![]() |
| BUKAN sekadar sebuah dokumentari biasa, Michelle mahu mesej yang disampaikan menerusi Among the Great Apes with Michelle Yeoh dapat meninggalkan impak kepada penonton. |
KREDIBILITI dan kehebatan aktres antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak, Datuk Michelle Yeoh memang tidak dapat dinafikan lagi.
Sememangnya Michelle telah meletakkan nama Malaysia di peta perfileman dunia dan mengharumkan nama negara menerusi lakonannya.
Jika tidak kerana filem James Bond yang berjudul Tomorrow Never Dies, rasanya nama Michelle Yeoh tidak akan dikenali seperti mana yang dikecapinya hari ini.
Kerana menerusi filem itulah, namanya terus melonjak ke puncak populariti dan menjadikan Michelle antara bintang Asia yang cukup dikagumi dan dihormati seantero dunia.
Biarpun sudah puluhan filem dibintangi Michelle sejak menjadi pelakon pada pertengahan tahun 80-an, namun pengalamannya melibatkan diri dalam sebuah dokumentari memang benar-benar membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya.
Bukan calang-calang dokumentari kerana hasil karya itu merupakan terbitan anak tempatan sendiri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Lebih membanggakan, dokumentari yang berjudul Among the Great Apes with Michelle Yeoh itu akan ditayangkan di saluran National Geographic (saluran 553, Astro) bermula pukul 9 malam ini.
Dengan penuh jujur, Michelle memberitahu, beliau cukup tertarik dengan idea dokumentari ini yang disifatkannya berbeza dengan penghasilan dokumentari yang lain.
Seniwati itu berkata, beliau tidak akan sesekali terlibat dengan dokumentari yang hanya akan menggunakan khidmatnya sebagai hos dan menerangkan tentang intipati rancangan itu.
"Bagi saya, kalau mahu melibatkan diri, biarlah ia dengan sepenuh hati kerana saya tidak mahu hanya menutur beberapa baris ayat di awalan dan akhiran tetapi tidak berupaya menyampaikan maklumat kepada penonton.
"Saya mahu melibatkan diri secara total dan itu yang saya lakukan untuk dokumentari ini kerana ia memaparkan apa yang saya ingin lakukan demi alam sekitar untuk tatapan masa depan," ujarnya penuh bersungguh sewaktu sesi temuramah dengan pihak media tempatan baru-baru ini.
Secara ringkas, Among the Great Apes with Michelle Yeoh merupakan paparan yang menayangkan perjalanan Michelle sewaktu menyelusuri hutan pedalaman Sabah bagi melihat sendiri habitat semula jadi kehidupan orang utan di negeri di bawah bayu itu.
Bukan itu sahaja, dokumentari ini juga turut memaparkan aktiviti Michelle sewaktu berkunjung ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sabah.
Antara aktiviti yang dilakukan oleh Michelle sewaktu di sana ialah memandikan dan menyusukan anak orang utan serta melihat sendrii bagaimana doktor yang bertugas di sana merawat serta menjaga orang utan.
Jelas Michelle, semuanya bermula dengan idea oleh dua orang pembikin filem dokumentari iaitu Lara dan Harun yang mahu menerbitkan sebuah dokumentari berkisar tentang kehidupan orang utan di Sabah.
Ketika idea itu dicetuskan, mereka mahukan Michelle untuk menjadi tunjang utama kepada dokumentari itu dan pada waktu itu juga, Lara dan Harun masih belum lagi bertemu dan meluahkan hasrat mereka kepada Michelle.
Kemudian, selepas mereka memenangi sebuah pertandingan dokumentari dengan idea yang sama, kata Michelle mereka datang dan mengemukakan idea tersebut kepadanya.
"Dalam hal ini, saya memang kagum dan harus mengucapkan tahniah kepada Finas dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kerana memberi peluang kepada pembikin dokumentari tempatan untuk menzahirkan karya mereka.
Mampu membuka mata
Satu yang pasti, kata pemenang Miss Malaysia 1983 ini lagi, penerbitan dokumentari ini memang telah membuka matanya tentang betapa pentingnya untuk masyarakat dunia memelihara serta memulihara alam sekitar.
Berpeluang mendekati dan menghabiskan masa dengan orang utan terutama anak-anak mereka yang masih kecil membuatkan hati nurani Michelle tersentuh.
"Apabila merenung mata mereka, saya dapat merasa apa yang mereka kerana mereka memiliki sepasang mata yang sama seperti manusia sekali gus membuktikan bahawa mereka sebenarnya ada persamaan seperti manusia.
"Memang sedih apabila mengenangkan habitat semula jadi mereka semakin terancam dan mereka sepatutnya dibiarkan hidup secara semula jadi di dalam hutan kerana di situlah kehidupan sebenar mereka.
"Apa yang saya harapkan menerusi dokumentari ini adalah ia mampu membuka mata semua pihak agar dapat melihat sendiri bagaimana makhluk Tuhan ini berdepan dengan masalah yang dicipta oleh manusia sendiri," ujarnya yang turut menonton filem Gorillas in the Mist: The Story of Dian Fossey untuk mendapatkan gambaran sebenar sebelum menjalani penggambaran.
Michelle juga turut bercerita tentang bagaimana dia tersentuh melihat dua orang doktor yang berkhidmat di pusat pemuliharaan itu iaitu Dr. Cecilia dan Dr. Sen yang begitu rapat dengan orang utan di sana.
Katanya, kedua-dua doktor itu sudah seperti ibu bapa kepada orang-orang utan tersebut khususnya kepada bayi yang kematian ibu bapa mereka.
"Sungguh kagum melihat usaha mereka yang cuba untuk membentuk anak orang utan tersebut agar mereka dapat membiasakan diri untuk tinggal semula di hutan.
"Dalam dokumentari ini, penonton juga akan dapat melihat bagaimana emosi yang tercetus saat kedua-dua doktor itu harus mengucapkan selamat tinggal kepada anak orang utan itu.
"Saya kira ia merupakan saat yang paling menyedihkan sewaktu menjalani penggambaran dokumentari ini," ujar Michelle yang juga pernah membintangi filem-filem hebat seperti The Soong Sisters, Crouching Tiger, Hidden Dragon serta Memoirs of a Geisha.
Sewaktu di sana juga, Michelle dengan penuh bangga memberitahu, dia sempat mengambil dua ekor anak orang utan sebagai 'anak angkat' yang bernama Sen dan Michelle.
Jelasnya, seboleh-bolehnya dia mahu mengambil semua orang utan sebagai anak angkatnya tetapi pusat itu hanya membenarkannya untuk mengambil dua ekor sahaja.
"Sudah pasti, selepas ini saya akan kembali untuk menjenguk mereka dan membawa rakan-rakan saya yang lain bagi mereka merasai pengalaman sendiri.
"Bukan itu sahaja, saya juga seboleh-bolehnya mahu terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah bagi memikirkan pendekatan serta projek yang lain," ujarnya dalam nada suara yang cukup bersemangat.
Saat ditanya kepada Michelle tentang peranannya sebagai seorang artis untuk melibatkan diri dalam dokumentari seperti ini, katanya ia merupakan momen terbaik untuk menjadi lebih dekat kepada masyarakat.
Semuanya berdasarkan pengalamannya sendiri apabila diberitahu sendiri oleh Menteri Pengangkutan Rusia, Igor Yevgenyevich Levitin sewaktu menjalankan kempen keselamatan jalan raya di Moscow, baru-baru ini.
"Jika orang biasa mahupun ahli politik, impak itu mungkin tidak sebesar seperti mana yang terhasil jika seorang artis atau selebriti yang melakukannya.
Bangga
"Jadi apabila adanya golongan terkenal seperti kami terlibat dalam kegiatan seperti ini, mesejnya mudah sampai dan diterima dengan baik.
"Kerana itu, saya bangga apabila dapat terlibat dengan projek seperti ini dan sudah pasti saya tidak teragak-agak untuk melakukannya sekali lagi seandainya diberi peluang," ujar Michelle penuh mengharap.
Menyentuh soal kerjaya seni dan perkembangan terbarunya, Michelle menjelaskan dia akan sibuk dengan pelbagai agenda sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya dan sepanjang tahun 2010.
Buat masa ini, dia sibuk di lokasi penggambaran filem terbarunya, Jiang Yu Jiang Wu yang menggandingkan dirinya dengan pelakon kacak kelahiran Korea, Jung Woo Sung.
Pada masa yang sama, dia turut meneliti beberapa tawaran filem berbahasa Inggeris dan jika semuanya berjalan lancar, dia akan turun ke lokasi tahun depan.
Sementara menantikan filem terbarunya itu siap, Michelle terlebih dahulu akan muncul dengan filem True Legend yang dijangka tayangannya pada Tahun Baru Cina nanti.
Menariknya juga, Michelle turut mendapat perhatian label jenama mewah terkemuka, Louis Vuitton (LV) yang menggunakan kreativitinya bagi mereka bentuk butik terbaru mereka di Singapura.
"Penglibatan saya dengan LV hanyalah sekadar mahu menumpahkan kreativiti saya dan menganggap ia sebagai satu penghormatan.
"Pastinya, ia bukanlah satu anjakan dalam karier seni saya," katanya sambil memberitahu dia bahagia mengecapi fasa indah dalam hidupnya bersama tunangnya, Datuk Seri Jean Todt dan akan mendirikan rumah tangga bila tiba masanya nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: