Sunday, December 20, 2009

Kuza bukan janda!



Ramai yang keliru dengan status sebenar dramatis jelita, Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih dikenali dengan gelaran Kuza, kerana sehingga kini ada saja spekulasi yang tidak enak dilemparkan pada dirinya. Paling ketara, aktres yang berusia 36 tahun ini dikatakan sering menjalinkan hubungan cinta dengan orang kenamaan (VIP). Hakikatnya, Kuza sudah berrumah tangga dengan seorang usahawan, Ramyus Sidique, 40, sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tahu ramai yang kurang pasti dengan status saya. Ramai yang ingat saya masih janda. Malah saya pernah terbaca gosip saya dengan VIP, sedangkan orang itu adalah suami saya. Sebenarnya, saya dah kahwin beberapa tahun lalu dan ini merupakan perkahwinan kami yang ketiga. Bukannya saya nak sembunyikan perkahwinan ini, cuma saya tak nak terlalu menghebahkannya kerana risau kalau terlalu asyik bercerita nanti tak jadi pula. Tapi, seingat saya, cerita perkahwinan saya ada tersiar di akhbar dan mungkin orang tak berapa perasan sebab majlis sederhana sahaja.

“Selain itu ada juga desas-desus yang mendakwa saya isteri kedua. Tapi terus-terang, saya bukanlah isteri kedua atau bermadu dengan sesiapa kerana sayalah satu-satunya isteri dia. Saya tidak ambil hati dengan apa yang berlaku, tetapi saya khuatir juga jika ia akan memudaratkan hubungan kami suami isteri. Apa pun saya bersyukur kerana suami sangat memahami dan saya berharap sangat agar semua spekulasi yang tidak berasas itu dihentikan,” pinta Kuza ketika ditemui pada pelancaran drama Aliff Firdaus di Padi House, Kuala Lumpur.

Bahagia dengan suami dan anak-anak tiri

Kuza berkata, dia juga semakin bahagia dengan perkahwinan ketiganya itu. Walaupun dia dan suami pernah gagal dengan perkahwinan dulu, namun ia tidak menghalang mereka untuk meneruskan kehidupan berumah tangga. Malah kehadiran anak-anak tiri dari hasil perkahwinan dulu tidak menghalang untuk mereka hidup bahagia.

“Banyak hati yang perlu dijaga, apatah lagi kami mempunyai anak hasil perkahwinan dulu. Suami mempunyai lima anak dan saya pula ada tiga anak. Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak menghadapi masalah dengan anak-anak tiri. Sejak awal perkahwinan lagi, saya melayan mereka seperti anak-anak saya sendiri.

“Saya tidak pernah bezakan kasih sayang antara anak-anak, semuanya saya layan sama rata. Insya-Allah tahun depan, dua orang anak tiri akan tinggal bersama saya. Saya dan suami berusaha memberikan yang terbaik untuk anak-anak kami,” kata Kuza yang enggan pula mendedahkan nama anak-anak mereka.

Hasilkan produk kesihatan

Kuza berkata, dia kini sibuk menguruskan syarikatnya, Universal Herbs Sdn Bhd. Selepas menjadi duta produk pati halia sedikit masa lalu, dia mendapat ilham menghasilkan produk berasaskan halia dan mengakui herba ini banyak khasiat.

Untuk peringkat awal, Kuza akan memperkenalkan kapsul pati halia dan losyen halia yang bukan sahaja dapat melangsingkan tubuh malah amat baik untuk menjaga kesihatan terutama membuang angin dan toksik dalam badan.

“Sepanjang menjadi duta produk berasas halia dulu, saya dapati halia banyak kebaikan dan berkesan untuk menurunkan berat badan. Saya kemudiannya mendapat idea menghasilkan formula berasaskan halia.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, produk ini akan berada di pasaran pertengahan Januari 2010. Saya mahu fokus produk kesihatan dulu sebelum menghasilkan rangkaian penjagaan kulit pada masa hadapan,” katanya.

Beralih kepada karier seninya pula, katanya, dia kini semakin kurang mendapat tawaran lakonan kerana lebih selektif memilih watak selain mahu menumpu perhatian perniagaannya.

“Saya dah lama berlakon, kerana kebanyakan watak yang ditawarkan sama saja. Sekarang, baru saya terima tawaran untuk membintangi drama 26 episod, Aliff Firdaus yang kini disiarkan di TV3. Saya terima tawaran ni kerana merasakan wataknya ada kelainan. Dalam drama ini saya melakonkan watak Andak, pensyarah muda juga anak kepada pesawah.

“Walaupun hidup dalam kemewahan di bandar namun jiwanya tidak pernah tenteram. Konflik semakin meruncing apabila Andak menjalin hubungan dengan abang iparnya sendiri dan inilah watak yang saya idamkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: