Saturday, December 19, 2009

Lalok gam, bakar rumah nenek

KUALA KEDAH - Kesan ketagihan menghidu gam, seorang pemuda yang gagal mengawal emosi bertindak membakar rumah neneknya sendiri di Kampung Sematang Bogak dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, hampir semua barang milik neneknya, Asiah Puteh, 72, termasuk wang tunai RM1,500 untuk kegunaan perbelanjaan harian hangus terbakar.

Kosmo! difahamkan, pemuda itu mengalami masalah emosi kesan daripada menghidu gam menyebabkan dia sering bercakap dan ketawa seorang diri ketika bersendirian.

Menurut Asiah, walaupun cucunya itu mengalami masalah emosi namun, beliau menyifatkan cucunya itu sebagai seorang yang baik kerana sejak duduk bersamanya sebulan lalu, dia rajin membantunya.

"Jika tiba masanya dia lupa diri, dia akan lakukan perkara yang pelik-pelik termasuklah bercakap seorang diri dan kemudian ketawa sekuat-kuat hati.

"Pada hari-hari biasa, jika saya pergi ke bendang, dia akan kemas rumah dan basuh pinggan mangkuk," ceritanya.

Menceritakan detik kejadian, Asiah menambah, dia yang sedang nyenyak tidur di bahagian bawah rumah terkejut apabila cucunya itu tiba-tiba mengejutkannya lalu mengheretnya keluar dan membawa ke rumah adiknya yang terletak bersebelahan.

"Ketika dikejutkan saya terasa panas dan terpinga-pinga namun tak mampu berbuat apa-apa kerana cucu saya itu terus mengheret keluar ke tempat selamat.

"Saya cuba juga menyelamatkan barang-barang tapi dia tak bagi sebab bimbang dengan keselamatan saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: