|
|
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 7 Januari depan untuk pihak pendakwaan menyediakan 36 dokumen termasuk laporan perubatan pembantu rumah warga Indonesia, Muntik yang meninggal dunia dipercayai akibat didera majikannya pada 26 Oktober lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Yazid Mustafa memutuskan tarikh sebutan tersebut selepas tertuduh, A. Murugan, 35, yang menghadapi tuduhan membunuh Muntik, 36, melantik peguam bela, V.Rajehgopal untuk mewakilinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup meminta pihak pendakwaan meminta kerjasama pihak hospital dan Jabatan Kimia untuk membekalkan kesemua dokumen berkaitan sebelum perbicaraan didengar iaitu pada 18 hingga 29 Januari depan.
Murugan dituduh dengan niat menyebabkan kematian Muntik yang memegang nombor pasport AK 072947 di rumah No. 11, Jalan Dato' Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj dan Fatnin Yusof.
Muntik menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 26 Oktober lalu, selepas lima hari menerima rawatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: