Wednesday, December 9, 2009

Hannah ajak berhibur, beramal


Hannah (lima dari kanan) bersama barisan artis yang bakal membuat persembahan pada konsert amal yang bakal berlangsung di Hotel The Garden, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 20 Disember ini.


WANITA berdarah kacukan Cina dan Kelabit ini ternyata sudah tidak asing lagi di kalangan peminat seni hiburan tempatan terutamanya di kalangan masyarakat Cina.

Si jelita berusia 28 tahun itu mula dikenali selepas berjaya memenangi tempat ketiga pertandingan Miss Global Petite International World Final 2002/2003 yang berlangsung di Montreal, Kanada.

Daripada seorang model, pemilik nama sebenar Hannah Sarah Tan ini mula berjinak-jinak di bidang pengacaraan.

Ternyata tidak kekok mengendalikan rancangan televisyen pengalaman demi pengalaman ditimba oleh gadis yang berasal dari Pulau Mutiara ini sementelah dirinya semakin mesra mengendalikan pelbagai rancangan di kaca televisyen.

Antara rancangan-rancangan yang pernah dikendalikannya termasuklah Ringgit Sense (TV3), Motorsports@Petronas (Astro Super Sport), What Women Want (8TV) serta Girl' Club dan Looking Good Feeling Good di ntv7.

Tidak mahu kerjaya seninya hanya terbatas landasan yang sama, dengan nama Hannah T, dia mula melebarkan sayapnya sebagai penyanyi.

Album berbahasa Inggeris pertamanya sekitar tahun 2005, Crossing Bridges mendapat kerjasama daripada pencipta lagu antarabangsa, Jorgon Elofsson, Phil Thornally, Andrew Fromm dan Chris Rojas yang memuatkan single hit, In Between.

Bukan itu sahaja, di bidang nyanyian Hannah turut menghasilkan sebuah album Krismas, Timeless Christmas.

Dalam sibuk menjalani pelbagai aktiviti seni, dia yang muncul buat pertama kalinya dalam drama Melayu, Bezanya Cinta arahan Zulkifli M. Osman pada Januari 2008 seboleh mungkin tidak mahu mengabaikan peranan dan tanggungjawab sosialnya.

Terbaru, Hannah mengajak peminatnya berhibur sambil beramal pada konsert khas sempena perayaan Krismas yang bakal berlangsung di ballroom, Hotel The Garden, Mid Valley, Kuala Lumpur bermula pukul 4 petang pada 20 Disember ini.

Tidak seperti konsert lain, menariknya konsert terbuka itu hanya memerlukan setiap penonton yang hadir membawa hadiah untuk sebarang nilai sebagai tebusan tiket bagi menyaksikan konsert tersebut.

Hadiah-hadiah yang dibawa akan dikumpul dan diagih-agihkan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik daripada lima badan kebajikan sekitar ibu kota oleh badan bebas, City Care.

Pada sidang media yang diadakan di Biz Cafe, Mont Kiara Solaris, Kuala Lumpur baru-baru ini, kata Hannah, fokus utama kandungan konsert tersebut adalah memberi dan berkongsi.

"Secara tidak langsung menerusi konsert ini kita memberi ruang dan kasih sayang kepada kanak-kanak yang tiada kesempatan meraikan Krismas bersama keluarga mereka.

"Memberi hadiah adalah sebagai tanda kasih sayang terhadap mereka.

"Melalui konsert sebegini, kita juga berpeluang berkongsi semangat perpaduan 1Malaysia antara kaum untuk turut sama hadir memeriah dan meraikannya," kata Hannah.

Lebih 17 artis dan selebriti terkenal dijangka terlibat memeriahkan konsert tersebut.

Mereka termasuklah Harith Iskandar, Hans Isaac, Dephne Iking, Jojo Struys, Reefa, Sasi The Don, Meet Uncle Hussein, Reymee dan Sam Innuendo, The Fabulous Cat, Caprice, Atilia dan Dennis Lau.

Harapan Hannah, pada konsert yang diilham olehnya itu sekurang-kurangnya sebanyak 500 hadiah bakal dikumpulkan pada hari tersebut.

"Melihat kepada budaya dan cara hidup masyarakat kini yang terlalu sibuk, membuatkan mereka tiada masa untuk berkunjung ke rumah-rumah kebajikan untuk menyumbang dan sama-sama beramal.

"Muzik dilihat sebagai medium terbaik untuk menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda.

"Secara peribadi saya rasa bertuah melibatkan diri untuk konsert amal seperti ini. Saya rasa seronok biarpun tiada sebarang bayaran," kata pelakon yang membintangi filem My Spy yang kini ditayangkan di pawagam.

Tambah Hannah hadiah-hadiah yang dibawa perlulah dikhususkan untuk kanak-kanak dalam lingkungan usia antara lima hingga 15 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: