Wednesday, December 16, 2009

Mahu kikis imej 'anak emak'




PADA 14 Disember lalu genaplah 21 tahun usia penyanyi dan pelakon Gadaffi Ismail Sabri atau dikenali sebagai Dafi. Namun bagi jejaka kacak ini, angka 21 yang sering dikatakan sebagai kunci kebebasan bukanlah perkara yang diidamkan.

Bukan sahaja Dafi masih melaporkan diri setiap hari kepada ibu bapanya walaupun hampir tiga tahun bergelar selebriti, bahkan setiap perkara yang ingin dilakukan harus mendapat restu keluarganya terlebih dahulu seperti mana yang dipraktik sejak zaman persekolahan.

Meskipun begitu, tiada istilah anak manja buat Dafi kerana selain Dafi, ibu bapanya juga harus memberi perhatian kepada kakak dan dua adiknya.

"Erti usia 21 bukanlah mendapat kunci kebebasan sebab selama ini ibu bapa memang memberi kebebasan dan tidak pernah mengongkong saya untuk memilih apa saja yang ingin saya lakukan seperti bidang yang diceburi, pergaulan bersama rakan-rakan dan apa yang saya sasarkan untuk masa depan.

"Semuanya terpulang pada saya. Cuma pesan bapa walau apa yang saya lakukan saya harus bersungguh-sungguh baru nampak hasilnya," katanya yang ditemui pada sambutan hari lahirnya Sabtu lalu di Tropicana Golf & Country Resort.

Tambahnya lagi, apabila usia menginjak ke angka 21, satu perubahan besar yang bakal terjadi pada dirinya. Dia bukan lagi budak hingusan yang baru mencari tapak dalam industri seni sebaliknya Dafi kini harus mengukuhkan lagi kepercayaan peminat dan orang ramai terhadap bakatnya. Imej keanak-anakan juga mahu dibuat jauh, seiring dengan usia yang semakin matang.

"Saya harus lebih maju ke depan dan menambahkan kebolehan dan kemahiran diri. Kalau dulu setakat menyanyi, mungkin saya akan mula mencipta lagu. Buat lagu bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain," tuturnya yang bakal menerima Diploma tamat pengajian daripada Universiti Limkokwing pada 19 Disember ini.

Jika sebelum ini jadual waktunya padat dengan kuliah dan hanya boleh melakukan aktiviti seni pada hujung minggu, nampaknya selepas memperoleh diploma, langkah Dafi lebih panjang.

"Lepas ini saya boleh fokus pada kerjaya seni dan tidak perlu bimbang pertembungan waktu persembahan pentas atau penggambaran dengan waktu kuliah. Kiranya saya lebih bebas untuk bekerja.

"Saya akan tingkatkan diri kerana banyak benda yang saya ingin belajar dan kejar dalam bidang seni bukan sekadar menyanyi dan berlakon sahaja," ungkapnya serius.


ISMAIL SABRI dan isteri memberikan sepenuh sokongan kepada anak bujangnya, Dafi untuk terus aktif dalam dunia seni.


Bercerita soal jodoh, kata Dafi masih terlalu jauh buatnya meskipun pernah merancang untuk berkahwin pada usia 27 tahun sebelum ini tetapi kini sasarannya menjangkau sehingga angka 30.

"Saya pernah cakap nak kahwin pada umur 27 tetapi sekarang ini berubah sikit. Selewat-lewatnya saya akan berkahwin pada usia 30 tahun.

"Keluarga seperti yang mereka cakap, tidak pernah menghalang atau menentukan siapa jodoh saya. Saya tidak suka jika perkahwinan di aturkan oleh keluarga.

"Mereka menyerahkan semuanya kepada saya untuk memilih. Pastinya saya ingin gadis yang baik tetapi sekarang kekasih pun tiada lagi, saya hanya fokus pada kerjaya sahaja buat masa ini," ucapnya.

Dafi masih orang yang sama

Apabila berbicara dengan bapa Dafi yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang turut hadir pada majlis tersebut bersama isterinya Datin Muhaini Zainal Abidin, tiada lain yang diharapkan buat anaknya itu selain kejayaan.

Meskipun pernah mengharapkan Dafi bergelar seorang peguam sama seperti kerjaya profesionalnya sebelum ini, Ismail akur dengan minat mendalam anak keduanya itu terhadap dunia seni.

"Walaupun dia memilih untuk menjadi selebriti, dia tetap anak saya, tetap Dafi yang sama. Itu tidak akan berubah. Saya juga masih menjadi tempat rujukannya dalam setiap perkara yang ingin dilakukan.

"Bukan mengongkong, walaupun dia mempunyai duit sendiri saya masih bapanya dan tanggungjawab itu harus dipenuhi walau sibuk dengan tugas sebagai ahli politik," katanya.

Tegas bapanya lagi, situasi dirinya dengan anaknya itu sama sahaja cuma lapangan kerjaya mereka yang berbeza. Mereka berdua menjadi perhatian masyarakat kerana itu, Ismail masak benar dengan tekanan dan gosip yang melanda anak bujangnya itu.

"Saya tahu bukan mudah kalau diri menjadi milik masyarakat, ada sahaja cerita negatif dan gosip sana sini. Saya juga alaminya, cuma Dafi lebih pada hiburan dan saya dalam bidang politik. Asalkan benda itu tidak betul, saya dan keluarga tidak kisah," luahnya.


MAJLIS sambutan ulang tahun ke-21 Dafi baru-baru ini turut menyaksikan paduan suara penyanyi itu dengan adik lelakinya, Nashriq (kiri).


Disebabkan kerjaya bapa dan anak menjadi perhatian kata Ismail, perkara utama yang paling disyaratkan buat Dafi ialah menjaga nama baik keluarga mereka.

"Apa yang saya dan Dafi buat akan dipandang orang tidak kiralah baik dan buruk. Kalau saya buat perkara yang kurang baik, Dafi akan terkena tempiasnya begitu juga kalau dia melakukan perkara yang sama.

"Kelakuan, tutur kata semuanya harus dijaga. Sampai hari ini jika Dafi balik lewat dari pukul 12 malam dia akan hubungi saya beritahu apa yang terjadi walaupun dia tengah bekerja. Begitu juga jika dia terlibat dengan persembahan pentas di luar Kuala Lumpur, saya harus tahu setiap perkara yang dilakukan," tegas bapa kepada empat orang anak ini.

Mengharapkan tahun 2010 buat Dafi lebih cemerlang sebagai seorang insan seni, namun jauh di sudut hatinya, Ismail sedar anaknya tidak akan menjadi seorang penyanyi buat selama-lamanya.

Populariti serta trend penyanyi akan berubah-ubah mengikut peredaran masa. Suatu hari, tempat Dafi bakal diganti dengan penyanyi lain, oleh kerana itu Ismail membekalkan Dafi dengan ilmu di dada supaya tidak terkapai-kapai dikemudian hari.

"Muzik yang dibawa Dafi popular sekarang dan sesuai dengannya. Bayangkan lagi 20 ke 30 tahun mampukah Dafi menari dan menyanyi seperti sekarang? Jawapannya sememangnya tidak.

"Sebab itu saya pastikan dia habiskan pelajarannya supaya pada masa depan dia mampu bekerja dalam bidang seni sebagai seorang penggerak seperti komposer atau pun orang di belakang tabir pembikinan muzik," ujarnya yang cukup berbangga dengan pencapaian Dafi hari ini.


DAFI turut menerima kejutan dengan kehadiran rakan-rakan pelakon filem Sayang U Can Dance seperti Carmen Soo dan Sharifah Amani.


Majlis sambutan hari lahir penyanyi yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Kita Berpisah ciptaan Edry serta sebuah drama muzikal itu diselubungi tema lagu dalam filem, oleh kerana itu Dafi mengambil kesempatan menyarungkan pakaian ala-ala Michael Jackson.

Malah, tetamu yang hadir pada majlis hari lahir yang ketiga anjuran Dafi Fan Club itu turut memakai pakaian mengikut tema hitam putih.

Selain Sharifah Amani dan Carmen Soo penyanyi Noryn Aziz juga hadir membuat kejutan dengan menyanyikan lagu hari lahir sambil membawa kek ulang tahun buat Dafi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: