpa ada menyelitkan unsur kualiti serta artistik.

Tetapi, Wayang yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memang cukup berani untuk tidak langsung menampilkan aspek komersial dalam filem ini.

Wayang merupakan sebuah naskhah yang begitu dekat dengan masyarakat kita dan maka itu, tidak hairanlah apabila ia diangkat sebagai Filem Terbaik ASK2009.

Kemenangan Wayang juga seharusnya tidak wajar untuk dipertikaikan kerana ia memang menepati kriteria untuk diangkat sebagai sebuah filem terbaik.

Bukan sengaja mahu memuji melangit tentang filem ini kerana apa yang diperkatakan semuanya adalah berdasarkan pengalaman sewaktu menonton filem ini di malam pembukaan FFM21 tahun lalu.

Terselit rasa bangga dengan penghasilan filem seperti ini rupa-rupanya masih lagi ada insan seni yang masih mahu mengambil risiko dengan menerbitkan filem serius seperti ini.

Apa yang cuba dikupaskan oleh Wayang sememangnya cukup menarik kerana jarang sekali filem bercorak drama seperti ini dipertontonkan dan dihasilkan di negara ini.

Mungkin keterlaluan bunyinya, tetapi Wayang juga sebuah filem yang cukup lengkap rencah dari segala aspek baik lakonan, pengarahan mahupun teknikal.

Untungnya juga filem Wayang ini kerana memiliki pemain yang cukup handal dalam bidang lakonan dan sering memberikan kualiti lakonan yang jarang sekali mengecewakan.

Dengan adanya filem seperti Wayang, setidak-tidaknya ia mampu membuka mata masyarakat tempatan khususnya selama ini yang memandang rendah kepada penghasilan filem-filem tempatan.

Jangan melihat pepatah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga menjadikan ia sebagai satu halangan untuk menonton filem tempatan kerana percayalah, bukan semua filem yang dihasilkan itu tidak mempunyai kualiti.

Allahyarham Yasmin Ahmad misalnya, sudah membuktikan semua karyanya berjaya di luar negara dan sudah berkelana jauh di seluruh dunia.

Sudah tiba masanya untuk industri perfileman negara mengalami anjakan paradigma dengan menghasilkan filem-filem berkualiti dan artistik.

Tetapi, bukanlah bermaksud karyawan seni tempatan perlu secara terus-menerus menerbitkan filem serius sahaja.

Tidak salah rasanya jika dalam berpuluh-puluh filem dihasilkan setiap tahun, ada juga filem yang mempunyai kualiti serta nilai artistik dihasilkan bagi memberikan variasi kepada penonton tempatan.

Bukan itu sahaja, tidak semestinya nilai artistik dan kualiti itu terletak pada filem bercorak drama mahupun serius sahaja tetapi ia juga boleh dilakukan menerusi genre lain seperti komedi dan seram untuk menghasilkan sebuah karya yang asli.

Benar, ada kalanya untuk menghasilkan filem seperti ini bukan mudah kerana semua aspek perlu diambil kira terutama sekali dari segi kewangan.

Jangan menjadikan faktor itu sebagai satu alasan kerana jika ia sering dijadikan halangan, maka selama-lamanya ia akan menghalang kita untuk menampilkan sesuatu perubahan demi kebaikan semua pihak.

Jika karyawan seni sendiri bijak untuk menumpahkan kreativiti dalam lingkungan bajet yang ditetapkan, ia masih mampu menjadi sebuah filem yang berkualiti.

Usah lagi menganggap filem-filem bercorak drama dan serius tidak mampu dijual dan tidak mampu memikat selera penonton kerana semuanya datang dari inisiatif karyawan seni itu sendiri.

Kalau siapa yang tidak mahu membuat perubahan, siapa lagi dan persoalannya juga, adakah kita mahu generasi akan datang akan melupakan industri perfileman tanah air?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: