Saturday, December 5, 2009

Kemunculan selepas sedekad




Lewat dua jam daripada jadual sidang media yang ditetapkan, wartawan Malaysia bagaimanapun sabar menanti ketibaan pelakon dan pengarah filem The Storm Warriors. Bukan sengaja mahu membuat media tempatan menanti, Aaron Kwok, Ekin Cheng bersama pengarah Danny Pang dan Oxide Pang tiba lewat kerana kerosakan enjin kapal terbang yang menerbangkan mereka dari Singapura.

Walaupun penat mempromosikan filem terbaru mereka di Singapura sehari sebelum menjejak kaki ke Malaysia pada Selasa lalu, keempat-empat jejaka penting dalam naskhah itu tampil berseri dengan senyuman. Ada sebabnya mengapa kedatangan mereka dinanti-nantikan.

Selain kerana mahu mendalami sekuel kepada The Storm Riders itu, ramai yang ingin mengetahui kerjasama antara Aaron dan Ekin yang bertemu semula selepas 10 tahun sejak tayangan edisi pertama filem itu. Penuh dengan efek khas, The Storm Warriors yang menelan belanja HK$100 juta (RM43.6 juta), diadapatsi daripada komik popular Hong Kong, Fung Wan.

Mengambil masa selama empat bulan untuk menjalankan rakaman di gudang seluas 5574 meter persegi di Pak-Gret, Bangkok, filem itu menggunakan masa tiga tahun setengah untuk disempurnakan. Namun, hampir dua tahun digunakan hanya untuk melahirkan babak efek CGI.

Menjadi filem Hong Kong pertama yang dirakamkan sepenuhnya dalam gudang dan skrin biru, pengarah yang lebih dikenali sebagai Pang Brothers memang berniat untuk melahirkan sebuah filem seni mempertahankan diri yang seiras naskhah Hollywood, 300.

Merangkumi hampir 90 peratus kesan khas, filem itu menyaksikan Aaron dan Ekin masing-masing memegang watak Cloud dan Wind. Sekuel ini turut dibintangi Simon Yam (Lord Godless), Kenny Ho (Nameless), Tang Yan (Chu Chu), Charlene Choi (Second Dream) dan Nicholas Tse (Heart).


WALAUPUN kelihatan lebih matang selepas sedekad, Ekin dan Aaron masih dipilih untuk menjayakan watak Wind dan Clouch.


Menceritakan Lord Godless yang mahu menakluki China, dia telah menangkap semua legenda dalam dunia seni mempertahankan diri termasuk Nameless, Wind dan Cloud dengan menggunakan racun. Mereka bertiga berjaya melepaskan diri tetapi Nameless yang cedera teruk perlu bergantung kepada Wind dan Cloud untuk menyelamatkan China.

Ikuti petikan temu bual di bawah untuk mengetahui proses, pengalaman dan keseronokan Ekin dan Aaron bekerja dalam filem arahan Pang Brothers itu yang akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 10 Disember ini.

Selepas sedekad, mengapa masih mahu memilih Ekin dan Aaron untuk memegang watak Wind dan Cloud?

OXIDE: Melihat kejayaan mereka dalam The Storm Riders, rasanya kita semua tahu tiada orang lain yang boleh menggantikan mereka. Kalau kita cari pelakon lain untuk watak Wind dan Cloud tetapi mereka akan kelihatan seperti cetak rompak.

Bagaimana pula dengan keserasian anda selepas 10 tahun tidak bekerjasama?

EKIN: Sebenarnya lebih baik berbanding filem pertama. Ini kerana dalam filem pertama, kami tidak ada banyak babak bersama. Untuk penggambaran kali ini, kami tidak dibenarkan untuk meninggalkan Thailand sepanjang penggambaran. Jadi setiap hari saya menghabiskan masa dengan Aaron.

Mengapa hanya selepas 11 tahun penonton boleh menyaksikan sekuelnya?

DANNY: Filem pertama mencapai kejayaan yang luar biasa. Jadi ramai yang berpendapat sekuelnya akan menyusul tidak lama selepas itu. Namun, pengarah filem pertama, Andrew Lau tidak ada perancangan untuk sekuelnya. Mungkin dia sudah popular ketika itu dan sibuk dengan projek lain.

Kami kemudian mengambil keputusan untuk membikin sekuelnya kerana mahu melahirkan sebuah filem seni mempertahankan diri dengan konsep baru iaitu penuh dengan kesan khas. Jadi kami pilih cerita The Storm Riders. Lagipun filem ini memerlukan belanja besar. Masa yang lama diperlukan untuk mengumpul dana.

Penggambaran mana yang lebih sukar? Filem yang pertama atau kedua?

AARON: Pada saya filem kedua ini lebih sukar kerana penggambaran dijalankan dalam gudang dan skrin biru. Jadi saya perlu banyak imaginasi terutama apabila menggunakan pedang saya. Mempelajari pelbagai stail pedang untuk dipadankan dengan CGI juga menyeronokan.

EKIN: Semasa penggambaran filem pertama, kami tidak menggunakan papan cerita. Kami berlakon begitu sahaja dan menjadikan ia lebih sukar. Filem yang kedua ini lebih teratur dan aksinya lebih cantik. Lagipun saya sudah biasa berlakon berlatarbelakangkan skrin biru dan suka berimaginasi.

Terdapat perubahan dari segi solekan dan kostum untuk sekuel ini. Ceritakan sedikit mengenainya.

AARON: Dulu saya berambut biru tetapi kali ini saya berambut hitam keperangan. Ini kerana pengarah mahukan filem kedua ini lebih mendekati realiti. Imej saya juga lebih matang dan kostum saya juga agak berat.

EKIN: Mungkin penonton melihat saya lebih selesa berbanding Aaron dari segi kostum. Tapi saya banyak menghabiskan masa untuk solekan. Badan saya dipenuhi dengan cat semburan kereta dan saya memerlukan masa tiga jam untuk bersolek bagi watak Wind ketika dia bertukar menjadi jahat.


AARON dan Ekin ketika di Kuala Lumpur Selasa Lalu.


Saya juga diperlukan memakai kanta lekap seperti mata kucing pada sesetengah babak. Saya sendiri memang ada memakai kanta lekap dan diperlukan untuk memakai dua lapis. Ia amat menyakitkan dan penglihatan saya menjadi amat kabur.

Badan anda berdua masih kelihatan menarik walaupun selepas sedekad. Bagaimana mengekalkannya?

AARON: Pengarah ada melihat badan saya sebelum memulakan penggambaran dan mereka memberikan saya masa dua minggu untuk membesarkan otot bahagian tangan saya. Semasa menjalankan penggambaran di Thailand, saya masih meneruskan senaman.

EKIN: Sebelum penggambaran bermula, saya sebenarnya agak gemuk. Saya menggunakan masa setengah tahun untuk membina badan dan hasilnya anda boleh sendiri dalam filem nanti.

Dalam sekuelnya, Wind bertukar menjadi jahat kerana mahu menyelamatkan China. Anda menikmati watak jahat?

EKIN: Sudah lama saya menanti untuk melakonkan semula watak Wind. Ini kerana saya sendiri amat menyukai watak yang dicipta menerusi buku komik. Dalam sekuel ini saya berupaya mengembangkan watak sebagai orang jahat. Ia lebih kompleks tetapi saya menyukainya.

Mengapa memilih Bangkok, Thailand sebagai lokasi penggambaran?

OXIDE: Kami menyewa lima gudang di sana. Tiga gudang besar dan dua yang kecil. Gudang yang besar membolehkan kami membina set hutan dan tokong di dalamnya. Selain daripada itu, kami juga sudah selesa untuk bekerja dengan krew Thailand. Mereka juga mempunyai bakat terbaik di Asia dari segi efek CGI.

Ceritakan sedikit mengenai kesan khas serta teknologi untuk merakamkan babak pergerakan perlahan.

DANNY: Untuk babak pergerakan perlahan, kami menggunakan kamera teknologi tinggi yang mampu merakamkan 1000 syot dalam masa seminit. Kami sendiri juga kagum dengan hasilnya. Memang ramai orang akan menyatakan filem kami seperti filem Hollywood. Kami bangga untuk dibandingkan dengan filem-filem seperti 300, Spiderman atau Harry Potter.

Ini kerana semua filem CGI sekarang menggunakan perisian komputer yang sama. Kami tidak mempunyai pilihan lain. Ia adalah seperti menggunakan teknologi sama atas jalan cerita yang lain.

Memandangkan ia sebuah filem aksi, pastinya ada orang cedera semasa penggambaran.

AARON: Bulan pertama penggambaran, saya cedera hampir setiap hari terutama di tangan walaupun sentiasa berhati-hati. Kecederaan paling teruk adalah semasa letupan pada babak terakhir. Jarak saya dengan bom itu hanya 12 inci.

Satu paku telah terkena tangan sehingga saya dihantar ke hospital. Perasaannya seperti ditembak. Nasib baik kecederaan hanya dipermukaan kulit dan saya dibenarkan pulang selepas mengeluarkan paku itu. Namun, kesemua kecederaan adalah berbaloi apabila saya melihat hasilnya buat pertama kali di Singapura semalam (30 November).

EKIN: Saya pula belum menonton produk akhir kerana sakit semalam. Saya juga ada cedera tetapi tidak seteruk Aaron. Apa yang menyakitkan adalah babak yang melibatkan pengantungan wayar. Ini kerana tulang belakang saya memang pernah cedera dulu.

Pernahkan anda membaca komiknya sebelum menerima watak Cloud?

AARON: Secara terus-terang, saya tidak pernah membaca komiknya sehingga saya mendapat watak Cloud. Dulu masa kecil saya hanya suka komik Master Q. Semasa membaca bukunya buat kali pertama, saya suka watak Wind.

Cabaran untuk mengarahkan filem itu?

DANNY: Paling sukar adalah merakam babak terakhir di mana Cloud dan Wind bergaduh. Sebenarnya kos untuk babak itu sudah cukup bagi membikin sebuah filem. Disebabkan komik itu amat popular di Hong Kong, kami perlu lakukan yang terbaik.


WATAK Chu Chu diganti oleh Tang Yan Yang merupakan aktres kelahiran China.


Adakah penonton perlu menunggu 11 tahun lagi untuk menyaksikan edisi ketiga filem itu?

OXIDE: Rasanya anda tidak perlu menunggu 11 tahun. Tapi kami perlu melihat respons kepada sekuel itu dahulu. Ini kerana kami telah menaburkan terlalu banyak wang untuk filem kedua itu.

Kalau ia mendapat keuntungan, kami akan bermula dengan produksi filem ketiga. Namun, apa yang utama bukanlah kutipan box-office. Kami mahu penonton menghargai kualiti filem itu. Kalau ia boleh mengatasi kutipan filem pertama, itu satu bonus bagi kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: