JAM di tangan baru menunjukkan pukul 8 pagi, tiga orang bintang Akademi Fantasia (AF) ini sebenarnya sudah lebih setengah jam terpacak di Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor.
Hadir untuk kempen Jom Hijaukan Malaysia dengan menanam lebih 1,500 batang pokok bersama 200 pelajar sekolah dari sekitar Lembah Klang, sebenarnya mereka antara orang paling awal berada di tempat itu.
Begitulah bersemangatnya Dafi, Mila dan Marsha yang juga merupakan antara bintang utama menyumbangkan suara untuk untuk filem muzikal High School Musical (HSM) yang dialih bahasa ke versi bahasa Malaysia.
Menjadi penyumbang suara sejak musim pertama HSM lagi, keserasian tiga bintang ini membuatkan pihak Disney tidak teragak-agak untuk meneruskan khidmat mereka untuk HSM musim ketiga. HSM3 yang telah pun selesai menjalani alih bahasa ke bahasa Malaysia baru-baru ini akan ke udara di saluran Disney 615 di Astro pada pukul 7.30 malam Sabtu ini.
Setia menunggu pelajar sekolah yang hanya tiba sekitar pukul 9 pagi, matahari yang mula memancar terik di Paya Indah Wetland tidak menghalang Dafi, Mila dan Marsha untuk mengetuai pelajar menanam pokok.
Biarpun masing-masing dibasahi peluh, misi menanam 1,500 batang pokok tetap perlu diselesaikan. Selepas lebih satu setengah jam, akhirnya misi hijau bintang AF bersama pelajar terbabit berjaya disudahkan.
Mila tidak iri hati
Ditemui selepas itu, Mila mengakui seronok diberi peluang menyumbangkan tenaga menghijaukan bumi dan menimbulkan kesedaran penjagaan alam sekitar di kalangan generasi muda.
"Selalunya menyanyi sahaja tentunya sesekali bersama pelajar sekolah ini sangat menyeronokkan. Apatah lagi, kalau di rumah pun, kita tidak banyak masa atau peluang untuk menanam pokok, sudah tentu program Jom Hijaukan Malaysia ini sangat baik sekali," katanya.
Memegang watak Gabrielle untuk alih bahasa HSM, Mila berterima kasih kerana terus diberi kepercayaan oleh Disney untuk terlibat dengan filem yang menjadi fenomena di kalangan remaja dan kanak-kanak di seluruh dunia itu.
Selain sibuk dengan proses alih suara filem itu baru-baru ini, Mila juga baru sahaja selesai dengan persembahan separuh akhir Muzik-Muzik ke-24 baru-baru ini yang sekali lagi menyaksikan Mila gagal menjejakkan kaki ke anugerah berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
Malah, ada suara-suara bertanyakan tidakkah Mila kecewa atau berjauh hati memandangkan beberapa juniornya dalam AF sudah pun merasai debaran berada di pentas AJL seperti Akim, Hafiz dan Stacy.
Ujar gadis berusia 21 tahun itu, AJL ialah sebuah pertandingan yang mempertaruhkan lagu dan mungkin lagu-lagu yang dibawakannya belum cukup bagus untuk berada di pentas AJL.
Kerana itu juga tambah Mila, tidak timbul perasaan kecewa atau iri hati dalam dirinya apabila melihat junior-junior AF yang lain sudah pun atau bakal merasai pengalaman bersaing dalam pertandingan yang sememangnya ingin disertai oleh kebanyakan penyanyi.
"Dari mula lagi kami saling menyokong dan memang jujur Mila katakan tidak langsung terlintas perasaan iri hati melihat junior lain yang berjaya. Memang sedih jugalah sebab ini sudah percubaan kali kedua Mila, tapi ini pertandingan lagu dan bukannya nyanyian," ujar Mila yang kini sibuk berlakon dalam drama bersiri Kau dan Aku di Astro Ria.
Dafi tidak sebumbung dengan Acha
Baru sahaja tamat peperiksaan semester terakhir di Univseriti Lim Kok Wing tiga minggu lalu, bagi penyanyi berwajah comel, Dafi, beliau kini kembali menumpukan 100 peratus masanya dalam bidang seni.
"Syukur sebab selama ini terpaksa berbahagi masa antara nyanyian, lakonan dan belajar. Sekarang Dafi sudah berjaya mencapai cita-cita Dafi untuk menjadi seorang artis yang berilmu," ujar Dafi sambil memberitahu setiap semester beliau mendapat purata nilai gred kumulatif lebih daripada 3.0.
Dalam keseronokan bercerita mengenai keseronokan bergelar siswa, kisah aktres jelita yang pernah dikaitkan bercinta dengannya, Acha Septriasa tetap menjadi topik perbualan.
Akui Dafi, dia kini tidak lagi sebumbung dengan Acha. Namun, makna tidak sebumbung itulah bukanlah bermakna Dafi mengaku bahawa sebelum ini dia pernah bercinta dengan Acha.
"Dulu kami belajar di universiti yang sama tetapi sekarang oleh kerana Dafi sudah pun tamat pengajian, jadi maknanya kami sudah tidak lagi sebumbung. Tak silap Dafi, Acha masih ada beberapa semester lagi di Lim Kok Wing," katanya yang sehingga kini menganggap gosip cintanya dengan Acha sangat pelik walaupun mengakui beliau sememangnya menyimpan gambar pelakon filem My Heart itu di dalam telefon bimbitnya.
Enggan terlalu terikut-ikut dengan gosip percintaan, Dafi kini sebenarnya bakal mengikuti kelas vokal dengan guru vokal profesional tidak lama lagi.
Ujar Dafi sebelum ini dia banyak berlatih vokal sendiri, tetapi dengan kelapangan masa yang ada dia berhasrat belajar vokal secara serius apatah lagi dia mendapat pelbagai respons daripada peminat mengenai kualiti vokalnya.
"Saya belum lagi memilih siapa guru vokal tersebut mungkin seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau juga Cikgu Syafi," ujar Dafi yang selepas ini bakal sibuk dengan rakaman single baru dan berlakon dalam sebuah drama muzikal yang diterbitkan KRU.
Yang Terbaik bagi Marsha
Menyifatkan kesungguhan menanam pokok biarpun mengotorkan tangan dan baju selain terpaksa membiarkan kasut berselut dengan tanah merah sebagai tidak sia-sia kerana bagi Marsha apa yang lebih bermakna untuknya adalah memberikan pendidikan kepada generasi muda tentang pentingnya menjaga alam sekitar.
|
|
Ujar beliau, menanam lebih banyak pokok hijau adalah antara perkara yang terbaik untuk memastikan bumi terus terpelihara daripada pemanasan global yang semakin membimbangkan.
Sesuai dengan tajuk single terbarunya Yang Terbaik yang semakin hangat dimain di corong radio, ujar Marsha lagu tersebut sangat bererti baginya kerana mempunyai susunan muzik berkonsepkan country.
"Syukur lagu itu semakin diterima ramai mungkin sebab istimewanya ia mempunyai elemen-elemen seperti lagu Taylor Swift yang sedang sesuai dengan cita rasa muzik hari ini. Bagaimanapun lagu Yang Terbaik sebenarnya adalah lagu yang Marsha rakamkan semasa Masrha di bawah Maestro dengan kerjasama KRU.
"Oleh kerana kontrak dengan Maestro sudah pun tamat,lagu Yang Terbaik ini dipromosikan di bawah KRU.
"Ada beberapa syarikat yang menawarkan pelbagai tawaran menarik kepada Marsha tetapi selepas diteliti Marsha merasakan Metadome menjanjikan tawaran yang terbaik
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: